Archive | hints RSS feed for this section

Ramadhan Terakhir (3)

20 Sep

Ahad, Kuala Lumpur

Sekali lagi kami berkumpul buka puasa beramai-ramai di rumah Kak La. Kecuali Jang sekeluarga yang telah pulang berpuasa di Kota Bharu beberapa hari sebelumnya, dan telah siap hantar Mummy ke Bangi sebelum itu.

Sampai saja aku di muka pintu, memang dah nampak Mummy terbaring lesu di ruang menonton. Demam katanya. Walaupun badan dibalut beberapa lapis pakaian, Mummy tetap makin kurus di pandangan mataku. Bila diminta untuk berbaring saja di sofa, Mummy menolak. Lebih selesa berbaring dengan bersandarkan beberapa kusyen besar. Jelas sangat Mummy makin tak berdaya ketika itu. Dengarnya memang sudah ke klinik sebelum ini, sebab Mummy terkena kemalangan kecil ketika beliau mahu buat urusan bank di Tanjung Malim. Malang bagi Mummy, kakinya tergesel di bucu tangga yang agak tinggi, tapi dia cakap tak tersedar pun. Hanya bila dah sampai dalam bank, baru Mummy perasan betisnya luka dan terasa sakit. Kemudian dibawa ke klinik sebab Jang cakap keadaan lukanya seperti makin melarat. Memang sebelum itu kaki Mummy agak sembap, bimbang jadi makin melarat lalu terus dibawa ke klinik untuk rawatan. Doktor maklumkan lukanya tidak bahaya, hanya perlu 1 jarum dan bengkak akan surut.

Bila kami tengok keadaan lukanya itu, aku sebak. Walaupun dah kering, tapi nampaknya bekas itu agak dalam. Kak Ta dah berdesit, tak tahan nak tengok. Aku beranikan saja untuk perhatikan, hati siapa tak pedih tengok keadaan ibu yang semakin uzur, kakinya yang makin kurus dan lemah dengan keadaan luka sebegitu rupa. Masih perlukan ‘dressing’ lagi. Bila ditanya Mummy tak sakit ke time mula-mula tergesel tuh, Mummy jawab tak rasa apa pun. Ketika itu dia lebih banyak mengelamun sedang kami semua sibuk berkalut di dapur untuk persiapan buka puasa.

Bila waktu berbuka, aku tanyakan Mummy nak dihidangkan nasi untuknya sekalikah? Mummy geleng saja, suruh aku berbuka dulu. “Janganlah bersusah pasal Mummy, pergilah berbuka dulu..Mummykan tak puasa”. Jadi aku berbuka ala kadar dan secepat mungkin, makan pun aku memang pilih duduk berhampiran Mummy yang masih lagi terbaring kesejukan.

Bila aku masuk ke dapur mencuci pinggan, aku telah diminta untuk hidangkan nasi untuk Mummy. Menu malam itu nasi putih, ikan singgang dan ayam goreng. Aku tatang dan hidangkan untuk Mummy di pembaringannya. Nak diajak ke meja makan pun, Mummy dah tak larat sangat. Kak Da cakap nak pantau sehari dua lagi, sebab demamnya turun naik. Kalau nampak tak berubah juga, memang akan dibawa ke hospital. Kali ini walau Mummy berdegil pun, kami akan tetap teruskan juga usaha ke hospital.

Jadi memang jelas dan muktamadlah pada kami semua ketika itu, takkan pulang beraya ke Kota Bharu julung kalinya tahun ini, setelah mengambilkira pada keadaan kesihatan Mummy. Mummy sedikit puntak pernah bersungut nak balik jenguk rumahnya di sana, apa lagi nak bercakap tentang raya..walhal dialah orang yang paling sibuk dengan persiapan nak sambut kepulangan kami semua seperti tahun-tahun sudah. Tahun ini langsung tak pernah disebutnya bila nak balik ke, siapa yang akan balik ke. Jadi kami putuskan sahaja untuk beraya di KL memandangkan hampir seluruh keluarga besar kami sanak saudara telah lama bermastautin di sini. Berat juga rasa hati, kerana bagi kami semua Kota Bharu ialah raya kami, dan raya kami takda maknanya tanpa Kota Bharu. Tapi mengenangkan keuzuran tonggak rumah kami di Kota Bharu, kami semua berkorban sajalah.

Lalu kami semua duduk berhimpit-himpit berkerumun hampir dengan Mummy, dan sibuk membuat rancangan di hari raya nanti; mana nak pergi, rumah saudara mana, mana checkpoint, rumah mana ada kuzi, yang mana sedap dan macam-macam lagilah yang kami sembangkan. Sesekali aku curi pandang ke arah Mummy, yang hanya terbaring diam saja tanpa sebarang reaksi.

Tamat acara makan-makan, bersembang dan sebagainya masing-masing mula bersiap untuk pulang. Mummy masa tuh dalam giliran rumah Kak Da, jadi dia ikut balik ke Bangi. Aku pimpin tangan Mummy menuju ke kereta Kak Da, masa tu sangat terasa sejuknya tangan Mummy. Dan aku juga antara yang paling akhir to bid her goodbye dan berpelukan. Dalam cepat-cepat itu pun, aku masih terkesan akan keuzuran Mummy… Kurus dan cengkung.

“Mummy makanlah ubat, makan biar banyak-banyak kali..barulah cepat sihat, cergas sikit ya?”

Mummy diam saja bila aku pesankan begitu. Masa itu juga aku baru teringat pesanan Mummy sebelum dibawa pergi ke Tanjung Malim sebelum itu, bila aku letakkan beg pakaiannya dan tanyakan lagi mana-mana baju atau keperluannya yang harus aku kemaskan sekali. Mummy geleng saja.

“… Tapi tolong basuh telekung Mummy yang di bilik bawah tu ya?” Pesan Mummy kemudian. Aku anggukkan saja, tapi kemudiannya aku memang betul-betul lupa nak buat seperti mana disuruh. Ketika itupun aku dah teringat, ahh sudah aku dah cuak kalau Mummy tanya dah basuh ke telekungnya itu? Aku tarik nafas lega bila Mummy lupa untuk bertanyakan hal itu.
.
.
.
.
.

…..dan aku rasa mujurlah Mummy lupa untuk bertanya, dan mujurlah aku sampai sudah terlupa untuk membasuhnya. Kerana itu sajalah kenangan yang ada untuk aku. Antara semua pakaian, kain batik dan telekung di dalam mana-mana beg kami,atau beg pakaiannya di mana-mana pun semuanya sudah siap berbasuh. Hanya itu sahaja yang membezakan telekung itu dengan peninggalan Mummy yang lain…

Bau Mummy…

Advertisements

Ramadhan terakhir (2)

19 Sep

We had our 1st puasa gathering among adik beradik on the 2nd weekend. Di Shah Alam.

Sebelum tuh ada la pernah sekali time duk layan Mummy borak, dia suruh aku tanya Jang on where he would be on the coming Friday..Mummy teringin nak pergi Tanjung Malim. “nak buatkan ikan stim, kesian Jang dah lama tak makan”. Abang aku tuh memang suka sangat makan ikan, dan memang Mummy sendiri pun macam didik sangat kitorang ni makan ikan hari-hari. Hari-hari ada je ikan goreng, walaupun ada lauk lain tapi ikan goreng benda wajib mesti ada atas meja makan.

Sambil dia duk bercerita nak masakkan ikan stim tuh, aku dah pelik. Kat sini bukan main lagi tak larat, eh eh nih boleh pulak la dia nak pergi masak? Sesama kami adik beradik memang dah maklum sangat how much Mummy was very fond of Jang. Anak bongsu lelaki, sebelum aku yang jadi penutup segala bongsu. Fortunately he has grown as per what she wanted him to be, hantar ke sekolah agama dan jadi anak soleh. She invested her saham akhirat very well indeed. We always enjoyed mocking him being the “golden child” tapi deep down it was nothing, tak terasa hati pun. Among all of us, dia yang paling berlemah lembut dengan Mummy dari kecil sampailah sekarang.

Jadi bila aku ceritakan pada kakak-kakak aku, kitorang gelak saja. On the other hand, terfikir inilah masanya for us to pass the baton since Mummy pun dah berminggu-minggu stayed with us. Weekend yang lepas Mummy dah duduk rumah Abang Man di Puchong. Dengarnya pun she was quite happy there dan alhamdulillah no hassle time makan. Kak Nie tuh pun memang jaguh masak jugak, siap bekalkan lagi sup ikan merah dan nasi air time hantar Mummy balik ke Shah Alam.

Bila aku khabarkan pada Jang, dia terkejut pula dimaklumkan macam tu. Bukan tak suka Mummy datang, tapi dia cakap dia tak pernah nak request Mummy masak macam-macam dah sejak dia tak sihat macam dulu. Tak nak susahkan dia. Aku balas balik tak kiralah request ke tak pernah request ke, dah ada angin nak masak tuh jangan disekat. Kitorang kat sini pun kena break jugak, kira adil la nih semua orang ambil tanggungjawab jaga Mummy. Jang setuju dan dia maklumkan nak siapkan bilik yang proper untuk Mummy, nak belikan katil baru untuk mudahkan Mummy.

Aku inform Mummy, nanti Jang akan jemput. Tiap-tiap hari jugalah Mummy tanyakan aku, betul ke Jang nak jemput dia? Aku rasa mesti dah rindukan Asma’ la nih. Sekali Jang inform tak boleh nak datang jemput hari Jumaat, ada hal. Lalu tunda pada esoknya pula. Kami fikir oklah kita gath buka puasa ramai-ramai, kemudian Mummy gerak ke Tg. Malim pula.

Sabtu, minggu ke-2 Ramadhan

Acara buka puasa hari itu secara pot-luck. Kak Da macam biasa, dah jadi tabiat mesti akan sampai awal.

“Awak datang nak ambil saya ke?” tanya Mummy bila Kak Da tegur bertanya khabar. Cepat-cepat Kak Da jawab “kan dengar kata Mummy nak gi rumah Jang, nak pergi Tg. Malim?”. Mummy nafikan sekeras-kerasnya. Ahh sudah. Aku ulang balik kan Mummy jugak yang cakap minta Jang datang ambil, Mummy nak gi masakkan ikan siakap stim kat sana?

“itu Mummy nak suruh Nuri yang pergi, ajar kakak ipar tuh macam mana buat”

Aku beristighfar dalam hati. Kak Da dah mula cuak. Ini drama apa sekarang? Apa hal pulak aku nak pergi mengajar bini orang masak nih? Macamlah aku pandai sangat? Hello?

Aku ulang balik apa yang Mummy suruh aku buat 2-3 hari lepas, dan cakap Jang memang on the way datang nak ambil dialah nanti lepas buka puasa.

“call dia tak payah datanglah” memang laaa mak aku dah buat perangai apa pulak nih? Kak Da cakap biarlah Jang datang, kesianlah dia nak kumpul buka puasa ramai-ramai jugak dengan kita semua. Aku lihat Mummy buat acuh tak acuh saja.

Cepat-cepat kami bertiga; Kak Da, Kak Ta dan aku meeting di dapur. “kenapa dengan Mummy tuh?” memang kami perasan jugak, semenjak Mummy keuzuran nih agak selalu jugak Jang yang jadi mangsa keadaan. Kena marah tak pasal-pasal dalam telefon, tanpa sebab pun.

“tak nak datang jenguk Mummy ni ke? Nanti bila dah terbaring esok lusa, menangis pun dah tak guna dah…” Mummy pernah marahkan Jang begitu di telefon. Abang aku memang tak puas hati kenapa Mummy cakap merepek macam tuh sekali? Tapi penyudahnya memang hampir setiap minggu Jang akan datang ziarah Mummy, walaupun sekejap dia tetap akan datang sekadar menyenangkan hati ibu.

Suasana berbuka memang tak ubah macam kami di Kota Bharu, riuh rendah dengan gelagat masing-masing. Sambil-sambil itu kami dah berpakat, tunggu Q untuk pujuk Mummy ramai-ramai biar lembut hati ikut Jang balik ke Tg. Malim. Kesian jugak pada Jang, susah-payah nak siapkan bilik untuk Mummy..dah datang jauh-jauh takkan nak balik hampa macam itu saja. Kami dah pesan pada Jang, jangan cakap sorang-sorang dengan Mummy mesti kalah jugak akhirnya. Kalau depan-depan nanti kitorang tolong backup.

Tapi yang sebaliknya jugalah yang berlaku. Aku rasa hampir sejam Mummy duk meluah isihati pada Jang di dapur. Aku cuba-cuba ke dapur buat-buat ambil air, padahal nak curi dengar. Yang aku sempat tangkap “Mummy dah tak lama nih…”

Bila Jang keluar dan bagi isyarat geleng kepala, kami faham rundingan dah gagal. Kemudian Mummy keluar join kami sekali di ruang depan, masa tulah Kak Ta buat-buat tanya Mummy dah siap ikut Tg. Malim ke? Bila Mummy cakap tak jadi, kami terus-terus pujuk Mummy pergilah ke sana. Walaupun aku ikut sama cakap suruh Mummy ikut Jang sajalah tapi bila tengok Mummy diam saja begitu terbit rasa belas sangat. Mummy diam membisu, dan kami seolah-olah bagai ‘menghambat’ Mummy keluar dari situ dengan pujukan-pujukan bertubi-tubi. Aku terasa macam nak cakap saja tak apalah, kalau Mummy tak nak tak apalah it’s ok I will stay with you here. Memang itu yang aku nak katakan tapi..

“…Nuri tolong kemas beg Mummy”. Aku faham Mummy buat keputusan dengan serba-salah. Tapi aku patuhi juga suruhannya. Aku sediakan pakaian untuk 3-4 hari saja kerana setelah itu Jang nak balik ke Kota Bharu pula, nak ziarah dan berpuasa dengan keluarga mertuanya. Jadi mungkin atas alasan tak payah berlama di rumah Jang, mungkin sebab itulah Mummy turutkan sahaja. Kak Da akan ambil giliran setelah rumah Jang nanti.

Bila kami turun mengiringi Mummy untuk dibawa ke sana, aku perhatikan airmuka Mummy yang sangat sayu. Matanya seolah bergenang-genang. Aku tak pasti pula adakah orang lain nampak sebagaimana apa aku nampak, ataupun mereka asyik dengan keletah nakal si Asma’ itu sahaja. Nampak sangat ketara susuk tubuh Mummy yang mengecil dan cengkung, yang hanya memandang kami bila kami semua sibuk melambai-lambai tanda perpisahan sementara. Kami dah janji hujung minggu seterusnya akan berkumpul lagi berbuka puasa di rumah Kak La di Ampang. Semuanya kami lakukan demi untuk menggembirakan Mummy, yang sangat suka bila dikelilingi anak cucu dan dalam riuh rendah tawa kami semua bergurau.

Bukan kami nak mengelak untuk menjaga Mummy lama-lama..tapi dari sudut lain kami mahu membahagikan tanggungjawab menjaga Mummy dengan adil. Biar semua dapat merasa susah-payahnya. Sudah tidak timbul lagi siapa anak emas, siapa paling favourite kerana semua anak Mummy. Tapi bila terkenangkan airmuka dan reaksi Mummy itu buat aku hiba sendirian. Aku memang rasa sangat-sangat bersalah buat Mummy begitu. Sangat-sangat bersalah untuk tidak endahkan bahasa tubuh Mummy. Mungkin kerana aku anak yang paling bongsu, yang paling buat Mummy tanggung derita melahirkan,yang paling buat Mummy lelah membesarkan dengan kerenah aku yang seribu macam, yang paling orang katakan yang mirip sekali wajah Mummy…aku yang paling faham walau sekilas bahasa tubuh Mummy, lain nada suaranya bila dia rajuk atau berjauh hati berdiam diri. But I chose to ignore her body language instead….

Pagi keesokannya bila turun nak bersiap untuk pergi kerja, bila terpandang sofa kegemaran Mummy itu kosong tanpa susuk tubuh yang biasa menghabiskan masa di situ setiap hari…hati aku kosong. Rupanya tidak hanya aku seorang, Kak Ta juga menzahirkan rasa kesalnya melepaskan Mummy pergi. Walhal Mummy tak pernah pun menyusahkan kami, apalah sangat sekadar pening kepala nak fikir apa nak masak nak hidang untuk Mummy sendiri jamah mengalas perut? Tapi kami pujuk hati perpisahan itu tak lama, nanti akan dijemput juga kembali di sini. Situasi kami adik-beradik bukan mengelak untuk menjaga ibu sendiri, we were all honoured to have the privilege but somehow we have to take turns and be fair among us.. Kami tak pernah sampai ke tahap ‘melelong’ Mummy tengok pada siapa yang lapang boleh menjaganya kerana masing-masing berebut nak ambil Mummy, hanya keadaan yang tidak mengizinkan Mummy selalu berada bersama anak-anak beramai-ramai dalam satu masa. Aku tahu, itu impiannya.

Benarlah kata orang…ibu seorang boleh jaga anak 10 tapi yang 10 anak itu belum tentu dapat jaga ibu seorang…If I still have the choice now, I opted to stay at home tinggalkan semua urusan dunia just to be with her, i admit though I never talk much to her, cukuplah sebagaimana aku tahu her presence is well enough for me. And now aku faham kenapa dulu Mummy selalu bising anak-anak tak balik jenguk KB, bila aku balik tak banyak cakap pun dia dah ok.

Because presence itu sudah more than enough.

…and now that’s the most thing I really long for it now..on her very favourite couch..her presence.

Al-Fatihah…

Ramadhan terakhir (1)

17 Sep

July, Kuala Lumpur-Kota Bharu-Kuala Lumpur

Aku kembali ke Kota Bharu untuk temankan Abah, walaupun tak sempat ke hospital untuk appoinment Abah dengan specialist di hospital KB. Aku tinggalkan hari akhir event kerana komitmen awal yang telah aku tetapkan untuk balik jaga Abah. Sememangnya prinsip aku, apa saja yang aku sedang lakukan kalau dah namanya hal keluarga itu lebih penting, aku tinggalkan semua urusan dunia. Nak pula hal ibubapa, kalau diorang sakit batuk pun aku akan balik menjenguk. Tiada kompromi.

Abah cakap dia dimaklumkan oleh pakar, saluran kencingnya bengkak. Another appoinment was fixed around Sept/October nanti. Abah dah cuba-cuba nak berbasikal, tapi memang dah tak boleh secergas dulu. Aku bagi chan sekali sehari, cukuplah nak buat keluar peluh tu. aku bagi seminggu untuk aku monitor keadaan kecergasan Abah untuk deliberate semula dengan Jang.

Ada sekali, ketika aku lunch di McDonald’s sendirian di KB aku ternampak susuk tubuh Abah dari jauh melalui tingkap McD. Abah berbasikal ke Kedai Besar Siti Khadijah yang hanya seberang jalan dari McD. Aku perhatikan saja gerak-geri Abah dari jauh. Memang terasa sangat yang Abah makin kurus, berjalan pun perlahan. Ada ketikanya Abah berhenti dan semacam termenung sahaja, entah apalah difikirnya time tu. Aku perhatikan dan terfikir berapa lama mana lagi nak dibiarkan Abah sendirian di Kota Bharu? Dia dah makin uzur, mana tau esok lusa datang sakit peningnya tuh sapa nak tengokkan? Keadaan dah tak macam dulu lagi…

Mummy ada call jugak sekali-sekala minta update kami di KB. Sambil itu dia ingatkan aku untuk berkemas, dan minta aku bawakan lagi baju-baju extra, beberapa pasang kain batik sarung dan kain telekung. Masa tulah aku sempat tanyakan kami tahun ni nak beraya di mana? Mummy jawab malas-malas je tak tahu. Aku jawab lagi tak bolehla nak decide lambat-lambat, kesian orang yang keja nak kena kira brapa lama nak cuti, bila nak travel balik dan sebagainya. Yang balik sengan flight, lagilah pening kepala kalaulambat-lambat nak putuskan mana nak beraya kali nih. Memanglah kami tengok pada situasi Mummy macam lebih untuk beraya di KL saja tahun ni. Tapi manalah tahu, dibuatnya Mummy nak jugak balik beraya di KB last minute? Tapi perbualan aku dan Mummy tentang lokasi raya tergantung begitu sahaja, takpelah aku fikir benda boleh sambung bincang bila aku dah sampai sana nanti.

Aku cakap kemungkinan itu pada Abah. Abah kata nanti minggu akhir puasa dia akan datang ke KL. maka dengan itu aku putuskan untuk sambut awal Ramadhan di Kota Bharu saja tahun ni, temankan Abah. Rasa tak pasti pulak akan ada lagi tak peluang untuk aku berpuasa di tanah kelahiran lagi. Cuma ralatnya, atas sebab perubatan Abah tak boleh berpuasa lagi jadi berbuka puasa seorang sajalah aku. Beli juadah di bazaar stadium.

Puasa hari ke-2 aku dah sampai di Shah Alam. Berat hati nak tinggalkan Abah awalnya, tapi keadaan tak menyebelahi. Mummy ketika itu sedang dalam giliran di rumah Shah Alam jadi aku putuskan untuk pindah saja tinggal bersama memandang office partner kami pun di Subang, agak mudah untuk aku berulang-alik. Plan asalnya aku nak kerja dari rumah saja, sambil jaga Mummy tapi jadual masa tuh ada banyak pula meeting di Putrajaya.

Tengok keadaan Mummy setelah lebih kurang hampir 2 minggu tak jumpa, memang menyedihkan aku. Cepat sangat nampak Mummy susut lagi berat badan. Bila aku cakap aku pindah dan akan tinggal bersama, nampak macam Mummy happy sikit. Jadi macam biasalah, bila aku ada soal masak jatuh atas bahu aku. Aku tanya Mummy puasa tak? Dia jawab ya. Jadi kalau puasa, nanti kena makan banyak sikit baru ada tenaga. Kalau tengok tak makan je, tak boleh puasa aku ingatkan Mummy.

Seharian bersama Mummy, aku perhatikan pula rutin beliau seharian. Dari waktu sahur lagi Mummy akan turun ke bawah, makan supplement dan sahur dengan roti. Seterusnya dia akan duduk berehat di sofa ruang tamu, tengok je apa-apa rancangan di channel 106 Oasis. Masuk waktu Subuh, Mummy akan solat di bilik bawah. Kemudian akan sambung duduk berehat di sofa panjang kegemarannya. Kadang berehat menonton Oasis, kadang sampai terlena. Tiapkali masuk waktu solat Mummy akan tunaikan di bilik bawah. Begitu sajalah rutin Mummy sepanjang waktu, setiap hari.

Memang niat aku untuk khatam Quran pada bulan puasa tahun ni. Dah terasa sangat lama aku tinggalkan bacaan, setakat Yassin saja di malam Jumaat. Jadi pada hari ke-2 itu setiapkali lepas solat, aku akan sambung bacaan setakat 3-4 helai dan masih lagi surah Al-Baqarah. Bila turun ke bawah, aku perasan Mummy yang tersandar secara membelakangi tangga yang aku sedang turuni dan aku perasan dengan jelasnya betapa kurusnya Mummy melaui pandangan belakang. Dah mengecil dan cengkung. Mummy sebelum ni kalau ikut fizikal asalnya adalah seorang yang agak plump, tapi aku perhatikan dalam sebulan dua ini sahaja berat badan Mummy turun dengan sangat drastik, dan membimbangkan.

Baru saja aku nak buka mulut nak tegur tentang kenapa Mummy kurus sangat, Mummy dah tegur aku “tadi baca Al-Baqarah?” aku iyakan. Walaupun dah di pertengahan surah, tapi Mummy masih tahu. Masa cergasnya dulu, Mummy memang jadikan amalan mengaji sebagai benda wajib dalam rutin hariannya. Tiapkali aku balik KB memang akan selalu dileter kenapa dah lama tak mengaji? Selalunya aku diamkan diri dan layankan saja leteran Mummy tuh. Tapi petang itu Mummy cuma senyum, mungkin puas hati akhirnya dengar aku mengaji tanpa perlu disuruh barangkali.

“baguslah mengaji tuh…jangan lupa Quran. Nanti dalam kubur, dia jugak yang jadi teman kita nanti..” perlahan saja aku dengar suara Mummy nasihatkan aku. Kali ini dia dah tak macam kebiasaan, nak berleter panjang penuh emosi dengan aku. Mummy pesan pada aku agar jaga solat, mengaji dan belajar-belajarlah sembahyang jemaah di masjid/surau.

“dah ada baju raya? Kalau belum, ambiklah duit pegi cari baju raya..” tanya Mummy. Aku cakap dah ada, pakai jelah yang mana ada. Kebetulan aku ada sepasang baju yang masih baru lagi.

Sebenarnya ada satu keanehan yang aku dah terasa pada Mummy pada Ramadhan kali ini. Aku faham dia dah tak sambung mengaji mungkin sebab penat atau sebagainya. Tapi tiapkali kami semua dah bersedia kelam kabut di meja makan tunggu azannak berbuka, Mummy seolah-olah tak mengendahkan saja panggilan kami untuk duduk bersama-sama di meja makan. Mummy diam saja tengok TV time azan berkumandang, bila azan dah habis baru Mummy akan ke meja makan. Begitulah yang aku perhatikan tabiat baru Mummy kali ini. Bila kami tegur kan sunat tu buka puasa sehabis awal bila masuk je waktu? Tapi Mummy diamkan diri. Kadang-kadang aku perhatikan Mummy seolah-olah hanyut dalam fikirannya sendiri sepanjang azan beralun di TV. Aku tak pasti pula adakah Mummy ralit mendengar suara azan atau Mummy terkenang Makkah…

Tapi soal makan dah makin sukar. Ada-ada saja kerenahnya kali ini. Entahlah mungkin dia merajuk aku tinggalkan jugak dia sendirian sebab pergi kerja. Tapi aku tetap balik seawal boleh tanpa menyinggah atau melencong ke mana-mana. Aku tetap masak untuk juadah Mummy. Tapi sampai time makan, Mummy akan buat kerenah. Aku rasa ni mungkin sebab merajuk dengan akukah sebab aku pergi kerja, tak temankan dia di rumah.

“nak pegi mana?” tanya Mummy pada pagi aku bersiap nak ke ofis. Dia masam saja bila aku cakap nak pegi ofis. Mummy macam tak suka pulak aku kerja. Pernah dulu dia suruh aku tak payahlah kerja, duk rumah temankan dia saja.

“mummy kan ada, Mummy mampu nak tanggung lagi..”

Mungkin dia terasa hati aku seperti membelakangkan dia, pegi jugak kerja tinggalkan dia sendirian. Itu yang tiapkali waktu nak berbuka,macam-macam kerenah dia tunjukkan dengan cerewet tak bertempatnya itu memang menguji kesabaran. Ada jugak masanya aku snapped balik dan aku cakap pada Mummy aku larang dia daripada berpuasa sebab dah macam seksa diri sendiri. Nak berjalan dari ruang depan ke dapur pun dah macam menggigil masa tuh. Mujurlah Mummy nak dengar cakap, dia setuju untuk tak berpuasa keesokannya tapi tak sudah-sudah ingatkan kami tentang soal fidyah ke atasnya dan perkara yang berkaitan.
.
.
.
.
.
.

….if only we knew that masa tuh she was only wanted our attentions and all…

Nota Kaki: walaupun dah tak puasa, tapi Mummy tetap dengan habit duduk di sofa sambil pandang je TV ketika masuk waktu azan Maghrib. Seolah-olahnya beliau sudah tahu dah tiada kesempatan itu lagi untuknya tak lama kemudian…

Another hints..

13 Sep

May, Kuala Lumpur – Kota Bharu

Selang beberapa hari daripada perbualan telefon terakhir dengan Mummy itu, aku dapat panggilan kecemasan daripada abangku, Nizam. Dia ada di KB sepanjang cuti sekolah, membawa Mummy bersama. Cadangan asal kami tinggalkan Mummy seketika dan Kak Da akan pulang pada akhir bulan untuk menjemput Mummy ke KL semula.

Dalam perbualan ringkas itu, aku dimaklumkan keadaan Mummy yang tidak begitu baik. Sudah mula hilang selera, makan pun hanya sedikit jadi ini membimbangkan. Dalam masa yang sama pula, Abah tiba-tiba mengalami masalah dengan saluran kencingnya. Sudah dibawa ke hospital dan harus mengenakan beg kencing. Ini kali pertama seumur hidup kami terpaksa berdepan dengan keadaan sebegini di mana kedua-dua ibubapa mengalami keuzuran serius dalam masa serentak.

Tanpa berfikir panjang, aku terus booking tiket Air Asia serta-merta untuk hari Sabtu keesokannya. Berapa pun kosnya aku sudah tidak peduli, dalam fikiran aku hanya nak sampai KB secepat mungkin. Abangku pula bercadang untuk drive balik ke KL pada awal pagi Ahad, jadi adalah amat kritikal untuk aku sampai ke KB seawal mungkin. Aku harus duduk menemani Abah yang perlu bed rest sebenarnya sepanjang tempoh pemakaian beg tersebut, dan kalau boleh aku mahu sempat sampai sebelum Mummy dibawa pergi. Sambil melihat jadual waktu penerbangan hati aku tak putus-putus berdoa mohon dipermudahkan urusan aku yang sekali ini, Ya Allah demi kedua ibubapaku yang uzur, jauh di mata. Alhamdulillah, ia dipermudahkan dan surprisingly tiket yang aku booked tak sampai 24 jam itu harganya di bawah RM100! Maha Suci Allah yang Maha Pemurah mempermudahkan urusan berkenaan ibubapa. Tidak sia-sia aku yakin dan berserah sepenuh hati dengan kekuasaanNya.

Keesokannya aku sampai di KB dalam jam 4 petang, dan ketika sampai di rumah hati aku terus dilanda sebak yang teramat melihatkan keadaan kedua-dua mereka. Mummy terbaring beralaskan toto di ruang tamu hadapan,manakala Abah ketika itu sedang lena di atas sofa panjang, di ruang keluarga. Tubuh Mummy menyusut lagi, tapi aku kuatkan hati untuk melayannya bersembang. Dalam hati hanya Allah saja yang tahu betapa remuknya hati aku melihat keadaan ibubapa yang menyedihkan. Selama ini mereka berdua sangat cemerlang menjaga kesihatan antara satu sama lain,mereka tidak pernah cerewet ubat. Mereka jaga diet pemakanan masing-masing, malah seingat aku mereka langsung tidak pernah sakit berat pun sebelum ini. Abah berumur 78 tahun dan Mummy bakal 72 tahun November ini.

Sejujurnya ketika memberi ucap selamat pada Mummy yang ke 70 tahun lalu, aku sudah mula didatangi persoalan seperti “selama mana kau ingat mak bapak kau akan selalu berada untuk kau?mereka semakin dimamah usia, dan akan semakin uzur..” dalam hati yang berat, aku mula persiapkan diri untuk menerima kemungkinan yang mereka akan mula uzur, sakit dan sebagainya yang menuntut perhatian daripada kami adik-beradik. Tapi aku tidak pernah menyangka kami semua akan diuji sedemikian rupa oleh Yang Maha Kuasa, apabila kedua-duanya jatuh sakit serentak.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa tidak dijaga mereka secara bersama saja? Sebenarnya hanya mereka berdua saja yang tinggal di KB, sedangkan kami semua mencari rezeki di KL. kedua-dua mereka perlukan jagaan khusus, Mummy perlukan jagaan rapi melibatkan soal pemakanan manakala Abah pula perlu diperhatikan aktivitinya, maklumlah Abah memang jenis orang yang tak boleh duduk diam. Untuk ditinggalkan mereka kepada aku seorang,aku takkan mampu dan untuk dibawa kedua-duanya tidak adil untuk Abah yang perlu menempuh perjalanan yang jauh dengan keadaannya yang sulit begitu. Abah fobia dengan flight, dan perlukan rehat secukupnya untuk seminggu sebelum temujanji hospital yang berikutnya; satu untuk buka tiub dan satu lagi consultation dengan pakar urologi. (kalau tak silap). Jadi plan seterusnya ialah Mummy akan dibawa ke KL semula untuk bersama anak-anaknya secara bergilir dan aku akan menemani Abah selama dia perlu berehat. Abang aku akan balik menyusul ke Kota Bharu untuk memantau keadaan. Sebenarnya kakak-kakak dan seorang abang adalah anak Mummy dari perkahwinan terdahulunya, manakala hanya Nizam dan aku saja 2 beradik anak dengan Abah. Jadi ketika itu kami terpaksa berkorban melakukan pembahagian, biarlah Mummy dijaga secara bergilir oleh 5 anaknya, manakala Abah oleh 2 anaknya. Kalau diberi pilihan memang aku mau menjaga kedua-dua mereka tapi apalah daya, keadaan yang mendesak.

Ahad, 4:00 pagi Kota Bharu

Mereka sudah bersiap sedia untuk bertolak ke KL. Malam sebelumnya aku pilih untuk sama-sama tidur berkampung dengan Mummy di ruang tamu, tidak di bilikku seperti selalu. Tak tergamak rasanya biarkan Mummy tidur sendirian dalam keadaannya yang begitu. Yang aku ingat, Mummy banyak kali tinggalkan pesan untuk aku jagakan rumah, jaga makan minum Abah sebaiknya dan berkemas apa yang patut. Padahal ini bukan kali pertama kami berurusan untuk hal-hal begitu sebelum ini, tapi entahlah kenapa sekali itu di waktu dinihari begitu hati aku dipaut rasa kesedihan yang amat. Seolah-olah mengimbas kenangan sewaktu pertama kali Mummy tinggalkan aku untuk menunaikan fardhu haji berbelas tahun lalu. Perasaan merasai perpisahan ketika itu seolah-olah berulang lagi kepada aku pada dinihari Ahad waktu itu.

Setelah dipastikan semuanya sudah siap, tibalah masa untuk mereka berangkat. Ketika itu Abah sudah sedar dari tidur. Hanya aku yang masih berselubung dalam selimut, dan aku menyaksikan buat pertama kalinya Mummy ucapkan selamat tinggal pada Abah, minta maaf atas segala salah silapnya. Mummy cakap takut lepas ni dia tak balik lagi ke KB. Takut itu perbualan akhir mereka. Abah jawab semuanya dia dah maafkan. Dia pun minta maaf dengan Mummy kerana tak dapat sama-sama menjaga satu sama lain, kerana dia juga uzur. Abah cakap lagi, selama lebih 40 tahun Mummy tak pernah menyusahkannya. Pergilah pada anak-anak di KL, Mummy akan lebih terjaga di sana.

Airmata aku dah tak tertahan dah masa tu, sebab itulah kali pertama aku tengok dua-dua mereka bercakap begitu. Selama ini mereka berdua jenis easy going, Abah tak pernah kisah kalau Mummy berlama-lama di rumah anak-anak di KL, sedangkan Abah sendirian di KB. Mungkin pelik bagi kebanyakan orang, tapi itulah kenyataannya. Mereka bahagia dengan cara mereka tersendiri. Namun bagi aku, bila pertama kali mendengar ibubapa kau saling mengucap selamat tinggal padahal selama ini perkara itu sudah menjadi kelaziman mereka, tidak dapat tidak hati akan merasa sayu dan sedih. Terlalu. Aku berusaha menyeka airmata dari mengalir lebat, tidak mahu dilihat oleh Mummy. Ini juga kali pertama aku menangis ditinggalkan begitu, walhal ketika Mummy pertama kali tinggalkan aku jauh ke Tanah Suci pun aku tidak sesayu itu dulunya. Aku tak faham kenapa waktu itu hati kecil aku seperti mengatakan aku takkan berpeluang memeluk Mummy lagi sebelum berangkat pergi jauh ke mana-mana setelah itu.

Bila aku rangkulkan pelukan untuk Mummy, terasa sangat betapa susutnya tubuh insan yang dimuliakan Allah ini… Berat hati aku nak lepaskan pelukan, aku betul-betul rasa bersalah tak dapat nak jaga Mummy sekali. Aku berdoa sangat dalam hati kecil, semoga Allah Taala selamatkan perjalanan mereka dan semoga Mummy aman dijaga sebaiknya oleh kakak-kakak dan abang di sana. Antara aku dan abang sudah berpakat, sebaik Abah bebas daripada tiub kami akan bawa Abah untuk jagaan seterusnya di KL pula.

Setelah mereka berangkat pergi, aku cepat-cepat kembali ke tempat tidur. Airmata makin lebat membasahi pipi. Abah pula tak duduk diam, ada saja benda yang dia buat. Tak duduk senang. Tapi aku faham, Abah juga dalam kesedihan. Ia satu perasaan yang tidak dapat diungkap, tapi kami seolah faham akan kesedihan itu. Kami dapat rasakan ini bukan pengalaman yang biasa-biasa untuk kami sekali ini.

Hari-hari berikutnya, aku pilih untuk tidur di tingkat atas. Tapi bukan di bilik aku, sebaliknya aku pilih untuk tidur di bilik Mummy. Dari sehari ke sehari, memang kesunyian yang aku rasakan. Aku biasakan diri dengan barang-barang Mummy, dan aku juga cuba untuk faham apa perasaannya setiap kali bersendirian di dalam biliknya itu. Terngiang-ngiang suara Mummy yang mengeluh, ada anak ramai tapi semuanya jauh. Dia dah semakin penat untuk travel jauh untuk bertemu anak cucunya. Di biliknya itu jugalah, aku biasakan sujud di sejadah yang sama Mummy gunakan setiap kali solat, dan bila masanya aku terjaga waktu malam, belajar untuk tahajjud sama. Aku tahu Mummy tak pernah penat bangun untuk bertahajjud, menadah doa yang panjang untuk setiap anaknya tanpa gagal.

Aku masih ingat lagi, sewaktu remaja dulu Mummy pernah minta aku temankan dia tidur kalau hanya tinggal kami dua beranak di rumah. Padahal kami tak begitu ‘ngam’ pada masa itu, ada saja benda nak digaduhkan. Tapi entah bagaimana aku hanya mengikut saja katanya untuk temankan dia tidur. Ada sekali aku terjaga bila terdengar Mummy bacakan doa pada ubun kepalaku, mohon pada Allah jadikan aku anak yang mendengar kata (ketika itu aku memang degil ya ampun!) aku rasa masa tu Mummy ingatkan aku betul-betul sudah nyenyak tidur. Tapi doanya itu buat airmata aku mengalir masa tu, aku batukan diri tak mahu Mummy tahu aku dah terjaga. Kenangan itulah yang bermain di kepala setiap malam bila aku berbaring di katilnya. Memang aku rindu waktu itu.

Aku sangat berharap, akan dapat diberi peluang lagi untuk bersama Mummy. Temankan dia tidur.

Bersambung….

nota kaki: sejak pergi dari waktu dinihari Ahad itu, Mummy memang sudah tidak berpeluang kembali lagi ke rumah kesayangannya di Kota Bharu

The 1st Hint

12 Sep

May, Kuala Lumpur.

Petang itu, aku tergerak hati untuk call Mummy bertanyakan khabar. Daripada pertemuan terakhir kami seminggu dua sebelumnya, aku terperasan tubuh Mummy makin susut dan pucat. Aku tahu dia tak sehat dan selalu uzur. Kerana itulah dari awal tahun ini kami, adik beradik berpakat untuk pulang ke Kota Bharu secara bergilir untuk menjenguk keadaan Mummy, juga Abah di sana.

Sebagai anak perempuan yang paling bongsu dan masih belum berkeluarga, aku tidak ada masalah untuk kerap berulang- alik antara KL-KB. Aku akui, sebelum ini hubungan kami dua beranak tidaklah serapat orang lain. Mummy tak pernah manjakan anak-anak, dia sangat tegas sepanjang membesarkan kami adik beradik. Tak pernah wujud istilah anak manja, anak kesayangan pun antara kami malah aku yang bongsu nih pun tak pernah dapat layanan berlebihan daripada Mummy.

Sebelum ini, aku memang jarang bersembang telefon dengan Mummy. Sebab aku tahu, hampir setiap minggu Kak Da dan Kak La akan update perkembangan kami semua di sini. Itulah rutin mereka hampir setiap minggu selama bertahun-tahun. Hanya setelah kelahiran cucu paling junior Mummy iaitu Asma’ pada 2011 itulah baru kami kerap bersembang. Sepanjang masa Mummy akan telefon aku untuk bertanyakan khabar dan bercerita tentang cucu kecilnya itu. Riuh-rendah suara Mummy bercerita dan ketawa mengingatkan keletah nakal si Asma’. Kerana si Asma’ lah buat hubungan kami dua beranak tambah erat.

Bila aku pulang ke KB pun, perkara pertama yang ditanya tidak lain lagi hal selain hal Asma’ . Sampai separuh hari pun tak mengapa, punyalah Mummy terhibur dengar cerita perkembangan cucu paling kecilnya itu. Hari-hari lain kami akan berbual tentang apa saja, kadang-kadang duduk bersama menonton drama Melayu kegemarannya, minum petang dengan hidangan ubi goreng dan teh o panas.

Hanya pada awal tahun ini, aku sudah terperasan ada sedikit kelainan setiap kali aku pulang. Kalau selalunya setiap kali aku pulang, sampai di muka pintu Mummy sudah siap menunggu. Bukakan pintu dengan gembiranya, siap terhidang masakan kegemaran setiap anaknya di meja makan. Tapi pada awal tahun ini, gambaran itu semuanya sudah lenyap. Mummy sudah tidak lagi menyambut kami di muka pintu, ada sekali dua makanan pun tidak ada di bawah saji. Mummy duduk menyendiri di hujung ruang TV, bermuram. Tapi bila diajak bersembang, lama-kelamaan keadaan akan menjadi seperti biasa..jadi fahamlah Mummy sudah mula mahu perhatian daripada anak-anak yang berjauhan daripadanya. Ada sedikit rajuk pada hatinya.

Aku sendiri bila ada masalah, selalunya aku pendam sendiri. Bila tersangat runsing atau buntu, aku akan call KB hanya untuk bersembang kosong dengan Mummy. Tak pernah sekali aku nak mengadu kesusahan aku padanya, kerana pada ucapan pertama sebaik terdengar suara Mummy hati aku akan berubah tenang. Betapa besarnya kuasa Allah Taala menjadikan ibu penawar resah.

Cuma sekali berlaku satu insiden di mana keadaan terlalu mendesak dan aku harus segera pulang ke tanah kelahiran, untuk merasa dekat dengan Mummy. Berdepan dengan keadaan yang sangat menyedihkan hingga aku tak sampai hati untuk bercerita padanya, takut pula hatinya runsing. Aku lebih banyak mengurung diri dalam bilik, mengelak untuk berdepan Mummy tapi aku tahu dia sebagai ibu sudah tentu dia tahu aku dalam kesusahan. Tapi sekali pun dia tak pernah menanyakan kenapa kelakuan aku sangat aneh ketika itu. Kami tak pernah terbuka tentang perasaan masing-masing, tapi aku faham Mummy memang tunggu aku buka mulut untuk bercerita, selagi aku diam dia takkan bertanya. Pulang kali itu aku benar-benar mengasingkan diri, langsung tidak berada di dapur membantu Mummy pun. Aku dah bersedia untuk tahan telinga kerana Mummy memang sangat pantang tengok aku bermalasan, tapi alangkah terkejutnya aku kerana dia sanggup datang mengetuk pintu bilikku untuk mengajak aku turun makan. I was expecting a good yelling coming from the kitchen downstairs,as usual if I was late to join at the table. Tapi dia mengajak aku dengan nada penuh keibuan, as if I was a 7-year old. Aku tahu dia cuba untuk bertanya apa masalah yang aku hadapi tapi untuk sekali itu dia melayan aku sebagai seorang dewasa. Malangnya aku tetap berdiam diri kerana tidak mahu membebankan Mummy lagi.

…dan petang itu, belum lama aku berbasa-basi di talian bertanyakan khabarnya, Mummy sudah bersuara dan berpesan kepada aku. Yang mana mungkin aku akan lupa tentang kata-katanya itu, dengan sayu nadanya tidak seperti selalu. Pesanan yang seperti menghiris hati secara perlahan, yang membuat aku tergamam dan berulangkali aku tanyakan diri sendiri; sudah sampaikah masanya untuk aku dengar semua ini?

” Nuri, dengar sini Mummy nak pesan. Mummy ni sakit, Mummy tak sihat. Tak tahu lama mana lagi Tuhan nak bagi masa. Mummy dah bagitau Kak Da, Mummy amanahkan Nuri pada dia. Dia kakak sulung, dia yang jadi pengganti ibu bila Mummy takda nanti. Bila dia tegur, jangan terasa hati..jangan melawan dia. Ingat ni pesan Mummy…”

That’s it. That was the 1st hint…