Archive | November, 2012

The 100th Day

30 Nov

…..

Today’s marked the 100th day of Mummy’s passing. Not a single day I lived on without not thinking of her since then. 100 hari yang sunyi. Sunyi yang perlahan-lahan telah aku hadam, dan belajar untuk kuat darinya.

Genap hari ke-100 ini aku ada di tanah kelahiran, di rumah peninggalan. Walaupun sudah tidak sesedih pulang untuk pertama kali, tapi masih lagi ada sudut rumah yang masih sangat terkesan lagi tentang Mummy. Kalau dulu aku sering mengelak, atau cepat-cepat berlalu tapi sekarang aku sudah mampu bertenang dan bernafas dengannya.

Pulang pertama kali yang lalu, aku paling terkesan di ruangan dapur. Our battle field. Selalu saja kena marah di situ, bersebab atau tidak. Dalam banyak-banyak ruang, rupanya dapur itu ruang peribadi antara aku dan Mummy. Selama bertahun-tahun di awal kehidupan aku telah disaksikan di situlah tempat aku didewasakan, luar dan dalam. Mendidik kesabaran aku bertahan dengan setiap leteran, melatih bicara aku berhujah mempertahan diri, mengasah sifat lumrah aku sebagai anak dan perempuan. Ruang di mana aku luka terhiris pisau di ruas-ruas jari, juga luka di dalam hati sesekali. Juga melukai hatinya setiap kali, tahun demi tahun membesarkan aku.

Pulang yang pertama dahulu, sudah berapa kali aku ‘menyahut panggilan’ Mummy, tanpa sedar. Sendirian. Sumpah, suaranya sangat terngiang di telinga apabila melintas ruangan itu. Kerana itu aku elak untuk makan atau berlama di situ, kerana rindu akan terus datang menyerang tanpa simpati. Ketika itu aku masih lagi cuba-cuba untuk kuat, tempat lain dalam rumah aku bisa gagahi tapi tidak di ruang itu.

Aku biasakan dengan barang-barang peninggalannya. Solat dengan telekungnya, sujud di atas sejadahnya dan berlama di ruang itu. Menyentuh buah-buah tasbih with the thought ‘this was how she felt everytime she prayed for us’. Each of us. In the early days, aku terlelap dengan mengalas telekung, atau kain batiknya. Airmata memang jadi teman setia, ketika itu rindu memang menyakitkan.

Dalam 100 hari pertama tanpa Mummy ini telah banyak mengajar aku tentang kematian, dan erti hidup. Tentang betapa kita hidup di dunia ini sebenarnya untuk akhirat. 100 hari yang menyedarkan aku dan buat aku fikir sedalam-dalamnya. Yang mendorong hati untuk berhijrah. Bukan saja dari segi sebagai anak, juga sebagai manusia. Juga sebagai muslim. Perlahan-lahan aku buka mata hati, dan belajar untuk mendengar serta merasai apa hikmah yang tertulis untuk aku sebenarnya. Alhamdulillah…aku menemukan jalanNya.

Tempoh 100 hari ini, seolah mengingatkan aku kembali pada 1 cerita tentang Mummy ketika dia lama berkelana di Tanah Haram. Ketika itu aku masih remaja, di belasan tahun. Dan Mummy baru pertama kali menunaikan haji. Hubungan kami anak-beranak ketika itu terlalu banyak warna, warna garang semestinya kerana banyak pertelingkahan antara kami berdua. Pada Mummy aku anak yang paling degil dan susah untuk difahami; pada aku Mummy sengaja tidak memahami dan terlalu mendesak dan menyesakkan hati.

Semakin dekat tarikh pemergian Mummy ke tanah suci, semakin aku keliru bagaimana untuk menghantarnya pergi. Pemandangan biasa kalau di airport menghantar rombongan haji, selalu aku lihat mereka akan saling berpelukan. Dan itulah perkara paling aneh antara aku dan Mummy, kerana aku sudah lupa bila kali akhir kami saling berpelukan.

But it was Mummy yang menarik aku dulu untuk dipeluk, sebelum dipanggil ke departure. Dalam kesesakan manusia. We didn’t say a word, but I still remembered how was the feeling. Terasa hanya kami berdua saja di dalam hingar-bingar itu. And it gave the calm feeling.

The 2nd time Mummy ke sana agak lama. We ‘lost’ her ketika itu, due to some stupid political act from the Malaysian authorities yang menghasut kerajaan Saudi untuk menghantar balik jemaah imigran, yang tinggal tanpa visa setelah umrah sementara menunggu musim haji. Setiap hari kami menunggu berita, namun nama Mummy tak pernah timbul di kalangan mereka yang akan dihantar pulang. Solat hajat kami langsungkan di masjid-masjid sekitar perumahan kami, mohon perlindungan untuk Mummy yang sebaiknya di kota suci.

Yang sebenarnya ketika itu, Mummy sedang aman beriktikaf di dalam Masjidilharam. Selama 43 hari katanya Mummy hidup memandang kaabah di depan matanya. Bekalan makan-minum langsung tidak menjadi masalah, kerana adanya penjual berasal dari Pattani dan Indonesia yang bersedekah. Siapa tahu dengan kerja Allah, Mummy diberikan kesempatan sebesarnya untuk hidup ‘percuma’ di Masjidilharam, untuk beribadah semahu-mahunya. Kalau tidak salah, lebih kurang 100 hari juga kami terpisah anak-beranak dan dalam tempoh waktu itu juga kami pernah langsung terputus hubungan.

Tapi 100 hari kali ini memang amat berbeza. Mummy benar-benar telah pergi, bertemu Rabbul Izzati. Pergi yang takkan pernah kembali lagi. Meninggalkan kami keluarganya, semoga bertemu lagi di syurga. Tapi kerana rindu, aku mohon dengan izinNya agar aku juga diberi kesempatan sebaik Mummy untuk aku menjejakkan kaki di tanah yang pernah didiami Mummy suatu ketika dahulu. Aku mohon untuk berada di tanah yang selalu disebut-sebut dan amat dirindui Mummy sejak sekembalinya dia dari sana, hingga akhir hayatnya. Semoga aku diberi kekuatan seperti Mummy, bersendirian di tanah asing tapi sangat dekat denganNya. Walaupun rindu ini akan berpanjangan, dan takkan pernah padam untuk Mummy tapi semoga ia terubat bila aku merasa pengalaman yang sama, menghirup udara yang sama pernah dirasa Mummy dan merasai sendiri kerinduan Mummy pada Baitullah. Semoga aku ‘bertemu’ Mummy di sana, in shaa Allah.

Dalam 100 hari yang banyak mengajar, aku telah sedar. Kehilangan itu tidaklah terlalu pahit. Terima kasih Tuhan yang baik, kerana meminjamkan Mummy selama 31 tahun pada aku. Selama 9bulan lebih sebelumnya lagi Kau tautkan perasaan kasih antara kami. Selama 31 tahun aku bertuah ditemankan Mummy, diberi panduan dan diasuh sebaiknya. Ya Tuhanku yang Maha Baik, tolong jagakan Mummy kami semua, dan tolonglah jagakan hati-hati kami agar tidak tergelincir dari jalanMu, semoga kami semua dirahmatiMu sepanjang masa, supaya kami dapat bertemu kembali di syurgaMu.

Cerita 100 hari yang pertama; rupanya hubungan ini lebih akrab bila tiada. Tapi aku tetap, dan akan tetap merindui untuk memeluk Mummy, seerat-eratnya. Sebagaimana aku merindui pelukan akhir ketika Mummy berangkat ke Tanah Suci, sebagaimana aku merindui perasaan yang terjalin dalam setiap dakapan ibu dan anak itu, sebagaimana perasaan memeluk jenazah Mummy 100 hari yang lalu.

Al- Fatihah, Mummy tercinta.

20121130-112937.jpg

2 Syawal

20 Nov

Sesudah Subuh aku sudah mula bekerja sendirian di dapur, mempersiapkan bahan-bahan untuk mengukus nasi lemak sebagai hidangan pagi raya yang ke-2 hari itu. Cadangnya aku mahu cepat siap untuk mudahkan urusan yang lain pula. Lauk-pauknya aku mahu bungkus sebagai bekal apabila aku kembali bertugas menemankan Mummy di wad nanti. Jujur, sedikit pun aku tidak merasa terbeban dengan tugas itu malah aku rasa sangat bahagia walaupun aku tak pernah zahirkan dengan lafaz kata-kata. Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk aku persiapkan makan kami sekeluarga dan memastikan Abah makan pagi dengan sekenyangnya. Aku tengok Abah sangat berselera dengan kuzi yang dicicah roti, walaupun lebihan semalam. Aku tahu, Abah rindu nak jamah masakan Mummy. Makan pun bertambah pinggannya.

Rancangan pada hari raya ke-2 itu adalah untuk kami bersama-sama pergi berkumpul dan beraya beramai-ramai dengan sanak saudara di Bagan Lalang, bila siap Zohor mau berangkat ke Hospital Serdang pula. Kami fikirkan itulah yang sebaiknya untuk kami berlama-lama memandangkan urusan ziarah kami selesaikan terdahulu. Kalau tak silap, Kak La akan pulang dari Janda Baik manakala Jang akan bergerak pulang ke Kota Bharu untuk beraya dengan keluarga mertuanya pula.

Aku mulai sibuk menyiapkan beg pakaian dan juga menyiapkan bekalan makanan. Kali ini aku siapkan pakaian untuk seminggu, berat rasanya kali ini untuk aku tinggalkan Mummy lagi. Aku tanyakan pada Kak Ta, jam berapa kami harus bergerak? Kak Ta jawab tunggu que daripada Kak Da yang baru saja ke hospital setelah menerima panggilan daripada doktor. Walaupun nada Kak Ta tidak berapa menunjukkan ia situasi yang serius, tapi entah mengapa aku mulai rasa tidak senang. Budak-budak sudah mula bersiap-siap, begitu juga dengan Abah.

Lebih kurang jam 12:00 tengahari, Kak Da menelefon untuk meminta kami datang ke hospital. Tanpa banyak soal, kami terus bergerak ke hospital. Sepanjang perjalanan pun kami banyak mendiamkan diri, masing-masing seolah sibuk melayan perasaan sendiri. Hati aku berdebar-debar, sambil aku berzikir dalam hati memohon dijauhkan daripada sangkaan yang buruk-buruk dan semoga Allah berikan segala kekuatan. Apa saja keadaan atau berita yang perlu kami dengar nanti, kami harus hadapinya dengan berani dan setabah hati.

Sampai saja di kawasan lobi hospital, kami cepat-cepat berjalan ke arah lif menuju ke tingkat 6 iaitu wad Mummy. Setiap detik menunggu itu dirasakan sangat lambat, aku mahu cepat bertemu Mummy. Beg baju untuk seminggu sudah siap, bekalan makanan juga sudah disiapsediakan. Aku sudah tidak kira berapa lama pun aku harus berkampung di wad untuk Mummy. Demi Mummy.

………………………………

And there she was. Terbaring lesu. Dengan mesin yang selalu sangat aku lihat pada adegan-adegan drama Melayu. Yang menunjukkan keadaan kritikal. Dengan tiub yang disalur ke hidung Mummy. Sumpah kami tinggalkan Mummy semalam dalam keadaan yang cukup sempurna, mana datangnya tiub itu?! Sumpah kami tinggalkan Mummy semalam dalam keadaan beliau yang cukup bahagia, tapi mana senyumannya sekarang? Aku tidak tahu apakah Mummy sedang tidur atau kembali tidak sedar ketika itu. Aku tinggalkan Mummy semalam dengan lambaian, dengan janji aku akan datang kembali untuk menemankan tapi sekarang aku datang tanpa sambutan pun.

……………………………….

Kak Da menghampiri kami dan memaklumkan apa yang telah diberitahu oleh doktor sebentar tadi. Ketika kami masih dalam perjalanan. Mereka dapati bacaan darah Mummy sudah turun, manakala urat-urat Mummy sangat fragile untuk disuntik lagi, sudahlah sukar untuk mengesannya. Darah Mummy juga cair, jadi sangat berisiko untuk mereka suntik dan hanya bergantung pada 1 saja pada saluran dripnya. Dalam erti kata lain, we only have hope and prayers sahaja. Doa agar Mummy mampu bertahan selama mungkin…. Pada hujung ayat itu Kak Da sudah sebak. Aku kerling pada Kak Ta, matanya juga sudah bergenang. Abah sudah berdiri di sebelah kepala Mummy, hanya merenung. Aku tertunduk, cuba untuk mencerna kembali ayat-ayat yang baru disampaikan pada kami tadi untuk aku fahamkan sebaiknya. Sememangnya aku sudah faham, terlalu faham tapi aku masih dalam penafian. Satu suara kecil yang datang dari sudut paling dalam seolah-olah terngiang pada pendengaran aku, dengan airmata yang mulai bergenang menjadi tasik di sudut mata aku memandang kembali ke arah Mummy untuk aku iyakan apa yang sedang bermain-main di benak fikiran aku ketika itu. Yang Mummy ketika itu sudah dihampiri oleh sakaratul maut….

Allahu Allah!

…………………………………

Aku hilang kata-kata ketika itu. Kaki terasa longlai, tangan aku bertongkat pada hujung katil Mummy. Aku lihat Kak Ta keluar dari kawasan tabir katil lalu menuju ke kawasan belakang berdekatan tangga kecemasan. Ketika itu aku baru perasan bateri telefon pula makin kurang jadi aku mengekor Kak Ta mencari plugpoint di kawasan tersebut. Perkara pertama ialah untuk menghantar sms pada Jang, dengan harapan dia sudah selamat sampai di Kota Bharu ketika itu. Takut juga kalau-kalau mesej sampai tapi Jang masih lagi memandu. Aku cuma khabarkan kalau dia bersedia, minta untuk hubungi aku segera. Ketika itu jugalah aku terdengar Kak Ta yang tersedu,rupanya dia sedang menangis di talian bercakap dengan Abg. Zul suaminya. Knowing Kak Ta yang berhati kering selama ini, untuk melihat dia di dalam keadaan sedemikian sudah cukup menggambarkan bagaimana pedihnya perasaan kami semua dengan keadaan terkini Mummy.

Kemudian kami kembali menemankan Mummy di tepi katil. Aku hulurkan iPad pada Kak Ta, aku katakan inilah masanya untuk kita bacakan Yassin untuk Mummy. Untuk mengakui keadaan itu bukanlah perkara yang mudah, kerana Mummy selama ini tidak pernah sakit kuat pun. Setakat demam biasa saja tapi sekarang…kami anak-anak yang perlu kuatkan hati untuk bacakan Yassin pula.

Ketika itu aku rasa tersangat ralat kerana keadaan aku yang uzur, yang menghalang aku daripada menyebut ayat-ayat suci. Tanpa disedari ketika itu jugalah aku merungut di facebook akan keadaan aku, dan mujurlah ada sahabat yang prihatin yang ingatkan aku boleh perdengarkan ayat suci di telinga Mummy melalui mp3 atau sebagainya.

Kak Ta menghampiri Mummy, dan dengan suara yang perlahan tapi cukup untuk Mummy dengar walaupun tersekat-sekat dek perasaan sedih dan sebak itu dia tetap gagahkan juga membacakan Yassin. Aku perasan ketika itu jugalah Mummy membuka mata, dan memandang pada Kak Ta. Lama.

“…kenapa baca Yassin? Mummy ok…Mummy sihat…”

“Takpelah Mummy…kita baca sama-sama biar Mummy lagi cepat sihat ya?”

Mummy angguk perlahan. Kak Ta mengumpul kekuatan kembali untuk sambung bacaan Yassin. Demi Allah ketika itu mahu saja aku meraung, aku tak sanggup melihat keadaan ini semua. Aku tidak kuat untuk menerima ini, aku tidak kuat untuk terima Mummy sudah nazak.

Aku tidak kuat untuk terima Mummy akan tinggalkan kami…..

………………………………….

Kak La akhirnya sampai dari Janda Baik. Seingat aku 2-3 hari jugalah dia tinggalkan Mummy, dan tidak sempat untuk melihat sendiri betapa Mummy sangat ok pada raya pertama semalam. Hanya tahu melalui telefon saja dengan kami semua. Dalam ramai-ramai anak, Kak La yang paling manja dan tidak segan silu mempamerkan kemanjaannya dengan Mummy, jadi sudah tentulah pada ketika itu dia sangat tidak bersedia untuk melihat keadaan Mummy begitu. Dipeluknya Mummy kuat-kuat tapi Kak Da cepat-cepat menegurnya, bimbang kalau tiba-tiba Kak La hilang kawalan lalu meratap hiba. Kami seboleh-bolehnya tidak mahu buat Mummy sedih dengan tangisan kami, walau itu adalah satu perkara yang sangat sukar untuk kami lakukan. Kalau airmata mengalir pun, cepat-cepat kami sapu dan keringkan dan selalu menahannya dengan senyuman bila di hadapan Mummy. Tapi kalau perasaan sebak dan airmata itu tidak tertahan, kami akan undur diri dan menangis di tepi sudut. Menangis semahu-mahunya…

Ketika aku sedang duduk di satu sudut tempat katil-katil lebih disimpan, Kak Ta datang setelah tamat bacaannya. Kak La pula yang bergilir ambil giliran bacakan Yassin. Pada masa itulah Kak Ta ceritakan pada aku, bila sampai ayat bacaan yang ke-58 iaitu “salamun qau lam…..” Kak Ta perasan Mummy tiba-tiba merenung padanya lama, tanpa sepatah kata pun. Kak Ta cakap maksud ayat itu (mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan yang Maha Mengasihi. Mendengarkan itu pun aku kembali sebak dan mengalir airmata. Tuhan sudah merindui hambaNya, Mummy juga merindui Tuhannya….

…..kami juga sudah mulai merindui Mummy…..

Aku berjaya juga bercakap dengan Jang. Rupanya dia agak lewat bertolak pulang, ketika itu baru saja sampai di Merapoh berhampiran sempadan dengan Gua Musang. Dengan hati-hati aku sampaikan berita mengenai Mummy. Aku mohon pertimbangan sewajarnya untuk dia berpatah balik, dikhuatiri sekiranya apa- apa yang berlaku ke atas Mummy kemudian tidaklah dia merasa bersalah sampai mati. Dan aku juga ingatkan, tidak perlu kalut atau tergopoh-gapah. Mohon perlindunganNya untuk kembali sampai ke sisi Mummy dengan selamat. Tidak lama kemudian aku dapat pengesahan Jang akan berpatah balik dari Merapoh serta Abang Man sudah mula mencari mana-mana penerbangan hari itu juga. Kami adik-beradik perlu berkumpul demi Mummy ketika itu.

Menjelang petang, Mummy menerima lagi ziarah daripada Kak Yah dan Pak Abu. Ketika itu Mummy masih lagi sedar, tapi sudah mula cakap merapu kadang-kala. Aku beritahu Mummy siapa yang datang, tapi aku tidak pasti adakah Mummy masih ingat ataupun tidak.

“Mummy sihat, syukur alhamdulillah…”

Aku hanya mampu tersenyum, dan mengangguk perlahan.

“…yea, Mummy sihat tapi kita semua nak Mummy lagi sihat dan kuat. Mummy nak balik kan?” Mummy angguk- angguk kepala, seperti anak kecil mendapat aiskrim.

Kemudian aku pasangkan app Yassin daripada iPad untuk diperdengarkan pada Mummy.

“….kenapa tak baca sendiri?….”

“…Nuri tak boleh baca…”

“….semua anak Mummy boleh mengaji kan? Mummy tau anak semua boleh baca…”

“…bukan, bukan macam tu. Nuri uzur, datang haid. Tak boleh mengaji….”

Ya Allah…ampunkanlah dosa-dosaku pada ibuku yang hampa kerana tidak dapat mendengar aku membacakan ayat-ayat suciMu ya Allah…ketika pada saatnya dia begitu mengharapkan setiap daripada kami anak-anaknya untuk berbakti padanya. Ampunkan dosa-dosanya dan ampunkanlah dosa-dosa aku Ya Allah, Kau Maha Mengampuni…

…………………………………

Menjelang Isyak, Jang telah selamat sampai di Hospital Serdang. Dia naik ke wad bersendirian, tapi daripada jauh aku nampak airmukanya yang bimbang ketika dia sedang berjalan laju menuju ke arah katil Mummy. Ini seorang lagi anak manja Mummy, satu-satunya anak yang dikabulkan doa Mummy untuk dihantar belajar ilmu di sekolah aliran agama kerana cita-cita Mummy untuk melihat salah seorang anaknya tahu ilmu hukum hakam agama. Anak yang selalu berlemah-lembut dengan Mummy, anak yang selalu menemankan Mummy sepanjang masa setiapkali pulang ke tanah kelahiran.

“Mummy! Mummy! Jang dah sampai! Jang dah sampai! Jang minta maaf Mummy! Jang takkan tinggal Mummy dah, jang ada sini! Jang ada nih Mummy!….”

Dan Abg. Man selamat sampai di Hospital Serdang lebih kurang 12:30 malam, dengan penerbangan Air Asia. Dia bersendirian tanpa anak isteri, tapi ketika itu keutamaannya hanyalah pada Mummy, untuk bersama Mummy selama mana yang diizinkan Allah Taala. Aku cukup-cukup bersyukur kerana kami semua dapat berkumpul disamping Mummy untuk menemankannya selagi boleh. Ketika itu Mummy sudah tidak sedarkan diri, sudah dipakaikan topeng pernafasan. Beliau mungkin tidak sedar, tetapi masih lagi mampu mendengar dengan jelas suara-suara anak-anaknya. Kami bergilir-gilir untuk temankan Mummy dengan bacaan ayat-ayat suci, serta kalimah syahadah dibisikkan ke telinga Mummy.

….Mummy, Nuri temankan Mummy pulak deh? Mummy ikut Nuri dalam hati ya? Mummy ikut saja kita baca sama-sama…”

Laa ila ha illallah Muhammadun Rasulallah

Kalau dulu aku biasa dengar Mummy alunkan syahadah untuk mendodoi setiap cucunya hingga lena, aku tau Mummy juga lakukan hal yang sama ketika kami semua anaknya masih bayi.

Kali ini aku pula yang tenangkan Mummy dengan kalimah Allah….

1 Syawal

19 Nov

Pagi 1 Syawal….

Terjaga dengan perasaan yang bercampur. Waktu Subuh pada pagi Syawal yang sangat hening. Fikiran agak bingung kerana untuk pertama kalinya menyambut Syawal TIDAK di Kota Bharu. Pantas saja kenangan lalu mengusik; selalunya rutin menjelang raya ialah tolong Mummy sediakan bahan kuzi, gosok baju raya ahli keluarga berpuluh helai baju dan berkemas rumah. Riuh dan kecoh. Tapi pada pagi itu semuanya lain. Tiada lagi riuh rendah suara-suara kami mengejutkan satu sama lain, tiada lagi bau dapur yang harum kerana Mummy panaskan lauk untuk kami alas perut sebelum ke masjid, dan aku tidak terbangun dari katil aku sendiri seperti di rumah Kota Bharu. Yang paling sayu, tiada suara Mummy yang datang mengejutkan aku bangun Subuh dan bising berleter supaya aku segera mandi sunat dan bersiap ke masjid…

Aku turun ke dapur dan melakukan perkara yang sudah sebati dalam hidup setiap kali raya; mengalas perut dahulu sebelum bersiap ke masjid. Sambil mulut mengunyah roti bercicah kuzi ayam hasil tangan sendiri, hati sudah hiba mata sudah bergenang. Kasihan dapur Mummy di rumahnya, tentu sunyi tanpa kami semua tahun ini. Sunyi dan sepi sekali tentunya di sana…sambil mulut bersuap, hati melirih sayu lagi. Baru saja raya tahun lepas Mummy bersungut keletihan untuk memasak sediakan juadah raya. Mummy sudah nyatakan untuk tahun ini, dia mau rehat saja dan rasa air tangan anak-anak pula. Sesungguhnya kata-kata ibu ini sememangnya doa. Doa Mummy sememangnya dimakbulkan…tahun ini tanpa diduga keadaan seperti ini yang harus kami jalani, dan siapa sangka rupanya aku yang galas tanggungjawab menyediakan juadah wajib kegemaran Mummy dan ahli keluarga sekalian. Tapi sayang, Mummy tak berkesempatan untuk merasai masakan aku kerana keadaan dan terlantar di hospital sendirian…aku berniat sekiranya Mummy sedar dan sudah dibenarkan makan seperti biasa, aku mau masakkan lagi untuk gembirakan hati Mummy sempena Syawal tahun ini.

Ketika solat raya di Masjid Negeri, Shah Alam pun aku sedaya upaya tahan sebak. Tahun ini kami tidak lagi berkesempatan solat berjemaah bersama-sama. Kalau tidak kami semua terpaksa berkejar membontoti Mummy yang laju berjalan ke Masjid Al Naim yang berhampiran rumah kami di Kota Bharu. Duduk sebaris kami anak-beranak, dan masih segar terbayang manisnya senyuman Mummy ketika memperkenalkan kami adik beradik kepada makcik-makcik teman kuliah agamanya yang lain. Ya Allah…rindunya aku bila kami selesai berjemaah, masing-masing berdakap dengan Mummy dan di antara satu sama lain, memohon ampun dan maaf dan mengucapkan selamat atas hari kemenangan umat Islam ini. Tapi tahun ini, hanya ada Kak Ta dan anak saudaraku yang ada di sampingku. Kak Da solat di Bandar Baru Bangi, Kak La pulang beraya dengan keluarga mertua dan Kak Ani di Setiawangsa.

Kami bersiap-siap dengan semangatnya untuk melawat Mummy di hospital pula, mengejar waktu melawat pada jam 12:00 tengahari. Hati kecil aku ada terdetik, kalau-kalau aku patut bawakan saja bekal baju seandainya Mummy sudah terjaga, dan sekiranya keadaan makin stabil jadi akan dipindahkan ke wad biasa maka aku boleh temankan Mummy di wad. Entah kenapa aku tidak turutkan gerak hati itu, sebaliknya terus bergegas untuk ke hospital. Besar harapan untuk melihat Mummy terjaga supaya aku boleh memberitahu dengan bangganya bahawa aku sudah boleh masak juadah raya sekarang. Aku mahu Mummy tahu, aku boleh buat dan tidak hampakan Mummy lagi…

Kami sampai di perkarangan wad HDW lebih kurang waktu melawat, dan sebahagian besar adik-beradikku telah berada di situ. Kecuali keluarga Abang Man dan Kak La kerana beraya dengan keluarga mertua masing-masing. Aku dapat tahu Mummy dah sedar, dan menurut Kak Da Mummy ok, siap bergaduh dengan Abah pun! Syukur Alhamdulillah…berita itulah yang sangat ditunggukan dan rasa sangat bermakna pada kami semua. Cuma waktu itu kami masih lagi menunggu update daripada pihak hospital bila agaknya Mummy boleh dipindahkan ke wad biasa, supaya senang untuk kami berulang-alik menjaga Mummy.

Ketika itu, kami semua menunggu giliran untuk masuk ke wad rapi tersebut untuk melawat Mummy. Seperti biasa, aku biarkan dulu kakak-kakak dan abangku untuk mendahului aku bertemu Mummy. Dan bila sampainya pass pelawat bertukar tangan dan diserahkan pada aku, aku berjalan masuk dan cuba kawal diri untuk bertenang.

Dari jauh lagi aku nampak Mummy, yang sudah tersandar di katil dan matanya yang sudah terarah pada aku. Aku berjalan menuju ke katil Mummy dan makin menghampiri, dan aku lihat Mummy makin tersenyum bila aku makin sampai. Tiada lagi tiub di muka Mummy, dia sudah boleh bernafas sendiri tanpa bantuan.

“Buat kuzi ya?” Mummy bertanya dalam senyuman. Aku angguk, dan tahulah aku kakak-kakak aku yang telah sampaikan pada Mummy.

“Macam tulah, kan dah boleh buat…” Mummy sambung lagi. Suara Mummy perlahan, tapi masih tetap gagahkan diri untuk bercakap juga. Aku tahu Mummy keletihan, tapi aku juga tahu Mummy kuatkan diri untuk berkata-kata juga, untuk sampaikan sendiri yang dia bangga dengan aku.

Aku dakap Mummy. Lama. Aku ucapkan selamat hari raya lalu aku kucup kedua-dua tangan Mummy, mohon diampunkan segala khilaf dan dosa aku terhadapnya. Alangkah bezanya Syawal kami sekali ini, lazimnya kami berpeluk sesama sendiri di dalam telekung dalam suasana meriah di dalam masjid tapi tahun ini hanya di dalam wad. Dan tangan Mummy dingin seperti salju. Tangan yang membesarkan aku, mendidik aku, menyuapkan makan aku, membelai aku, memeluk aku, membersihkan aku, menyapu airmata aku kini hanya longlai dipenuhi tiub berselirat.

Ketika itu aku lihat petugas-petugas wad seperti sedang sibuk di sekeliling katil Mummy. Aku dimaklumkan Mummy disahkan stabil, jadi mereka akan pindahkan ke wad biasa untuk pemantauan seterusnya. Maka aku tidak dapat berlama di situ, jadi aku keluar dulu dan maklumkan berita gembira tersebut pada mereka yang menunggu di luar. Kami sama-sama tunggu katil Mummy ditolak keluar untuk diiringi menuju ke wad 6B. Katil Mummy diiringi kami beramai-ramai dari wad HDW, menaiki lif pesakit bersama-sama kerana kami tidak mahu tinggalkan Mummy hinggalah Mummy ditempatkan di katil 19. Sekali lagi doktor maklumkan, Mummy akan diletakkan di bawah pemerhatian khusus sebelum ditempatkan ke wad kelas pertama kerana keadaan Mummy masih lagi lemah kesan daripada pembedahan tempohari.

Penyudahnya kami anak cucu beraya saja di dalam wad 6B tersebut, menemankan Mummy yang kelihatan sangat gembira dikelilingi anak cucunya. Ada-ada saja usikan pada Mummy yang berhasil membuatnya tersenyum dan ketawa. Tidak lama kemudian sampailah keluarga Kak Mah dari Bagan Lalang menziarahi Mummy yang ceria melihat mereka. Kami juga diberitahu saudara jauh dari Tapah juga sedang dalam perjalanan untuk menemui Mummy, jadi kami mahu beri ruang selesa untuk kaum kerabat datang melawat maka kami mohon izin berundur diri pada Mummy, untuk pergi beraya dengan kaum keluarga sanak saudara lain di PJ dan sekitar KL. Kami bawa Abah bersama agar beliau tidak sendirian, sekurang-kurangnya Abah boleh bertukar angin sebentar.

“Nanti siapa yang akan datang teman Mummy malam ini?”

Abah bertanya, dan kami hanya memandang satu sama lain. Aku yang terasa, kerana aku sudah terlintas untuk temankan Mummy tapi entah mengapa tidak pula aku kemaskan bekal baju untuk bersedia dengan keadaan ini. Tapi aku sedapkan hati sendiri, kalau sempat malam nanti aku akan datang untuk temankan.

“Tak apa, pergi beraya sajalah. Sampaikan salam pada mereka semua. Mummy ok. Saudara ramai yang nak datang tengok Mummy nanti jugak kan? Pergilah beraya, jangan bimbang pasal Mummy”

Berbekalkan jaminan oleh Mummy sendiri, kami beransur pergi meninggalkan hospital. Telah aku niatkan, kalau tidak sempat untuk aku datang kembali pada malamnya, semestinya aku akan berkemas apa yang perlu untuk aku sambung semula tugas bermalam dan berjaga di hospital seperti dulu, bermula keesokan harinya. Lalu kami bergilir temui Mummy untuk berpeluk tanda perpisahan sementara.

Sebelum aku melangkah pergi, aku sempat berpaling dan perhatikan Mummy. She looked fine and happy, dan saudara kami juga masih lagi bersamanya ketika itu. Aku berbalas lambaian dengan Mummy dan aku ucapkan selamat tinggal, dengan janji akan datang lagi.
.
.
.
.
.
.
.
……….. Not knowing that was our last goodbye. Verbally. That was the last time I saw her in that condition. I was no longer able to wave at her then…

Image

Apam Dewa ~ Misi Zah’s Fave ;)

16 Nov

20121116-162804.jpg

It’s been a very long time tak update resipi kan? Tapi resepi yang saya cuba kebelakangan ini agak leceh, tetau petang ini dalam malas dan mengantuk terasa nak makan sesuatu pulak untuk minum petang. Jadi teringat kat menu petang yang agak popular masa kecil dulu, Misi Zah selalu buat nih. Nama standardnya Apam Dewa, tapi ore Kelate ada panggil ‘Apong’ ada panggil ‘Ambong’. Saya cuba saja sambil belek buku resepi peninggalan tapi ada sesetengah bahan saya terpaksa rujuk google untuk pastikan bahannya.

Dan seperti biasa, hanya resepi yang mudah,simple dan dijamin kesedapannya yang akan saya kongsikan. Selamat mencuba!

Bahan-bahan:

5 biji telur (saiz tak tau cakap,tapi saya pakai Seri Murni)
1 cawan gula pasir
1 cawan 1/2 tepung gandum (diayak)
1 sudu teh esen vanilla
Pewarna makanan kesukaan
Serbuk penaik (kalau suka)

Cara membuat:

Pukul kesemua telur bersama gula hingga kembang. Masukkan tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit. Setelah sebati,masukkan esen vanilla. Pukul lagi hingga betul-betul mesra.

Kemudian bahagikan adunan kepada beberapa bahagian (ikut jumlah warna yang diinginkan) tapi saya seorang yang oldschool jadi saya ikut cara Misi Zah saja. Saya cuma bahagikan pada 2 di mana saya warnakan 1 adunan merah jambu, dan 1 lagi dibiarkan warna asal.

Sapukan marjerin/butter pada loyang. Sambil itu bolehlah panaskan pengukus. Saya tuangkan adunan bergilir-gilir ikut warnanya. Kemudian bolehlah dikukus apam ini selama lebih kurang 45-50 minit atau sampai ia masak dan tidak melekat pada lidi.

Sekian. Selamat minum petang!

Menjelang 1 Syawal

16 Nov

Kami semua berada di area wad HDW sampai tamat waktu melawat. Kebetulan ada wakil keluarga kaum kerabat Mummy dari Pasir Mas datang berziarah. Setelah itu kami bergerak dan agihkan barang-barang Mummy dari wad tingkat 6 untuk dibawa pulang.

Kami putuskan untuk berehat seketika daripada suasana hospital, dan untuk buat sedikit persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang sehari kemudian. Walaupun suasana sudah tidak akan semeriah tahun-tahun lalu, tapi kami harus realistik dan tidak pentingkan diri sendiri. Anak-anak mereka iaitu cucu-cucu Mummy harus digembirakan, setakat kudrat dan kemampuan kami pada waktu sedemikian.

Aku pulang ke Shah Alam dengan fikiran dalam. “Bagaimana harus dibuat sekiranya Mummy bertambah baik, dan sudah tidak perlu ke hospital lagi? Siapa yang akan menjaganya di rumah nanti?”

……………………..

Menjelang 1 Syawal

Aku dan Kak Ta menguruskan urusan membeli bahan-bahan mentah untuk persiapan raya. Kak Da yang akan menjenguk Mummy di hospital nanti bersama Abah. Memandangkan keadaan Mummy yang masih di unit jagaan rapi, maka rasanya kalau ditunggu sepanjang hari pun kami tetap tertakluk pada waktu lawatan yang strict. Jadi memadailah Kak Da dan Abah saja yang pergi menjenguk keadaan Mummy.

Aku putuskan untuk mencuba masak juadah wajib Mummy di pagi raya; Kuzi Ayam. Aku sebenarnya dah lama tidak memasak, apalagi untuk membuat cubaan berani sedemikian. Hanya berbekalkan pengalaman menjadi ‘assistant chef’ kepada Mummy selama bertahun-tahun ini yang memberikan aku semangat. Anak-anak buah juga excited mendengarkan perancangan itu. Walaupun kami semua bersedih tidak dapat pulang ke Kota Bharu, ditambah pula dengan keadaan “tonggak rumah” yang uzur tapi tidak ada sebabnya untuk kami tidak meraikan hari kemenangan yang akan kami sambut keesokan harinya.

Aku juga telah suarakan pada Kak Ta, niat aku untuk menjaga Mummy sepenuhnya apabila Mummy keluar dari hospital nanti. Setelah aku fikirkan semalaman, aku putuskan untuk ambil cuti panjang daripada urusan kerjaku semata-mata untuk fokus menjaga Mummy. Aku memang keberatan untuk serahkan urusan menjaga Mummy kepada orang asing, sekiranya kami harus carikan pembantu atau jururawat peribadi kemudian nanti. Aku sedia maklum keadaan Mummy yang uzur, dengan kemungkinan besar hidupnya akan bergantung pada pemakaian beg najis tapi itulah tanggungjawab kami, dan sementelah aku anak perempuannya yang masih lagi tidak ada komitmen rumahtangga jadi aku fikir seafdhalnya untuk aku sebagai anak untuk menjaga ibu yang uzur demikian. Kalau nak dikatakan aku yang terpaksa berkorban segalanya untuk Mummy, kenyataan itu tidak tepat sama sekali. Mummy yang telah banyak berkorban untuk membesarkan setiap seorang daripada kami, anak-anaknya selama ini.

Kak Ta nyatakan kelegaannya dengan cadangan aku itu. Jadi urusan untuk renovate bilik air dan persiapkan bilik bawah khusus untuk Mummy akan dilaksanakan selepas musim raya. Kami mahu sediakan suasana yang welcoming dan menggembirakan Mummy sekembalinya beliau dari hospital nanti. Semoga Allah Taala permudahkan…

Sepanjang masa aku di dapur bersendirian ketika untuk menyiapkan hidangan wajib tersebut, aku termenung panjang dan terkenang kenangan-kenangan lama menjelang Aidilfitri. All these years, hanya Mummy seorang diri yang bertekun di dapur pada malam raya. Masih segar dalam ingatan, malam raya tahun lepas Mummy memang ada bersungut dah penat untuk memasak. Sudah terlalu penat. Mummy mahu kami pula yang sediakan juadah hari raya tahun ini.
.
.
.
.
.

“…bau macam dapur rumah Mummy Tok la!”

Alhamdulillah, Kuzi Ayam sudah siap dan disempurnakan. Tak sabar rasanya tunggu pagi esoknya untuk aku khabarkan pada Mummy, I made her signature Raya dish tahun ini. All by myself. I hoped this will make her happy, and I prayed that Mummy akan tersedar dan senyum pada kami.

Pada aku, itulah makna sebenar hari kemenangan bagi kami sekeluarga…

20121116-125045.jpg