Archive | 6:27 pm

Ramadhan Terakhir (6)

26 Sep

20 Ramadhan, Hari ke-3, Hospital Serdang

Aku sampai di hospital petang itu macam biasa, meneruskan rutin untuk menemankan Mummy di wad pada waktu malam. Petang itu aku dimaklumkan oleh Kak Da, Mummy dah selamat menjalani prosedur CT scan namun keputusannya mungkin ambil masa sehari dua.

Petang itu teman lama zaman Maher sempat datang menjenguk, siap tolong belikan kuih sebagai juadah untuk berbuka puasa. Terima kasih Dr. Bija 🙂 kami semua berbual seketika dengan Mummy, sebelum turun ke kafe tingkat bawah untuk menunggu waktu berbuka. Aku sudah terlupa waktu petugas menghantar tray makan Mummy, cuma yang aku ingat aku hanya sempat betulkan posisi duduk Mummy dan merapatkan meja, supaya mudah untuk Mummy makan. Oleh kerana kejar masa, aku tak sempat nak tolong Mummy suapkan makanan tapi melihatkan keadaannya yang semakin ok aku cakap pada Mummy supaya makan sampai kenyang. Tapi kalau tak kerana aku kejar masa untuk berbuka, dan kalau waktu makannya terlebih awal mungkin aku boleh luangkan sedikit masa untuk membantu mudahkan Mummy makan.

Sampai di kafe, ketika kami menunggu waktu untuk berbuka itulah Kak Da ada menegur aku tentang ‘tabiat’ baru aku itu. Kak Da ceritakan apa yang terjadi ketika waktu makan tengahari tadi, sewaktu aku tiada. Macam biasa tray makan sampai, dan Kak Da buat macam aku buat pada Mummy sebelumnya; betulkan posisinya dan apa yang patut. Kak Da nak Mummy bergerak sikit, jadi dia biarkan saja Mummy makan sendiri. Yea, aku faham niat Kak Da itu. Mummy pun semenjak sakit memang sangat susah nak nampak dia aktif atau cuba lawan penyakitnya, walau apa pun sakitnya itu. Tapi bila Kak Da sebut apa yang Mummy katakan tadi sedikit sebanyak memang menyentuh hati aku ini.

“… Da suaplah Mummy, macam Che Su buat…”

Nak bergenang airmata aku time-time tu jugak. Hati siapalah yang tak tersentuh dengar ibu kita teringin disuapkan makannya. Lagi-lagi aku anak yang paling degil dan paling tidak mendengar kata, yang aku rasa seumur hidup aku dibesarkan dengan pening dan marah Mummy saja. Demi Allah, kalau aku berada dengannya pada waktu itu aku takkan banyak berdalih untuk menunaikan keinginannya yang tidak seberapa itu. Kak Da cakap tak nak buat Mummy rasa manja, kerana Mummy juga perlu untuk bergerak, demi untuk kebaikannya juga tapi pada aku yang mendengarkan itu, aku rasa sangat-sangat berdosa kerana tak tunaikan keinginannya. Kalau nak dibandingkan dengan segala apa pengorbanan yang telah Mummy lakukan untuk aku, apalah sangat setakat nak suapkan beliau? Kalau aku tahu cerita itu sebelum aku turun untuk berbuka di kafe, memang aku takkan turun ke bawah untuk berbuka demi temankan Mummy makan….

Cepat-cepat aku naik ke wad setelah siap berbuka. Aku tengok Mummy diam saja, termenung jauh. Aku tanya berapa besar portion yang telah dimakannya, Mummy cakap dah cukup kenyang. Setelah itu aku mohon diri untuk solat Maghrib di surau. Niat di hati nak selesaikan semuanya cepat-cepat dan duduk saja di tepi katil temankan Mummy.

Sekembalinya ke wad, aku bergegas nak membersihkan diri pula. Tapi aku sempat mendengar seperti ada yang melawat katil Mummy, dan sangka aku hanyalah rutin biasa untuk tukar drip atau mengambil darah lagi.

“…nanti minta anak Makcik jumpa saya ya kat depan nanti?”

Jadi bila aku dah siap, pergi simpan barang kelengkapan di sudut kabinet Mummy, Mummy sampaikan pesanan seperti yang telah aku dengar awalnya. Tanpa mengesyaki apa-apa aku keluar mencari siapa yang dimaksudkan, tapi aku bertembung dengan salah seorang doktor pakar sakit puan yang turut sama memeriksa Mummy tadi. Maka doktor tersebut maklumkan pada aku tentang keputusan CT scan Mummy pagi tadi. Didapati ketumbuhan tersebut bukan berpunca dari mana-mana kawasan rahim Mummy, jadi kes Mummy telah berpindah tangan kepada team bedah pula katanya. Dan ketumbuhan itu bersifat kanser….

Aku cuba tahan perasaan. Tahan hati. Tahan terkejut. Istighfar dalam hati sebanyak-banyaknya. Bila aku tanyakan peringkat mana kalau benar Mummy menghidap kanser, doktor tersebut hanya menggeleng kepala dan minta aku tunggu pakar bedah yang akan datang nanti.

Setelah aku ucapkan terima kasih, aku kembali menghampiri katil Mummy. Mencuba sedaya upaya untuk tidak menzahirkan kesedihan yang suda mula bersarang dalam hati. Bila Mummy bertanya aku sebabnya, aku berdalih dan hanya maklumkan pada Mummy akan ada banyak lagi ujian yang perlu dibuat.

Tidak lama kemudian, datanglah beberapa orang doktor ke katil Mummy. Aku diminta untuk tunggu di luar. Sambil menunggu aku SMS Kak Da perkembangan tersebut. Rasa berdebar-debar kerana aku sendirian tanpa ahli keluarga lain kalau-kalau aku yang terpaksa untuk hadap mendengar apa saja berita tentang Mummy itu. Aku istighfar dan selawat banyak-banyak untuk diberikan kekuatan menempuhi waktu-waktu sebegitu.

Kemudian salah seorang daripada doktor tersebut menghampiri aku, lalu memaklumkan serba ringkas tentang keadaan Mummy. Ringkasnya, melalui pemeriksaan CT scan yang dijalankan awal tadi menunjukkan ketumbuhan Mummy bukanlah bermula di kawasan rahim, seperti jangkaan awal kebanyakan pihak sebelum ini tapi adalah pada bahagian usus. Mummy perlu jalani satu lagi pemeriksaan scope untuk mengetahui keadaan ketumbuhan itu dengan lebih menyeluruh. Dan iya, aku sudah diberi kepastian. Ia adalah kanser usus. Tapi apa peringkatnya masih belum diketahui. Yang aku faham ia serius.

Setelah pemeriksaan ringkas oleh mereka itu selesai, aku diberitahu Mummy perlu disediakan untuk prosedur tersebut awal pagi keesokannya jadi perut Mummy perlu dikosongkan. 2 botol cecair yang aku sudah lupa apa namanya perlu diberi kepada Mummy, dan ia akan mengakibatkan Mummy akan kerap buang air. Mungkin sepanjang malam. Aku bersedia untuk kemungkinan terpaksa berjaga sepanjang malam, tapi kemudian aku agak terkejut apabila dimaklumkan pihak hospital tidak menyediakan pampers untuk pesakit. Waktu ketika itu sudah hampir 12:00 malam. Aku maklumkan pada Kak Da tentang itu, tetapi di mana harus kami cari kedai yang masih dibuka pada waktu sebegitu?

Merata aku mencari di sekitar wad, dengan dibantu jururawat pelatih kalau-kalau ada lebihan pampers yang ditinggal mana-mana pesakit sebelum ini. Ada 2 keping sahaja, cukup ke untuk Mummy sepanjang malam? Jadi aku disuruh mengambil bekas dari bilik laundry wad. Pertama kali aku terpaksa faham apa fungsi bekas tersebut, dan untuk aku menyiapkan Mummy dengan bekas tersebut memang sudah mula buat hati aku hiba. Aku bukan sedih kerana terpaksa berjaga malam, tapi sedih kerana tidak berhasil membuat Mummy selesa dalam keadaan uzur begitu.

Pada mulanya aku nak pakaikan pampers saja, tapi Mummy tak mahu kerana katanya masih mampu nak berjalan ke tandas. Setelah 3-4 kali berulang-alik ke tandas, aku minta dia pakai juga. Berhempas-pulas aku nak betulkan posisi Mummy di katil, dengan tiada pengalaman untuk menangani keadaan sebegini. Aku segan nak memanggil misi, kerana aku rasakan aku sebagai anak patut dan harus mencuba sehabis daya untuk menjaga dan menguruskan ibu sendiri, tidak kiralah walau sesukar mana sekalipun. Kasihan juga aku pada mereka kerana ada berapa puluh katil lagi yang harus diberi perhatian,sedangkan aku hanya perlu menguruskan Mummy seorang.

Tapi dalam pada keadaan dibangunkan untuk membawa Mummy ke bilik air, aku terpaksa pekakkan telinga mendengar keluhan Mummy yang mengaduh sakit. Ketika itulah aku diuji, mana dengan penat berulang-alik dari Subang ke hospitalnya, dengan penat berpuasa, dengan tiada rehatnya, sekarang aku perlu berkorban waktu rehatku untuk menguruskan Mummy di tandas dan mendengar dia mengomel tak sudah. Aku minta Mummy tahan sedikit, janganlah mengeluh saja nanti mengganggu pesakit lain dalam bilik itu nak tidur.

Dan ketika itulah ada pesakit baru yang ditempatkan di katil bertentangan dengan katil Mummy. Seorang ibu yang baru melahirkan bersama bayinya. Apabila Mummy sudah terlena, aku ke katil jiran baru tersebut bertanya khabar, dan kasihan kerana nampak ibu itu terkial-kial nak mengangkat anaknya dari katil bersebelahan. Barulah aku tahu, rupanya ibu tersebut demam dan terpaksa ditahan maka terpaksalah si kecil yang baru berusia 2 hari itu mengikut ibunya. Aku bagitahu kakak tersebut, bila-bila sahaja nak angkat baby boleh panggil aku saja untuk membantu. Aku pun tak boleh tidur lena sangat, harus sentiasa bersedia untuk bawa Mummy ke bilik air.

Bila aku kembali ke tempat tidurku; kerusi-kerusi yang disusun memanjang seumpama katil itu sambil terfikir “kuat ke aku nak tahan sepanjang malam nak uruskan Mummy, nak bersabar dengan kerenah Mummy nih? Ada jugak nanti aku terbabas sahur?” Bisik aku dalam hati.

Pada masa itulah juga aku dikejutkan oleh tangisan si kecil. Mungkin lapar. Aku nak bangun untuk menolong angkatkan baby itu dan serahkan pada ibunya, tapi belum sempat aku bangun aku nampak kakak itu sudah siap memangku bayinya, menyusukan sambil tangannya menepuk-menepuk memujuknya lena semula. Walaupun beliau sendiri demam, dan masih lagi mengantuk tapi senyumnya tidak putus bila dia tatap wajah anaknya.

Serta-merta aku insaf dengan apa yang aku saksikan itu. Tentang bagaimana kasihnya seorang ibu terhadap anaknya. Penat dan kesakitan ketika melahirkan pun mungkin belum reda, ditambah lagi dengan demam dan sudah tentu tidak cukup rehatnya tapi ibu masih mampu menggagahi diri menyusu dan menjaga anak kecilnya itu, sendirian sepanjang malam. Senyum tidak pernah lekang dari bibirnya, bagaimana pula dibandingkan dengan keadaan aku ketika itu yang hanya menemani Mummy? Aku si anak yang sudah besar dewasa yang menjaga Mummy yang sudah begitu lama meniti usia emasnya dan baru sekarang berkeadaan uzur sedemikian rupa. Yang ketika itu aku cuba-cuba ingatkan kisah kelahiran aku yang pernah diceritakan beberapa orang dahulu; betapa Mummy telah bersabung nyawa untuk melahirkan aku, aku kandungannya yang paling sulit yang pernah buat Mummy dinasihatkan untuk bed rest sahaja tapi Mummy ingkar. Mengusung aku sejak di alam kandungan pun sudah menyusahkan Mummy apalagi sepanjang membesarkan aku yang degil ini sudah cukup melelahkan, tapi kerana menyedari bahawa anak itu amanah dariNya lebih lagi anak perempuan, Mummy pasrah. Justeru adilkah untuk aku ketika itu untuk mempertikaikan dari mana tenaga dan kudrat untuk aku dapatkan sepanjang aku harus bertahan menjaga dan menguruskan Mummy. Lihatlah di depan mata aku sendiri, pada ketika itu juga Dia menghantar pasangan ibu-anak tersebut sebagai tauladan untuk aku. Betapa besarnya kuasa Mu Ya Allah…

Alhamdulillah…aku mampu bertahan sampai waktu sahur. Cuma seketika itu aku minta Mummy panggilkan bantuan daripada jururawat kerana aku perlu melelapkan mata sebentar. Untuk recharge kembali tenaga untuk aku gunakan pada siang hari nanti. Aku sangat berharap ujian scope itu nanti akan berlangsung dengan lancarnya dan keadaan Mummy akan bertambah baik.

Aku tertidur dalam penantian…