Archive | Uncategorized RSS feed for this section

…petang 4 Syawal itu

4 Jan

Mummy disahkan pergi menghadap Allah pada 5:38 petang, Rabu 22 Ogos 2012 bersamaan 4 Syawal 1433H.

Masing-masing tenggelam dalam tangisan, esakan masing-masing. Kami melepaskan beban emosi sendiri, tanpa ditahan-tahan lagi. Aku pandang wajah mereka bersilih ganti. Abang Man yang bersendirian sambil mengesat airmata, Jang yang berpelukan dengan anak isterinya, Kak La dengan airmata pilunya yang sesekali merintih sayu “Mummy dah takda” berulangkali, Kak Ta di penjuru lain, Kak Da yang tersedu sambil didakap Angah, anak lelakinya.

Aku tersandar ke dinding, lalu perlahan-lahan terduduk di lantai.

“…Mummy dah takda lagi….”

………………………………………………………

Kemudian kami ambil giliran untuk bersendirian bersama jenazah Mummy, seorang demi seorang untuk memberi penghormatan akhir sementara menantikan pihak hospital menguruskan prosedur seterusnya. Ketika itulah aku ambil kesempatan untuk update status di facebook; sebagai makluman kepada seluruh kaum kerabat dan juga sahabat yang alhamdulillah sangat prihatin dengan keadaan Mummy selama di hospital dan tidak putus-putus mengirimkan doa, kata-kata semangat dan perangsang serta sentiasa bertanyakan khabar kami. Melihatkan bateri telefon semakin lemah, aku beralih ke satu sudut di mana terdapat plugpoint untuk menumpang caj.

Ketika itu jugalah aku terdengar bunyi hujan yang tiba-tiba saja turun membasahi sekitar Serdang, seolah-olah turut sama menangis bersama kami, anak-anak yang baru sahaja kehilangan bonda yang dikasihi. Dalam sayup-sayup aku yang kebingungan itu, aku hanya mampu memandang kosong pada wajah-wajah di hadapan mata. Aku nampak ketibaan anak-anak saudaraku yang semakin memenuhi ruang; anak-anak Kak La iaitu Elyn dan Anati segera menenangkan Mama mereka dengan memeluk tanpa bersuara. Anak-anak Kak Ta; Nik Jiq, Kak Nik, Nik Aliaa dan Nik Mad juga sampai sejurus itu lalu terus dibawa oleh Kak Ta untuk membacakan Yassin dan peluk cium Mummy Tok mereka untuk kali terakhir.

“Mummy Tok seorang yang jaga kamu semua 5 beradik dari dalam pantang lagi…”

…………………………………………………………

Bila tiba masanya giliran aku untuk bertemu, dengan susah payahnya aku menahan sebak. Langkah aku longlai, sambil aku merapati katilnya hingga ke sebelah kepala. Aku lihat wajah Mummy sangat tenang, seolah-olah sedang nyenyak tidur. Sesungguhnya Mummy sudah terlepas daripada menanggung derita kesakitan daripada sel-sel kansernya yang sangat agresif itu.

Aku membacakan Al-Fatihah di dalam hati, sambil tangan kanan memegang tangan sejuk Mummy dan jari-jariku mengelus dan membelai ubun-ubun Mummy. Aku sangat pasti setiap ibu sudah tentu pernah dan selalu berbuat begini ke atas setiap anak-anaknya; baik ketika sedang tidur ataupun sedang sakit. Kalau demam panas sepanas berapa puluh pun suhunya itu, pasti akan terasa lega bila disentuh oleh ibu. Maha Suci Allah yang mengirimkan ibu-ibu sebagai penawar pada setiap anak.

“Mummy I am so sorry, tak boleh hadiah mengaji untuk Mummy as what you hoped…”

hanya aku anaknya yang tidak pernah merebut peluang itu sebelum ini,sepanjang hayatku. Menyentuh atau membelai rambut Mummy ketika ia masih berwarna hitam hinggalah ia penuh putih beruban. Hatta memicitnya pun aku tidak pernah. Baru sekarang, ketika itu aku baru menyentuhnya dengan segala macam jenis perasaan. Sedih. Sayu. Pilu. Kesal.

…rindu….

…………………………………………………………..

Aku berusaha keras menyeka airmata. Tunduk mencium ubun-ubun Mummy, untuk yang pertama dan terakhir. Melafazkan “innalillahiwainnailaihirajiun” dengan penuh sayu. Mencium dahi Mummy dengan segala kasih sayang. Mencium kedua-dua belah pipi Mummy; yang dulu akan juga membalas ciumannya di kedua-dua belah pipi aku. Mencium tangan Mummy yang sudah mulai dingin. Tangan yang telah menyambut kehadiran aku ke dunia. Tangan yang mengendong aku dalam dakapan hangatnya seorang ibu. Tangan yang menyuapkan makan minumku. Tangan yang mengasuh aku. Tangan yang memimpin aku untuk langkah pertama. Tangan yang menenangkan aku bila sakit, atau menangis atau dengan kerenah nakalku. Tangan yang menjaga aku, menyapu air dingin ke ubun-ubunku setiap kali aku demam. Tangan yang membesarkan kami semua, mengalirkan kasih sayangnya melalui masakan-masakannya yang tidak pernah menghampakan kami semua. Aku tunduk dan mencium tangan-tangan itu dengan penuh hormat dan cermat.

Perlahan-lahan tanganku menyentuh kaki Mummy. Mengusapnya perlahan, aku tunduk dan menciumnya buat yang pertama dan terakhir. Kerana itu syurga aku. Syurga aku yang telah pergi…

“selamat tinggal Mummy, selamat tinggal syurgaku..kita berpisah buat sementara saja. Janji Mummy tunggu Nuri ya? Kita akan jumpa lagi, kita mesti berjumpa dan berkumpul di Jannah. Nuri akan buat apa saja untuk bertemu Mummy lagi, ampunkanlah segala dosa-dosa ibuku Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku ke atas ibuku, ampunkanlah dosa-dosa aku Ya Allah. Cucurilah rahmatMu ke atas rohnya serta tempatkanlah rohnya di kalangan mereka yang beriman dan soleh. Sesungguhnya aku anaknya redha dengan pemergian ini, kami semua redha ya Allah dan Kau bantulah kami hambaMu yang serba kekurangan ini…”

Aku terdiam dan hanya merenung kosong pada wajah Mummy, serta jenazahnya yang terbujur kaku. Serta-merta kesunyian datang menggamit seluruh tubuhku, dan perlahan-lahan ia membawa aku kepada sebuah perasaan rindu yang belum pernah aku rasakan sebegitu. I still remembered her smile last few days, only to remember that I was too late to tell her how much I love her. How much I will miss her, of so many things I wanted to share and tell her. I never tell her how calm it was for me to listen to her voice, eventhough dia sedang berleter kepada aku ketika itu. This whole experience of nursing her dan jaga segala keperluannya was full of bergaduh, dan aku dengan hati kering aku because I was misunderstood she was only being difficult to all of us. And now that’s it…she’s no longer around with us.

…how much I missed to hug her….

20130104-145938.jpg

Ini bukan sambungan lagi…

10 Oct

Salam all (bajet ramailah sangat readersnya),

Sorry for the long absence. Dari tarikh Sabtu minggu lepas aku dan 3 orang kakak (yang suka aku gelarkan The Kakoks) berkelana pulang ke tanah kelahiran, setelah sekian lama Mummy berpindah ke alam lain. Kami rasa kepulangan ini perlu, untuk berkemas segala yang patut dan menjalankan amanah yang tergalas; menyampaikan salam Mummy kepada sebilangan teman rapat kuliah masjidnya. Tapi biarlah cerita itu aku tulis di post akan datang. Nanti storyline bertembung, naya 🙂

Post ini hanyalah untuk memaklumkan aku masih lagi di tanah kelahiran, setelah ditinggal pergi oleh The Kakoks. Biarlah, mereka ada tanggungjawab lebih besar daripada aku. Jadi di rumah peninggalan ini, hanya ada aku dan Abah 2 beranak saja. Abah ok, sihat dan menunggu tarikh temujanji dengan doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada hujung Oktober ini. Jadi diharapkan kehadiran aku, walaupun tak banyak bercakap bisa mengubat kesunyian Abah. Aku juga ambil peluang ini untuk berdepan dengan realiti seterusnya, ‘kehilangan’ Mummy di rumah ini. 

Jadi aku ambil masa sementara dari blog, untuk aku teruskan dengan latihan psiko-mental-emosi-panggil-apa-saja-kau-mahu sepanjang berada di rumah ini. Nak menulis pengalaman menjaga Mummy di hospital pun aku tak kering airmata, ini kalau digagahkan juga dalam masa sama aku kuat berperang emosi di rumah tinggalan ini..ooh rebah. 

Aku tiada timeline khusus; berapa lama, sampai bila, bagaimana untuk aku terus berkeadaan begini. Yang aku tahu, cukuplah aku tidak meratap hiba pemergiannya dan aku tidak persoalkan ketentuan Allah Taala. Sejujurnya, aku pernah terfikirkan tentang situasi “what if”- bila Mummy meninggal dunia beberapa tahun dulu. Dan kalau tidak silap, persoalan itu juga pernah hadir lagi sekitar tahun lepas. Tapi percayalah, ketika cuba membayangkannya pun aku tewas dengan airmata. Serius tak sanggup menghadapinya. 

Jadi untuk soalan “bagaimana ya rasa bila Ibu tiada?” atau pernyataan “jangan sedih” atau “jangan banyak fikir” atau “sabar” dan sebagainya, aku memang tiada jawapan untuk itu. Memang tak pernah ada jawapan tepat, dan sememangnya takkan pernah ada jawapan tepat sebenarnya. Tapi bukan pula bermakna aku marah atau terjauh hati, tidak. Tapi bagi aku, untuk soalan abstrak perlukan juga jawapan yang abstrak. 

Aku hanyalah seorang anak bongsu, yang tidak pernah ada sejarah hubungan mother-daughter yang sangat bonding atau manja berpelukan mesra sentiasa mengucap sayang antara satu sama lain. Tapi untuk aku, dan aku rasa untuk setiap anak lain.. untuk aku Mummy itu segalanya. Dia sumber inspirasi, dia sumber kekuatan bagai tulang belakang, dia nyawa aku. Begitu juga aku rasa perasaannya pada mana-mana ibu terhadap cahayamata mereka jugakan? 

Aku belum berkesempatan lagi untuk menjadi ibu, untuk merasa pahit manisnya hamil mengusung kandungan, belum merasa perih jerih bertarung nyawa melahirkan. Tapi melalui pengkisahan dan pengalaman sekitar aku, aku faham anak itu bagai nyawa bagi setiap ibu. 

Maka jawapan abstrak aku untuk keseluruhan pertanyaan seumpama tadi ialah lebih kurang begini;

Aku belum lagi merasa sakitnya mengandung dan melahirkan, tapi aku sudah merasa sakitnya kematian ibu. Orang boleh bercerita 1001 pengalaman sakit melahirkan, begitu juga 1001 sakitnya apabila kehilangan ibu. Tapi adakah pengalaman melahirkan itu sama sahaja bagi setiap kita? Begitu juga dengan pengalaman kehilangan. Ya sakit beranak itu yang paling sakit katanya di dalam dunia, tapi setiap orang pengalamannya berbeza. Begitu juga pada setiap anak yang kehilangan ibu mereka. Bagi aku personally, bagai hilang separuh nyawa the moment she was pronounced dead. Separuh nyawa pergi. Separuh nyawa terbang…separuh nyawa. 

Bagi ibu yang melahirkan, bila bersama anak baru dalam kendongan seolah mendapat nyawa baru. Ibu serahkan segalanya di dunia demi membesarkan anak, dan magisnya untuk setiap anak yang berikutnya juga perasaan sama berulang ganti. Tapi bila seorang anak kehilangan ibu? Tambahan lagi pada seorang aku, si anak bongsu tanpa keluarga sendiri hanya berpaksikan pada seorang Mummy. Rebah bangun, rebah bangun mati hidup semula pun aku harus akur ketentuan Allah yang Mummy sudah dipanggil Dia. It’s a battle not to think too much of it, tapi bagi keadaan yang kalau sudah disamakan seolah separuh nyawa itu sudah pergi..tolong berlaku adil separuh nyawa lagi juga perlu masa untuk kembali seperti sediakala. Aku tidak tahu bagaimana rupanya sakit melahirkan, jadi seadilnya tidak perlu aku potong kata-kata mereka dengan “alah,kau jangan fikir sangatlah nanti tahun depan beranak lagi!” sebab aku tidak tahu rasa sebenarnya. Dan kalau iya pun sudah sampai masanya nanti untuk aku sudah tau bagaimana rasanya, it doesn’t give me any right untuk menyamakan pula sakit yang pernah aku lalui dengan sakit orang lain pernah/akan lalui kerana kekuatan kita takkan pernah sama, dan kelemahan kita takkan pernah sama. Kuasa Allah Taala yang menciptakan setiap kita berbeza setiap satunya 🙂 

Aku kira jawapan itu sudah cukup barangkali untuk menerangkan persoalan-persoalan tadi. Hampir 2 minggu berada di KB, alhamdulillah segala urusan yang harus dikerjakan berlangsung baik. Teman-teman yang tinggalkan komen tanya bila mau sambung cerita, no worries akan disambung sekembalinya ke Shah Alam nanti ya. 

 

Salam dari Kota Bharu

 

…how I started to cook (back)

16 Sep

May, Kuala Lumpur

Abah and I arrived at LCCT tengahari. Kasihan Abah, aircraft parking jauh kat dua-dua airport lalu memaksa Abah berjalan jauh. Masa di airport KB awalnya hanya kami 2 beranak passengers yang belum boarding, bayangkan betapa kelam kabutnya kami. Agak mendukacitakan keadaan eskalator yang rosak selepas kaunter boarding, aku seboleh-bolehnya tak nak gesa Abah berlari anak atau bertambah kalut. Tapi aku tetap mendahului sebab nak inform awal pada staff AirAsia, Abah tak sihat. Terfikir jugak nak dapatkan wheelchair untuk Abah, tapi judging pada keadaan aku nak bawakan beg dia pun boleh ditolak, aku tak mau ambil risiko nak bercerekarama lagi dengan Abah kalau berkeras nakkan wheelchair untuknya.

Sampai di LCCT pun sama, aircraft parked paling hujung sekali. Tapi kali ni kami tak perlu gopoh-gapah lagi. Aku jalan perlahan, saing dengan Abah. Aku perhatikan Abah dah terlalu penat, tapi dia gagahkan juga. Sepanjang dalam penerbangan tadi pun, Abah diamkan diri. He was afraid of heights. Ikutkan hati, dia lebih rela nak travel naik bas sebenarnya tapi aku larang. Buatnya sakit dalam bas, nak buat macam mana? Dah la makan masa berjam-jam! Tapi apa pun, aku lega sebab berjaya juga bawa Abah bersama. Walaupun cara aku keras dan radikal, but it was desperate. Berserah saja pada Allah untuk berikan aku merit sebanyak mana, Dia Maha Mengetahui niat dan nawaitu aku bagaimana.

Jang sampai menjemput kami, tapi aku sambung perjalanan terus ke Kepong manakala mereka singgah di Bangi sebentar kerana Jang ada urusan sebelum mereka direct ke Tg. Malim. Rasa ralat juga kenapalah aku tak ikut sama ke Bangi, boleh aku jenguk keadaan Mummy dulu. Tapi entah apa yang dikalutkan, aku pun tak tahu.

Weekends seterusnya, aku ke Bangi rumah Kak Da. Aku lihat keadaan Mummy masih tak berubah, badan masih tetap menyusut. Aku tanya khabar Abah, rupanya Abah mengalami kekejangan kaki ketika dalam perjalanan ke Tg. Malim. Aku salahkan diri aku kerana keadaan sepanjang kami travel dari airport ke airport tempoh hari. Abah dengan tak cukup rehatnya tapi ‘dipaksa’ untuk lasak berjalan, turun naik tangga dan sebagainya. Tapi kemudian aku ingatkan diri sendiri juga, benda kalau dah jadi kau tahu tak mana ia nak jadi? Sekurang-kurangnya jadi depan mata kami anak-anaknya, kalau kami biarkan Abah sendirian di KB boleh ke kami pantau keadaannya? Tapi bila dengar Abah terpaksa dipapah untuk bangun ke bilik airnya pun, buat hati aku tidak keruan. It didn’t sound like our Abah before…

Ketika berpeluang bercerita dengan Kak Da di Bangi pun, Kak Da kisahkan pada aku perihal Mummy. Nak tengok Mummy makan seolah berperang rasanya. Kami faham Mummy tak sihat, tak ada selera makan tapi yang susahnya Mummy seolah tak beri kerjasama nak bagitahu apa menu makanan yang dia nak. Selalunya dia akan cakap masaklah apa saja, dia tak tahu nak decide. Tapi bila dah siap dihidang, ada saja benda yang tak kena di mata dan deria rasanya. “pedaslah, banyaklah” dan sebagainya. Pernah nasi hanya luak 2-3 sudu sahaja. Kenyang dengan supplement bersulam air. Aku cakap pada Kak Da that was not good, it didn’t sound right. Dia mesti dibawa ke hospital. ” but she went furious with the idea” kata Kak Da. “then must make her eat properly lah..sikit takpa,tapi kena frequently. Kalau dia tak nak, ugut nak bawa dia gi hospital masuk drip”. Kalau dengar cerita Kak Da dengan perangai Mummy nih, memang buat aku ngeri. Pagi-pagi time kalut nak ke pejabat, Mummy akan turun bawah dan duduk menunggu di meja makan. Walaupun makanan dah siap, Mummy takkan makan selagi tak dicedokkan makanan tu ke dalam pinggannya. Bila tiap kali balik dari kerja, Kak Da selalu lewat kerana mencari-cari makanan sesuai dengan selera Mummy. Pernah jadi isu bihun goreng tawar takda rasa pedas pun Mummy langsung tak jamah kerana katanya pedas.

But afterall, we came to the conclusion that Allah memang sedang menguji kami semua anak-anak. It’s either bonus points ke syurga, atau menderhaka lalu nerakalah jawabnya. Ibaratnya kami ni diberi segugus kunci untuk buka pintu syurga, tapi pandai-pandailah cari yang mana satu sepadan manakala pintu neraka ibaratnya semudah menekan butang lif sahaja.

…dan pada hari Ahad itu, Kak Da memang tak menang tangan uruskan hal pemergian bossnya lalu kewajipan menjaga makan-minum Mummy diserahkan kepada aku. Kak Da dah siap keluarkan ikan bawal dari fridge, minta aku sediakan bawal masam manis untuk hidangan Mummy. Mulanya aku agak keberatan, khuatir tak dapat buat sebagaimana Mummy nak dan penyudahnya kami akan bertekak lagi macam kebiasaan kami dulu. Dua-dua jenis hati panas. Tapi kerana kesiankan Kak Da yang tengah pening, juga kesian pada Mummy jadi aku kuatkan semangat. “tiapkali kau sakit demam teruk dulu, sapa yang jaga makan minum kau? Mak kau sikit pun tak pernah merungut tiapkali kau buat perangai tak mau makanlah, tak da seleralah, tak sedaplah! Kau sanggup nak tengok mak kau laparkah?!” aku monolog dalam hati.

Dalam gementar dan penuh hati-hati, aku persiapkan bahan-bahan untuk menu tersebut. Tau-tau Mummy dah turun, menunggu di kepala meja seolah sudah menanti hidangannya. Kak Da pulak ringan mulut nak announce pada Mummy yang aku akan buatkan ikan bawal masam manis untuknya. Lagilah aku nervous time tuh. Dari ekor mata pun aku tau, Mak Aji nih tengah perhatikan aku masak. Satu persatu. “masuk sos cili tak?” sempat lagi nak popkuiz aku.

” takda setitik pun sos cilinya. Ikut style Mummy la nih..sebijik. Tumis bawang besar, masuk sos tomato, garam gula..kicap manis sikit” kicap manis? Ada ke tak kicap manis dalam style dia ni hah? Aku kecut perut tunggu balasannya, memang pantang besar kalau resipinya kau sukahati derhaka! But surprisingly, dia diam je. Sos masam manis aku dah siap, lalu aku siramkan atas bawal yang dah siap digoreng awal tadi, lalu aku hidangkan.

Dengan gaya Chef Ramsay, Mummy try bawalnya dulu. “hmm betullah nih..” aku cakap makan nasi tu sampai habis. Kemudian aku tinggalkan sebentar, hanya untuk kembali bila Mummy dah selesai makan. Verdict: nasi 2 senduk kecil habis licin. Ikan bawal habis sebelah. Bila aku tanya kenapa tak habis jugak ikan tuh? ” simpan untuk karang pulak”

Dan dari situlah bermulanya kerja aku untuk sediakan makanan Mummy. Mummy akan makan lebih sikit dari kebiasaannya. Hanya aku yang berani mati nak berhujah dengannya masakan tu tak pedas. Sos tomato pedas katanya? At one point, Mummy macam buat perangai tak nak makan dan aku menyirap. “makanan belum bersentuh but you already tak nak? Kalau buat susah macam nih kita gi hospital jelah ya? Mummy makan dengan tiub ok?” aku dah start ugut. Dan dia akan mula makan. Perlahan pun tak pe, aku tetap tunggu.

Tapi masalahnya, aku hanya berkesempatan untuk masak hanya pada weekends saja. Time tuh aku sibuk dengan urusan kerja, nak tinggal bersama di Bangi sangat jauh untuk aku ulang-alik. Hati siapa tak runsing macam mana makan minum Mummy sepanjang hari bekerja? Bersendirian di rumah sepanjang hari. Mujurlah khabar dari Tg. Malim ok-ok saja, Abah bab makan ok. Pergerakan pun makin baik, Jang belikan tongkat untuk mudahkan Abah. Legalah sedikit mendengarnya. Cuma hal Mummy seorang ni saja yang membimbangkan. Tiap kali weekends aku akan balik tak kiralah ke Bangi atau Shah Alam, depends pada pergerakan Mummy nak tinggal rumah mana time tu. dan tiapkali balik aku akan ambilalih jaga menu makannya. Kak Da dan Kak Ta ada bergurau, aku seorang saja yang boleh buat Mummy makan tanpa kerenah. Padahal sedap ke tidak aku tak tahu. Aku cuma laksanakan tanggungjawab aku sebagai anak, dan sememangnya aku nak sediakan makanan untuk Mummy. Aku tak pandai nak express feeling kasih sayang aku macam mana, but somehow aku rasa dengan masaklah aku zahirkan segala rasa hormat dan kasih sayang aku terhadap ibu. Sekali pun aku tak pernah dengar Mummy complaint masakan aku masinkah, pedaskah. Tiada rungutan pada kakak-kakak aku juga tentang masakan aku. Jadi aku nekad, apa pun selagi boleh aku akan masak untuk Mummy…

.
.
.
.
.
.

…. Walaupun sekarang Mummy dah tiada, aku tetap masak. Malah makin rajin nak ingat segala masakan yang Mummy selalu buatkan untuk aku, dan kami sekeluarga. Bersendirian di dapur sambil sediakan bahan…kadang-kadang aku ambil masa dan pejamkan mata. Bayangkan keadaan dulu, semasa aku membesar dan selalu dipaksa ke dapur oleh Mummy. Asasnya tak sudah dengan menumbuk bawang. Dan tagline cliche mana-mana ibu sekali pun..”perempuan setinggi mana pangkatnya pun, ke dapur jugaklah tempatnya” masa tu aku mencebik bosan, tapi sekarang aku iyakan. Dapur itu ruangan istimewa mana-mana perempuan, mana-mana ibu pamerkan kasih sayang. Jangan terasa kalau ibu jarang memeluk atau ucap sayang anaknya, cukuplah air tangannya membesarkan kita. Baru sekarang aku sedar itu semua. Walau aku berjaya masak “bertemankan suara Mummy” yang selalu marahkan aku di dapur, dan bila hasilnya sekarang dapat komen “macam Mummytok buat” atau “bau macam rumah Mummytok” dari anak-anak buahku, tetap dalam hati aku menangis.

Aku rindu nak masak untuk Mummy lagi….

Intro

12 Sep

Hari ini genap 21 hari pemergian bonda tercinta yang selalu aku gelarkan wataknya di status-status Facebook aku sebagai ‘Misi Zah’. Diam tak diam, 3 minggu sudah berlalu. Blog ini aku dedikasikan sempena kasih sayang dan ingatan aku terhadap beliau yang tak akan mungkin hilang begitu saja dimamah waktu.

Kenapa aku ingin menulis kembali? Kerana antara komen yang yang sering diperdengarkan ialah sudah tiada lagi kisah tentang Misi Zah setelah pemergiannya. Sungguh aku tidak menyangka begitu sekali pandangan baik orang terhadap Misi Zah selama ini. Rupanya segala kisah antara kami anak beranak sedikit sebanyak menarik perhatian sesetengah kalian.

Maka dengan itu aku fikir, apalah salah untuk aku menulis dan mengimbau segala kenangan suka duka, pahit manis antara kami dua beranak khususnya, dan apa saja yang pernah berlaku antara Misi Zah dan ahli keluarga dan kenalan lain. Aku cuba untuk imbas apa saja sedaya mampu, tidak terhad kepada pengalaman menjaga beliau di hospital tetapi apa saja merangkumi kesukaan, resepi masakannya dan tazkirah yang pernah disampaikan padaku semasa hayatnya.

Semoga tulisan ini dan seterusnya akan memberikan ingatan yang baik-baik terhadap Misi Zah, insya Allah.

 

Al- Fatihah.