Archive | September, 2012

Ramadhan Terakhir (8)

28 Sep

20120928-151648.jpg

Setelah Kak Ta pergi, tidak banyak yang kami lakukan. Aku biarkan Mummy berehat di bilik, sedang aku bersembang dengan Kak Ani di meja makan. Banyak yang aku update perihal Mummy, dan kami sangat berharap sepanjang Mummy berehat di situ akan membantu bagi keselesaan dan ketenangan pada Mummy.

Bila aku kembali ke bilik, Mummy dah terjaga. Nak tunaikan solat Isyak katanya. Aku bantu Mummy bergerak dari katil ke bilik air sahaja, yang jaraknya hanya 5-6 tapak daripada katil. Yang lain semuanya Mummy nak uruskan sendiri. Aku tanya Mummy nak kerusi tak? Buat saja solat sambil duduk. Mummy tak mahu, katanya dia mampu untuk berjalan takkanlah semudah itu sahaja nak sembahyang sambil duduk. Aku jawab dah kita uzur, Tuhan bagi kemudahan untuk apa jenis keadaan pun tapi Mummy masih tetap menunaikan fardhu seperti biasa walaupun berdiri. Alhamdulillah..pergerakannya ketika solat adalah lancar. Hanya aku perlu tunggu apabila Mummy selesai berdoa dan wirid, untuk dipapah naik ke katil. Kaki Mummy seolah-olah tidak larat untuk menampung badannya apabila mahu digagahkan untuk bangun. Jadi aku perlu kuat untuk mengangkat Mummy, walaupun berat susut kerana kurang makan tapi hairannya tetap terpaksa mencuba sehabis mampu untuk mengangkat Mummy. Waktu begitulah aku terkenang kisah-kisah mereka yang punya ahli keluarga kurang kemampuan, golongan istimewa yang terpaksa dijaga sepanjang masa dan sebagainya. Bukan sikit kecekalan mereka sepanjang menjaga ahli keluarga sedemikian…

Pagi keesokannya, Mummy bangun dengan cergas. Pagi-pagi sudah bersedia di meja makan dengan meminta roti dan milo untuk alas perut, sebelum makan ubat. Jam 11:00 pagi akan meminta makan sarapan yang agak berat sedikit seperti nasi goreng atau pun mi goreng. Perangai cerewer, payah makan langsung tiada ketika itu malah Mummy aktif berjalan ke sana-sini di sekitar rumah. Beliau sendiri yang minta untuk berehat di kawasan patio, “nak tengok kucing” katanya.

20120928-151745.jpg

Sepanjang hari pertama selepas keluar dari wad itu memang nampak sangat perubahan pada Mummy. Lebih aktif, nampak cergas, selera makan pun bagus. Tak payah ditanya, Mummy sendiri akan datang mintak makanannya. Begitu juga bila sampai masa untuk makan ubat, langsung tak perlu nak bergaduh dengannya. Mummy tunggu saja aku keluarkan pil dan atur di piring. Kadang-kadang waktu makannya aku tunggu sahaja di sebelah, tanpa berkata apa-apa.

Petang itu, seperti yang dirancang kami berkumpul beramai-ramai untuk berbuka puasa. Kecuali keluarga abang-abangku yang sudah ada komitmen lain terdahulu. Tapi dengan keriuhan sesama kami anak-anak perempuan Mummy pun sudah cukup untuk buat Mummy gembira sebenarnya.

Setelah mereka kembali ke rumah masing-masing, aku seperti biasa meneruskan rutin mengawasi pergerakan Mummy setiapkali mahu bersolat dan bila ketika dia mahu bersiap untuk tidur. Dressing pada luka di betis Mummy masih belum pulih sepenuhnya, jadi aku perlu pastikan ia sentiasa diganti baru. Ada ketikanya kami berlawak sesama sendiri sambil menyiapkan balutan dressing. Ketika itu aku sudah berkira untuk mencari bahan dressing yang baru di farmasi bila habis waktu kerja kerana aku dapati sudah hampir habis bekalan di rumah.

Hari Ahad pula keluarga abangku dari Puchong datang menziarahi Mummy. Agak lama juga mereka duduk di tepi katil dan layan Mummy berbual. Cuma mereka tidak sempat menunggu hingga waktu berbuka, tak mahu terperangkap dalam kesesakan katanya.

Bila tiba waktu makan, Mummy akan ke meja makan dan menolak untuk makan di bilik. Tak sudah-sudah puji sup buatan Kak Ani tuh sedap. Berkali-kali dia ingatkan dan nasihatkan aku belajar masak betul-betul, jadi pandai macam Kak Ani nanti. Ketika itulah aku baru teringat nak tanyakan cara Mummy buat jemput-jemput lemak manisnya. Bukan setakat resepi jemput-jemput, macam-macam lagi yang Mummy perturunkan hanya aku saja yang endah tak endah, kerana pada aku itu habit biasa bagi Mummy, suka sangat bercakap tak boleh berhenti.

Malam itu pun kami sambung berborak di bilik. Setelah aku siap tukarkan dressing pada lukanya. Banyak perkara yang kami sentuh, tapi sedikit pun Mummy tak bercerita tentang sakitnya, atau bila dia dah tiada nanti… Kami banyak berbual tentang hal-hal semasa di kalangan keluarga, khabar-khabar orang tertentu dan itu sajalah seingat aku. Mummy pun tak pernah tunjuk riak wajah menanggung sakit atau sebagainya.

Dan pada setiap waktu sahur, ketika anak saudaraku Nadiah mengetuk pintu bilik kami dan masuk untuk mengejutkan aku dengan hanya mencuit kakiku, Mummy mesti akan turut sama bangun walaupun dia tidak ikut kami bersahur sama. Mummy tetap akan kejutkan aku, macam dulu-dulu.. Macam waktu aku masih anak kecil yang tinggal di bawah naungannya di Kota Bharu. Walaupun sudah tidak lagi berbunyi tegas, suara itu jugaklah yang buat aku terjaga dengan mudahnya…

….mana nak dicari ganti suara pertama yang sebati dengan kita sejak di alam kandungan lagi?

Ramadhan Terakhir (7)

27 Sep

21 Ramadhan, hari ke-4, Hospital Serdang

Aku terjaga hampir jam 7:00, dan terus gopoh-gapah berkejar ke surau. Kemudian kembali ke wad, menumpang mandi di bilik air pesakit. Oleh kerana kepala masih berat, dan aku juga berpotensi untuk mengalami migrain maka aku ambil keputusan untuk EL saja pada hari itu. Badan sudah terlalu penat untuk aku menempuhi perjalanan panjang dari Serdang-Subang, mana lagi aku nak cari motivasi kerja kalau hari itu hati sudah dirundung bimbangkan prosedur scope Mummy pagi itu. Tidak mengapalah, aku juga mesti bersedia untuk menjadi pembantu kepada Kak Da sekiranya apa-apa kecemasan atau keperluan nanti. Kiranya hari itu aku ambil double shift menjaga Mummy.

Sesudah bersiap, aku keluar sebentar dan bila aku kembali aku lihat Mummy sudah bersama Kak Da di bilik air. Aku turut bersama-sama mereka, rupanya Kak Da nak mandikan Mummy. Ketika Kak Da menunggu Mummy selesai buang air di tandas, Kak Da minta aku tukar kotoran pada bekas yang digunakan Mummy sebentar selepas waktu sahur tadi. Ketika kedua-dua pampers telah habis digunakan dan sudah tiada ganti yang baru.

Ya, aku perlu bersihkan bekas najis Mummy.

Dengan penuh hati-hati, aku memegang bekas tersebut yang berada di atas katil lalu aku bawa dengan langkah paling cermat ke bilik air. Setepatnya terus ke bilik mandi. Di situ aku bercadang untuk terus alirkan ia ke dalam saluran memandangkan tiada kotoran pejal pun hanyalah air sahaja ,kerana untuk menunggu Mummy keluar dari tandas mungkin akan ambil masa. Jadi aku fikir, alirkan terus ke dalam saluran di bilik mandi dan gunakan air panas dari shower untuk membilasnya. Jadi aku pun lakukan sebagaimana yang aku telah rancang tersebut, bila dengan tiba-tiba hidung aku menangkap ‘baunya’.

Aku nyaris termuntah di situ…

Kali ini aku gagal. Airmata menitik. Sedih. Hiba. Bercampur. Selama ini bila kau mendapat khabar Mummy tak sihat ke, sakit pening ke, demam ke..kau buat biasa sajakan? Kau sedap hati sangatkan selama ini Mummy tak pernah sakit berat. Tapi tengoklah sekarang? Apa yang kau buat sekarang? Faham tak macam mana mak kau tengah tanggung sakit nih? Nak buang air pun kena guna bekas! Kau jijik ke nak basuh najis mak kau sendiri?

Sedaya upaya aku berperang dengan emosi ketika itu. Sedaya upaya aku seka airmata daripada terus mengalir lebat. Sedaya upaya aku ikhtiarkan untuk tidak mual dan termuntah, bukan kerana aku takut puasa aku terbatal begitu sahaja tapi kerana aku mahu menjaga hati Mummy daripada terdengar. Aku mahu menjaga hati Mummy jangan sampai dia tahu anaknya sendiri termuntah ketika bersihkan bekas najisnya. Najis ibu kandung sendiri. Puasa sehari terbatal pun bukannya tak boleh diqada’. Allah Taala Maha Mengetahui segalanya. Zaman kau kecil dulu ketika bergelumang dengan lampin bernajis pun siapa juga yang membersihkannya untuk kau? Syukurlah, aku berjaya laksanakan tugas itu dengan jayanya. Aku tak harapkan untuk dapat apa-apa imbuhan atau kebaikan baru dengan berbuat begitu, cukuplah Dia gugurkan segala dosa yang pernah aku lakukan ke atas Mummy aku sudah berpuas hati…

Kemudian, aku bersedia untuk menunggu Mummy di ruang sinki sambil Kak Da yang memandikan beliau. Dalam hati aku sangat terharu dan begitu hormatkan Kak Da. Sikit pun tidak menunjukkan riak wajah tidak senang ketika memandikan Mummy, mana mungkin aku akan setanding dia? Mummy diam saja sepanjang kami berdua persiapkan dirinya pada pagi itu. Si sulung dan si bongsu yang sama-sama membantu buatkan Mummy wangi.

Tidak lama kemudian, Mummy dibawa pergi untuk menjalani prosedur scope. Aku tidak ikut serta menemani kerana mahu berehat di surau. Sebelum tertidur, aku sempat menunaikan solat sunat dan berdoa memohon agar segalanya baik dan lancar untuk Mummy. Aku doakan agar penyakit Mummy masih boleh diubati dan segera sembuh.

Lama juga aku tertidur di surau dan bila terjaga, aku terus kembali ke wad dan mendapati Mummy sudah berada di katilnya. Tidur dengan lena sekali. Kasihan Mummy yang sangat keletihan, kerana berjaga sepanjang malam dek penangan ubat perut malam tadi. Pada waktu melawat tengahari itu, beberapa orang saudara terdekat kami datang menziarahi dan Mummy tersenyum gembira menyambut mereka. Kak La pun sampai setelah berhari-hari terpaksa menundakan lawatannya kerana kekangan waktu. Kami anak-beranak menghabiskan masa bersama melepak di tepi katil Mummy, usik mengusik bahan membahan antara satu sama lain. Kadang-kadang kami mengusik Mummy, kadang-kadang kami mengusik doktor-doktor pelatih yang datang untuk check darah atau drip. Kebanyakan mereka pula sudah sedia maklum yang Mummy ialah seorang Misi pencen, jadi kadangkala boleh nampak how nervous they were when they came to her. Sometimes mereka datang ke katil Mummy dan bertanya how were things in hospitals back then in the yesteryears. Mummy dengan penuh enthusiast (macam selalu) akan bercerita pengalaman berharganya ketika berkhidmat dari zaman kolonial hinggalah pada tahun beliau bersara awal. Ketika itulah kami 3 sisters akan buat-buat nakal menyakat Mummy macam-macam. Sekadar memeriahkan suasana.

Sekitar jam 4:00 petang hari itu, doktor datang untuk maklumkan kepada kami yang Mummy dibenarkan keluar wad sementara menantikan keputusan penuh ujian scope tadi. Jadi Mummy akan diberi tarikh untuk temujanji berikutnya dengan doktor pakar bedah, seterusnya untuk berbincang dengan mereka apa yang mereka akan usulkan pada kami. Cuma yang buat kami terkilan dan terkejut apabila doktor tersebut dengan ‘penuh dedikasinya’ mengumumkan penyakit Mummy betul- betul nyata dan jelas di hadapan beliau juga. Yang mana kami sebelum ini sedaya upaya mahu mengelak daripada menyampaikan berita tidak berapa baik itu ke pengetahuan Mummy sendiri,kerana dikhuatiri Mummy akan menjadi depressed lalu menjejaskan usaha memulihkan beliau. Tapi apakan daya, nasi dah jadi bubur lambuk.

Kami pandang sesama sendiri. Menanti reaksi daripada Mummy bila dia sudah tahu keadaan sebenarnya penyakitnya itu. Diam, tiada sebarang rungutan. Aku ketika itu menghubungi Kak Ta maklumkan Mummy sudah dibenarkan pulang. Kak Ta minta kami semua menunggu kerana dia dalam perjalanan ke hospital. Oleh kerana urusan checkout juga memakan masa; hal dokumentasi dan menunggu ubat-ubatan di farmasi jadi kami yang tinggal di wad bersiap-siap dan mengemaskan barang-barang Mummy. Kami putuskan untuk kebaikan dan kesejahteraan Mummy sementara menunggu temujanji berikutnya, Mummy lebih baik tinggal dan berehat di rumah Kak Ani di Setiawangsa. Aku putuskan untuk ikut serta mengiringi Mummy tinggal bersama dan temankan beliau, kerana tidak adil untuk lepas tangan bulat-bulat urusan menjaga dan menguruskan Mummy kepada Kak Ani seorang bersama pembantunya. Sekurang-kurangnya aku boleh monitor keadaan Mummy pada waktu malam, sakit peningnya ketika itu. Tak mahu menyusahkan Kak Ani yang juga punya keluarga untuk diuruskan.

Sesungguhnya aturan Allah itu memang cantik dan tersusun. Mummy dikurniakan anak ramai, 6 daripada 7 anaknya sudah berkeluarga tapi oleh kerana komitmen kerja dan pada keluarga masing-masing, membuatkan mereka tidak mampu untuk menjaga Mummy sepenuhnya. Aku ambil tanggungjawab itu dengan penuh rela hati, bukan kerana fikir aku perlu membalas jasa Mummy membesar dan berkorban segalanya tapi mengenangkan ini tanggungjawab mana-mana anak sekalipun dan sudah ditakdirkan aku tidak ada komitmen lain yang membataskan perhatian sepenuhnya untuk Mummy. Pada hari minggu itu juga aku dikhabarkan bahawa Jang telah pulang ke Kota Bharu untuk menjemput Abah. Sejak Mummy dimasukkan ke dalam wad, Abah masih belum berkesempatan bertemunya. Aku minta Jang berterus-terang dan maklumkan pada Abah sebaik-baiknya kedudukan kami semua yang agak getir ketika itu berdepan dengan penyakit Mummy. Alhamdulillah, Abah faham dan tidak melatah dengan keadaan terbaru Mummy dan bersedia untuk meninggalkan rumah Kota Bharu untuk seketika. Jang maklumkan pada aku akan kembali bersama Abah pada Ahad dan akan terus membawa Abah bertemu Mummy di Setiawangsa.

Malam itu, apabila aku dan Kak Ta serta Nik Jiq anaknya sampai membawa Mummy untuk berehat di rumah Kak Ani, aku lihat Mummy seolah bersemangat untuk tunjukkan pada semua orang yang dia ok, dan cergas bergerak. Bagi meraikan kepulangan Mummy, kami rancang untuk sambung berkumpul beramai-ramai untuk berbuka puasa di rumah Kak Ani pada Sabtu keesokannya. Itulah sahaja caranya untuk kami gembirakan Mummy, yang sentiasa rasa bahagia dan seronok apabila dikelilingi anak cucunya. Tambahan pula itu hari minggu yang terakhir pada bulan Ramadhan tahun ini untuk kami berkumpul beramai-ramai.

Sebelum Kak Ta mohon diri untuk pulang dulu malam itu setelah menghantar Mummy, aku terdengar janjinya untuk bawa Mummy ke pusat rawatan homeopathy sebagai salah satu ikhtiar untuk ubatkan Mummy. Lama Kak Ta memeluknya and how she promised our mother repeatedly that “everything’s going to be alright”.
.
.
.
.
.

…but nobody knew it was our final Ramadhan with her, this year.

Ramadhan Terakhir (6)

26 Sep

20 Ramadhan, Hari ke-3, Hospital Serdang

Aku sampai di hospital petang itu macam biasa, meneruskan rutin untuk menemankan Mummy di wad pada waktu malam. Petang itu aku dimaklumkan oleh Kak Da, Mummy dah selamat menjalani prosedur CT scan namun keputusannya mungkin ambil masa sehari dua.

Petang itu teman lama zaman Maher sempat datang menjenguk, siap tolong belikan kuih sebagai juadah untuk berbuka puasa. Terima kasih Dr. Bija 🙂 kami semua berbual seketika dengan Mummy, sebelum turun ke kafe tingkat bawah untuk menunggu waktu berbuka. Aku sudah terlupa waktu petugas menghantar tray makan Mummy, cuma yang aku ingat aku hanya sempat betulkan posisi duduk Mummy dan merapatkan meja, supaya mudah untuk Mummy makan. Oleh kerana kejar masa, aku tak sempat nak tolong Mummy suapkan makanan tapi melihatkan keadaannya yang semakin ok aku cakap pada Mummy supaya makan sampai kenyang. Tapi kalau tak kerana aku kejar masa untuk berbuka, dan kalau waktu makannya terlebih awal mungkin aku boleh luangkan sedikit masa untuk membantu mudahkan Mummy makan.

Sampai di kafe, ketika kami menunggu waktu untuk berbuka itulah Kak Da ada menegur aku tentang ‘tabiat’ baru aku itu. Kak Da ceritakan apa yang terjadi ketika waktu makan tengahari tadi, sewaktu aku tiada. Macam biasa tray makan sampai, dan Kak Da buat macam aku buat pada Mummy sebelumnya; betulkan posisinya dan apa yang patut. Kak Da nak Mummy bergerak sikit, jadi dia biarkan saja Mummy makan sendiri. Yea, aku faham niat Kak Da itu. Mummy pun semenjak sakit memang sangat susah nak nampak dia aktif atau cuba lawan penyakitnya, walau apa pun sakitnya itu. Tapi bila Kak Da sebut apa yang Mummy katakan tadi sedikit sebanyak memang menyentuh hati aku ini.

“… Da suaplah Mummy, macam Che Su buat…”

Nak bergenang airmata aku time-time tu jugak. Hati siapalah yang tak tersentuh dengar ibu kita teringin disuapkan makannya. Lagi-lagi aku anak yang paling degil dan paling tidak mendengar kata, yang aku rasa seumur hidup aku dibesarkan dengan pening dan marah Mummy saja. Demi Allah, kalau aku berada dengannya pada waktu itu aku takkan banyak berdalih untuk menunaikan keinginannya yang tidak seberapa itu. Kak Da cakap tak nak buat Mummy rasa manja, kerana Mummy juga perlu untuk bergerak, demi untuk kebaikannya juga tapi pada aku yang mendengarkan itu, aku rasa sangat-sangat berdosa kerana tak tunaikan keinginannya. Kalau nak dibandingkan dengan segala apa pengorbanan yang telah Mummy lakukan untuk aku, apalah sangat setakat nak suapkan beliau? Kalau aku tahu cerita itu sebelum aku turun untuk berbuka di kafe, memang aku takkan turun ke bawah untuk berbuka demi temankan Mummy makan….

Cepat-cepat aku naik ke wad setelah siap berbuka. Aku tengok Mummy diam saja, termenung jauh. Aku tanya berapa besar portion yang telah dimakannya, Mummy cakap dah cukup kenyang. Setelah itu aku mohon diri untuk solat Maghrib di surau. Niat di hati nak selesaikan semuanya cepat-cepat dan duduk saja di tepi katil temankan Mummy.

Sekembalinya ke wad, aku bergegas nak membersihkan diri pula. Tapi aku sempat mendengar seperti ada yang melawat katil Mummy, dan sangka aku hanyalah rutin biasa untuk tukar drip atau mengambil darah lagi.

“…nanti minta anak Makcik jumpa saya ya kat depan nanti?”

Jadi bila aku dah siap, pergi simpan barang kelengkapan di sudut kabinet Mummy, Mummy sampaikan pesanan seperti yang telah aku dengar awalnya. Tanpa mengesyaki apa-apa aku keluar mencari siapa yang dimaksudkan, tapi aku bertembung dengan salah seorang doktor pakar sakit puan yang turut sama memeriksa Mummy tadi. Maka doktor tersebut maklumkan pada aku tentang keputusan CT scan Mummy pagi tadi. Didapati ketumbuhan tersebut bukan berpunca dari mana-mana kawasan rahim Mummy, jadi kes Mummy telah berpindah tangan kepada team bedah pula katanya. Dan ketumbuhan itu bersifat kanser….

Aku cuba tahan perasaan. Tahan hati. Tahan terkejut. Istighfar dalam hati sebanyak-banyaknya. Bila aku tanyakan peringkat mana kalau benar Mummy menghidap kanser, doktor tersebut hanya menggeleng kepala dan minta aku tunggu pakar bedah yang akan datang nanti.

Setelah aku ucapkan terima kasih, aku kembali menghampiri katil Mummy. Mencuba sedaya upaya untuk tidak menzahirkan kesedihan yang suda mula bersarang dalam hati. Bila Mummy bertanya aku sebabnya, aku berdalih dan hanya maklumkan pada Mummy akan ada banyak lagi ujian yang perlu dibuat.

Tidak lama kemudian, datanglah beberapa orang doktor ke katil Mummy. Aku diminta untuk tunggu di luar. Sambil menunggu aku SMS Kak Da perkembangan tersebut. Rasa berdebar-debar kerana aku sendirian tanpa ahli keluarga lain kalau-kalau aku yang terpaksa untuk hadap mendengar apa saja berita tentang Mummy itu. Aku istighfar dan selawat banyak-banyak untuk diberikan kekuatan menempuhi waktu-waktu sebegitu.

Kemudian salah seorang daripada doktor tersebut menghampiri aku, lalu memaklumkan serba ringkas tentang keadaan Mummy. Ringkasnya, melalui pemeriksaan CT scan yang dijalankan awal tadi menunjukkan ketumbuhan Mummy bukanlah bermula di kawasan rahim, seperti jangkaan awal kebanyakan pihak sebelum ini tapi adalah pada bahagian usus. Mummy perlu jalani satu lagi pemeriksaan scope untuk mengetahui keadaan ketumbuhan itu dengan lebih menyeluruh. Dan iya, aku sudah diberi kepastian. Ia adalah kanser usus. Tapi apa peringkatnya masih belum diketahui. Yang aku faham ia serius.

Setelah pemeriksaan ringkas oleh mereka itu selesai, aku diberitahu Mummy perlu disediakan untuk prosedur tersebut awal pagi keesokannya jadi perut Mummy perlu dikosongkan. 2 botol cecair yang aku sudah lupa apa namanya perlu diberi kepada Mummy, dan ia akan mengakibatkan Mummy akan kerap buang air. Mungkin sepanjang malam. Aku bersedia untuk kemungkinan terpaksa berjaga sepanjang malam, tapi kemudian aku agak terkejut apabila dimaklumkan pihak hospital tidak menyediakan pampers untuk pesakit. Waktu ketika itu sudah hampir 12:00 malam. Aku maklumkan pada Kak Da tentang itu, tetapi di mana harus kami cari kedai yang masih dibuka pada waktu sebegitu?

Merata aku mencari di sekitar wad, dengan dibantu jururawat pelatih kalau-kalau ada lebihan pampers yang ditinggal mana-mana pesakit sebelum ini. Ada 2 keping sahaja, cukup ke untuk Mummy sepanjang malam? Jadi aku disuruh mengambil bekas dari bilik laundry wad. Pertama kali aku terpaksa faham apa fungsi bekas tersebut, dan untuk aku menyiapkan Mummy dengan bekas tersebut memang sudah mula buat hati aku hiba. Aku bukan sedih kerana terpaksa berjaga malam, tapi sedih kerana tidak berhasil membuat Mummy selesa dalam keadaan uzur begitu.

Pada mulanya aku nak pakaikan pampers saja, tapi Mummy tak mahu kerana katanya masih mampu nak berjalan ke tandas. Setelah 3-4 kali berulang-alik ke tandas, aku minta dia pakai juga. Berhempas-pulas aku nak betulkan posisi Mummy di katil, dengan tiada pengalaman untuk menangani keadaan sebegini. Aku segan nak memanggil misi, kerana aku rasakan aku sebagai anak patut dan harus mencuba sehabis daya untuk menjaga dan menguruskan ibu sendiri, tidak kiralah walau sesukar mana sekalipun. Kasihan juga aku pada mereka kerana ada berapa puluh katil lagi yang harus diberi perhatian,sedangkan aku hanya perlu menguruskan Mummy seorang.

Tapi dalam pada keadaan dibangunkan untuk membawa Mummy ke bilik air, aku terpaksa pekakkan telinga mendengar keluhan Mummy yang mengaduh sakit. Ketika itulah aku diuji, mana dengan penat berulang-alik dari Subang ke hospitalnya, dengan penat berpuasa, dengan tiada rehatnya, sekarang aku perlu berkorban waktu rehatku untuk menguruskan Mummy di tandas dan mendengar dia mengomel tak sudah. Aku minta Mummy tahan sedikit, janganlah mengeluh saja nanti mengganggu pesakit lain dalam bilik itu nak tidur.

Dan ketika itulah ada pesakit baru yang ditempatkan di katil bertentangan dengan katil Mummy. Seorang ibu yang baru melahirkan bersama bayinya. Apabila Mummy sudah terlena, aku ke katil jiran baru tersebut bertanya khabar, dan kasihan kerana nampak ibu itu terkial-kial nak mengangkat anaknya dari katil bersebelahan. Barulah aku tahu, rupanya ibu tersebut demam dan terpaksa ditahan maka terpaksalah si kecil yang baru berusia 2 hari itu mengikut ibunya. Aku bagitahu kakak tersebut, bila-bila sahaja nak angkat baby boleh panggil aku saja untuk membantu. Aku pun tak boleh tidur lena sangat, harus sentiasa bersedia untuk bawa Mummy ke bilik air.

Bila aku kembali ke tempat tidurku; kerusi-kerusi yang disusun memanjang seumpama katil itu sambil terfikir “kuat ke aku nak tahan sepanjang malam nak uruskan Mummy, nak bersabar dengan kerenah Mummy nih? Ada jugak nanti aku terbabas sahur?” Bisik aku dalam hati.

Pada masa itulah juga aku dikejutkan oleh tangisan si kecil. Mungkin lapar. Aku nak bangun untuk menolong angkatkan baby itu dan serahkan pada ibunya, tapi belum sempat aku bangun aku nampak kakak itu sudah siap memangku bayinya, menyusukan sambil tangannya menepuk-menepuk memujuknya lena semula. Walaupun beliau sendiri demam, dan masih lagi mengantuk tapi senyumnya tidak putus bila dia tatap wajah anaknya.

Serta-merta aku insaf dengan apa yang aku saksikan itu. Tentang bagaimana kasihnya seorang ibu terhadap anaknya. Penat dan kesakitan ketika melahirkan pun mungkin belum reda, ditambah lagi dengan demam dan sudah tentu tidak cukup rehatnya tapi ibu masih mampu menggagahi diri menyusu dan menjaga anak kecilnya itu, sendirian sepanjang malam. Senyum tidak pernah lekang dari bibirnya, bagaimana pula dibandingkan dengan keadaan aku ketika itu yang hanya menemani Mummy? Aku si anak yang sudah besar dewasa yang menjaga Mummy yang sudah begitu lama meniti usia emasnya dan baru sekarang berkeadaan uzur sedemikian rupa. Yang ketika itu aku cuba-cuba ingatkan kisah kelahiran aku yang pernah diceritakan beberapa orang dahulu; betapa Mummy telah bersabung nyawa untuk melahirkan aku, aku kandungannya yang paling sulit yang pernah buat Mummy dinasihatkan untuk bed rest sahaja tapi Mummy ingkar. Mengusung aku sejak di alam kandungan pun sudah menyusahkan Mummy apalagi sepanjang membesarkan aku yang degil ini sudah cukup melelahkan, tapi kerana menyedari bahawa anak itu amanah dariNya lebih lagi anak perempuan, Mummy pasrah. Justeru adilkah untuk aku ketika itu untuk mempertikaikan dari mana tenaga dan kudrat untuk aku dapatkan sepanjang aku harus bertahan menjaga dan menguruskan Mummy. Lihatlah di depan mata aku sendiri, pada ketika itu juga Dia menghantar pasangan ibu-anak tersebut sebagai tauladan untuk aku. Betapa besarnya kuasa Mu Ya Allah…

Alhamdulillah…aku mampu bertahan sampai waktu sahur. Cuma seketika itu aku minta Mummy panggilkan bantuan daripada jururawat kerana aku perlu melelapkan mata sebentar. Untuk recharge kembali tenaga untuk aku gunakan pada siang hari nanti. Aku sangat berharap ujian scope itu nanti akan berlangsung dengan lancarnya dan keadaan Mummy akan bertambah baik.

Aku tertidur dalam penantian…

Ramadhan Terakhir (5)

25 Sep

19 Ramadhan, Hospital Serdang, hari ke-2

Aku terus bergerak ke Hospital Serdang sebaik saja waktu kerja tamat jam 4:30 petang. Dah siap packing segala keperluan aku; persalinan sepanjang di wad dan juga sehelai dua baju kerja untuk mudahkan aku terus ke pejabat waktu paginya apabila bertukar syif dengan Kak Da. Sepanjang hari hati tidak tenang, asyik teringatkan Mummy di hospital. Walaupun tahu Mummy dalam jagaan baik tambahan pula Kak Da dah mulakan syif menemankan beliau tapi aku tetap rasa ralat kerana terpaksa membahagikan waktu antara kerja dan beliau. Kalau setakat demam biasa mungkin aku boleh abaikan saja perasaan itu, tapi ini sudah berkait perkataan ‘ketumbuhan agresif’, ‘tumor aktif’ hati siapa yang akan bertahan bila sudah melibatkan ibu sendiri?

Sampai sahaja di wad 6B, aku lihat Mummy ok sahaja sedang berbual dengan Kak Da. Khabarnya dapat ramai pelawat hari itu, abang-abang dan kakak aku datang begitu juga beberapa orang saudara mara terdekat serta kawan baik Kak Da juga datang berziarah. Meriah sekali katanya. Lega rasanya hati sebab Mummy memang suka dikelilingi ramai saudara dan kenalannya.

Aku ingat lagi, Mummy bising sebab kerap sangat diganggu oleh doktor pelatih dan jururawat untuk diambil tekanan darah,bacaan ECG dan yang paling tak tahan diambil darah. Rupanya baru kami tahu yang kami semua ini mewarisi Mummy; urat nadi halus jadi proses nak kena suntik akan ambil masa dan menyakitkan. Kadang-kadang aku mengusik Mummy, dah dulu dia pun misi samalah jadinya sekarang. Dulu sedap buat orang,sekarang rasalah balik 😀 tapi kesian pula sebab tengok tangan Mummy lebam bekas suntikan. Jadi pergerakan Mummy agak sukar sedikit, tapi masih cergas nak bangun berjalan sendiri bila terasa nak ke bilik air.

Sampai waktu makan malam, Mummy buat-buat tak endah bila disuruh makan. Kami dah minta dietnya hanya sediakan bubur sahaja dan sup. tapi oleh kerana bubur agak panas, kami pula perlu kejar masa nak turun ke kafe untuk berbuka sedangkan masa makan hanya diberi sejam sahaja sebelum tray diambil balik oleh petugas, aku rasa kasihan pula nanti Mummy terkial-kial nak makan jadi aku suapkan makannya. Tak ada yang minta aku buatkan, dan tak ada yang suruh aku buatkan. Aku anaknya yang paling degil dan memeningkan kepalanya inilah yang tiba-tiba sahaja nak menyuapkan makan untuk Mummy. Aku anak yang paling tidak banyak bercakap bertanya khabarnya sebelum ini. Aku anak yang paling kuat melawan kata. Masa itu hanya fikir nak pastikan Mummy betul-betul makan untuk sedikit tenaga, tapi aku masih tanpa banyak soaljawab suapkan saja Mummy, yang juga tak banyak dalih kali ini bila disuap makan. Tersentuh juga hati kecil, kau dah umur macam ni baru nak belajar suapkan mak makan? Selama ni sakit demamnya kau tak endahkan sangat. Yang kau tahu mak kau garang saja, kau tak fikir ke jauh dalam hatinya dia teringin sekali dimanjakan anak? Jujur aku memang sudah lupa bila paling akhir makan disuap Mummy, kerana pada setiap kali salah seorang daripada kami yang jatuh sakit memang takkan pernah dimanjakan Mummy. Kau dapat leteran pedih adalah, sebab kau tak pandai jaga diri sendiri. Tapi pada masa itu aku sudah tidak kira, apa pun saja alasannya dia tetap Mummy yang punya hak atas aku. Tak ada ruginya untuk aku berbuat baik pada beliau, sementelah aku yang telah banyak menyusahkan beliau sepanjang membesarkan aku maka apalah sangat besarnya budi aku tolong suapkan makannya.

Setelah siap berbuka puasa, aku berpecah dengan Kak Da dan memulakan tugas aku menemani Mummy di wad. Aku tak tahu apa yang harus aku lakukan, kerana aku tidak sebaik dan sesabar Kak Da tapi dalam hati, dalam sujud, dalam doa yang aku tadahkan setiap kali sampai masanya di surau tingkat 6 itu hanyalah memohon kekuatan hati dan kesabaran tinggi untuk menjaga seorang ibu yang uzur begitu. Jauhkanlah aku daripada sifat menderhaka atau menyakitkan hati Mummy sepanjang aku menjaganya.

Bila aku kembali ke wad, aku diberitahu Mummy akan menjalani prosecur CT scan pula pagi esoknya. Tapi sepanjang malam pertama aku bermalam di wad temankan Mummy, tak banyak hal yang perlu aku lakukan. Mummy pun kerana letih seharian ‘dikerjakan’ dengan sampel darah, drips bersilih ganti dan sebagainya itu sudah tertidur. Hanya sekali dua sahaja dia bangunkan akh untuk ke tandas. Aku pimpin tangannya, kadang-kadang Mummy berpaut pada belakang badan aku ketika berjalan ke bilik air. Cuma apabila sudah selesai dan kembali ke katil sahaja yang agak mencabar sedikit kerana perlu menampung tubuh Mummy untuk diangkat naik ke katil.

Aku tidur di sebelah katilnya, dengan menggabungkan beberapa kerusi seolah-olah sebuah katil untuk aku menumpang lena. Walaupun tidak selesa tapi aku tahankan saja. Kunci jam untuk bangun bersahur, di mana aku dah siap belikan roti dan minuman sekadarnya. Kadang-kadang aku terjaga bila ada petugas yang datang tukarkan drip atau ambil sampel darah Mummy lagi.

Bila aku dah bangun siap bersahur, Mummy pun ikut sama terjaga. “Dah sahur?” Aku angguk saja. Masa itu aku mengusiknya lagi dengan berlawak “nak dengar baca niat puasa lagi ke?” Terkenang zaman kecil dahulu, tiap kali dah siap bersahur cepat-cepat nak naik ke atas sambung tidur sebelum dibangunkan untuk subuh kemudiannya, Mummy akan tahan dan minta kami bacakan niat puasa.

Sesudah Subuh di surau, aku bersiap-siap untuk ke Subang pula. Bila Kak Da sampai untuk syif berikutnya, aku ingatkan lagi Mummy perlu buat CT scan pagi itu. Bila dah siap semuanya untuk aku pergi, aku salam tangan dingin Mummy dan peluk agak lama. Minta restu untuk kerja hari itu dan pesan agar Mummy jangan buat-buat payah makan dan diambil darah nanti. Janji akan datang lagi untuk menjaganya malam nanti.

Aku bergerak tinggalkan mereka dengan langkah yang berat, hati yang berat tapi kuatkan hati untuk habiskan masa secepat mungkin untuk aku kembali ke sana menemani Mummy. Aku berdia semoga keputusan scan nanti akan menyebelahi kami semua dan Mummy tak perlu ditahan lama-lama di hospital. Walaupun terasa kami perlu bersedia dengan apa jua kemungkinan, namun aku seolah-olah hidup dalam penafian; semuanya akan ok saja nanti.

….semuanya akan ok saja nanti…

Image

Tomyam stail Misi Zah

25 Sep

20120925-133506.jpg

Aku penggemar tegar tomyam. Dulu pada aku, tomyam adalah masakan mewah sebab hampir semua lauk ada; ayam, sotong, udang, fishball, bunga kobis. Banyak pulak tu. Aah fikiran anak kecil, semuanya senang dan nampak super di matanya.

Dek kerana sukanya aku pada tomyam, maka Misi Zah gazetkan ia sebagai kegemaran aku. Bila dah hidup berjauhan, setiap kali aku balik ke tanah kelahiran memang inilah yang akan tersedia di meja makan menyambut kepulangan. Aku memang jarang makan di luar kalau balik ke Kota Bharu, jadi aku kenal kedai tomyam hanya di KL saja.

Banyak-banyak tomyam di warung atau restoran besar yang pernah aku cuba dan rasa, takda satu pun yang menyamai tomyam Misi Zah. Takdalah besar sangat bezanya, tapi bagi aku ia tetap ada signifikan tersendiri. Bukan aku seorang, cucu beliau pun boleh tau “ini tomyam Mummytok selalu buat nih”.

Jadi kalau ada yang berminat nak cuba apa kelainan itu, silakan dengan besar hati. Bahan gaya bebas, ikut sukahati cuma cara pembuatannya saja yang lain. Yang paling penting bagi aku yang kaki hirup nih; “TAKDA SAMPAH” (paham jelah tomyam kedai baaaaaanyak bawang,daun apa bagai segalanya).

Bahan-bahan:

5-6 ulas bawang merah*
2-3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
2 batang serai (diketuk)
1-2 kiub tomyam knorr (tengok sukatan air)
3-4 helai daun limau purut
2-3 biji limau nipis (terpulang saiz)
2 biji tomato
Kobis bunga/brokoli (dedua pun boleh)
Lobak merah
Anak/ketiak jagung (babycorn) -kalau suka
Cili padi (diketuk)
Garam
Air secukupnya
Cendawan (ikut suka apa jenis atau perlu)
Ayam,daging,sotong,udang,fishball

Cara membuatnya:

Macam biasalah, asas paling mandatori masakan Misi Zah ialah menumbuk bahan yang bertanda * tersebut. Bila dah lumat ketuk sekali serai dan masukkan dalam periuk. Bersihkan semua bahan utama dan masuk dalam periuk. Masukkan air secukupnya. Ok di sinilah yang BEZAnya kot tomyam Misi Zah dengan orang lain dan juga di kedai-kedai. Masakan ini aci main CAMPAK saja, tak perlu nak tumis dulu 🙂 tapi hasil dari bahan asas yang ditumbuk dulu itu yang bagi ‘kick’ yang agak beza berbanding dengan tomyam yang biasa dibeli.

Dah masukkan air secukupnya, masukkan perahan limau nipis, garam secukupnya dan kacau perlahan menggunakan api sederhana. Bila dah nak agak mendidih, masukkan daun limau purut serta kiub tomyam knorr (sebenarnya nak guna apa brand pun boleh sahaja).

Seterusnya masukkan segala sayur campur dan biar hingga cukup mendidih dan masak. Siap.

Ramadhan Terakhir (4)

20 Sep

17 Ramadhan

Hari itu cuti Nuzul Quran.

Kak Ta ada suarakan pada aku untuk ke Bangi, menjemput Mummy kembali ke Shah Alam. Aku agak kehairanan kerana pada kiraan aku belum sampai masanya lagi untuk kami jemput. Aku tahu Jang akan sampai dari Kota Bharu hari itu, jadi aku tanyakan kalau dia boleh tolong hantarkan Mummy ke rumah Kak Ta.

Rupanya Kak Da sedang membawa Mummy untuk rawatan di Klinik Pakar Putrajaya, terus dirujuk kepada doktor peribadi Tun. Diberitakan sebelum itu keadaan Mummy memang sangat tidak baik, hampir pitam 2 kali di rumah Kak Da. Oleh kerana Putrajaya tidak bercuti umum, Kak Da telah mohon pada Jang untuk sambung menemani Mummy ketika pemeriksaan kerana dia perlu kembali je pejabat pula.

Aku dan Kak Ta sabar menanti apakah hasil keputusan pemeriksaan di Shah Alam sahaja. Kalau serius, kami akan ke sana. Tapi kami dimaklumkan kemudian, ada beberapa ujian tidak dapat dijalankan kerana masalah teknikal. Lalu pihak di sana memberikan kami pilihan ke hospital manakah Mummy akan dirujuk nanti.

Mengambilkira hospital yang paling hampir dengan Kak Da, dan kedudukan Kak Da sebagai anak sulung maka ditetapkan Hospital Serdang saja. Jadi keesokannya, Mummy akan dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut di Klinik Pakar. Bila ditanya apa analisis awal, ada ketumbuhan dikesan pada bahagian kilang telur. Jadi keesokannya aku sudah bertekad untuk ambil EL kerana aku rasa bertanggungjawab untuk temankan Mummy sepanjang check-up, di samping boleh membantu Kak Da sekiranya ada hal-hal yang berkaitan.

Selasa, 18 Ramadhan, Hospital Serdang

Aku bergerak dari ofis lebih kurang 10 pagi,setelah aku maklumkan staff tentang situasi aku. Direct ke stesen Serdang dengan komuter sambil minta Kak Da updatekan on their whereabouts. Syukurlah, aku sampai di Jabatan O&G, Klinik Pakar Hospital Serdang tidak lama selepas mereka sampai. Mummy rilek saja duduk berkerusi roda, tunggu giliran untuk bertemu Doktor sebagaimana yang telah dirujuk dari Putrajaya semalam.

Tak banyak yang aku borakkan dengan Mummy. Daripada bisik-bisik dengan Kak Da ketika itu, Mummy telah dijumpai terduduk lama di dalam bilik air oleh Kak Da. Sudah habis tenaga untuk bangun. Mujurlah ketika itu Kak Da masih belum ke pejabat, dan sempat menjenguk Mummy. Kalau tidak memang ada kebarangkalian untuk Mummy bersendirian di bilik air sepanjang hari!

Setelah lama menunggu dan beberapa follow up oleh Kak Da dengan petugas kaunter, akhirnya Mummy dipanggil untuk rawatan. Aku tolak kerusi roda Mummy ke mana-mana bilik rawatan pun. Kali ini kami tak akan beri muka lagi, tak mahu bagi peluang Mummy mengelak-elak lagi demi untuk kebaikan beliau juga.

Daripada pemeriksaan rutin pertama, Mummy dibawa ke bilik sebelah pula untuk dibuat ultrasound dan pap-smear. Hanya Kak Da yang ikut temankan di sebelah Mummy pada setiap pemeriksaan, sedang aku hanya menunggu di balik tabir. Hanya rapat bila dah siap, dan aku akan bawakan kerusi roda. Tapi aku pasang telinga cuba dengar dan fahamkan apa yang tidak kena dengan Mummy. Yang aku sempat tangkap “ketumbuhan agresif”, “aktif” dan “8cm”.

Pakar sakit puan kemudian maklumkan pada kami, Mummy perlu ditahan di wad untuk rawatan lanjut di mana beberapa siri ujian lagi harus dijalankan. Mulanya Mummy masih lagi mahu mengelak, memberi alasan dia ok, hanya letih sedikit sebab kurang makan dan sebagainya tapi Kak Da dan aku sudah berpakat sama-sama memberikan isyarat pada doktor untuk teruskan saja tahan Mummy di wad. Itu yang terbaik untuk Mummy ketika itu. Kami dah tak sanggup tengok Mummy buat-buat kuat tahan sakit lagi.

Kak Da sibuk uruskan soak pendaftaran masuk ke wad, dengan hal-hal dokumendan sebagainya manakala aku menghantar Mummy naik ke wad di tingkat 6. Sambil menunggu surat jaminan (guarantee letter atau GL daripada Kak Ta, Mummy ditempatkan buat sementara di wad kelas biasa. Nampak Mummy masam mencuka, mungkin bengang kerana terpaksa mengalah untuk ditahan di hospital. Kak Da pujuk Mummy, sebaik saja terima faks GL daripada Kak Ta kami akan pindahkan ke wad kelas pertama. Tapi ketika itu kami dimaklumkan yang wad tersebut telah penuh, juga bergantung kepada keputusan dan pertimbangan Doktor setelah melihatkan keadaan Mummy nanti, jadi Mummy perlu diletakkan di wad yang paling hampir dengan meja petugas untuk pemerhatian rapi. Maka best option adalah di Wad Kelas 2.

Sebaik saja katil untuk Mummy disiapkan, kami sama-sama bantu Mummy di katil. Awal-awal lagi Mummy dah mengadu sejuk, kebetulan pula katilnya di bawah kipas. Nak ditutup dikhuatiri akan mengganggu keselesaan pesakit lain pula. Macam-macam lagilah perkara yang diadu Mummy, ada saja yang tak kena. Waktu itu jugalah banyak lagi checkup yang dilakukan ke atas Mummy, yang membuatkan aku terpaksa menunggu di luar. Kak Da ambil masa turun ke bawah belikan sedikit makanan sebagai pengalas perut Mummy.

Masa itu kami berdua sibuk memaklumkan perkembangan terkini Mummy kepada ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat. Memang ada pertanyaan mengapa tak dihantar saja Mummy ke hospital swasta, bukankah di sana suasana lebih selesa untuk Mummy? Ya benar kami tak nafikan semua itu, tapi masalahnya lokasi hospital jauh dan kami tak mahu buang masa di jalanan. Kak Da yang paling berhak untuk putuskan, sementelahan lagi Mummy sakit ketika dalam jagaannya. Agak penat juga bagi kami untuk melayan sesetengah pertanyaan itu. Yang mereka tahu hanyalah menyoal, menyoal dan menyoal kenapa itu mengapa ini. Tak pernah pula mereka nak fikirkan mujurlah Mummy tak sakit sendirian di Kota Bharu tanpa anak-anak?

Setelah diambil darah, bacaan jantung dan sebagainya Mummy kemudian dipindahkan ke wad kelas dua, berhampiran dengan meja petugas. Kak Da sudah kembali ke pejabat, maka tinggal aku seorang yang harus menguruskan segalanya tentang Mummy. Menguruskan soal surat dan dokumen yang bersabit dengan penjawat awam ini kadang-kadang menduga kesabaran aku juga ketika itu. Aku terpaksa ulang-alik turun-naik wad dan bahagian bendahari untuk uruskan soal pendaftaran Mummy yang tergendala. Kadang-kadang terpaksa berkejar ke surau untuk menumpangkan caj telefon setelah beberapa kali dihalang oleh jururawat tentang larangan charging di dalam wad. Kalau tak kerana bulan puasa, memang aku turutkan saja panas baran aku nak bersoaljawab tentang polisi karut sedemikian yang menyusahkan keluarga pesakit pada masa terdesak begitu.

Pada masa melawat di waktu petangnya, Kak Da datang lagi dengan membawakan x-ray yang telah dibuat sehari sebelumnya di Putrajaya. Mereka cuba untuk buat x-ray lagi ke atas Mummy, tapi Mummy berdegil tak mahu buat dan claim bendanya sudah ada. Hal itu berlaku ketika aku tiada di sisi Mummy dan terpaksa pula berdepan kerenah birokrasi tentang pendaftaran, sekaligus buat darah aku menyirap. Bila aku balik ke katil Mummy, beliau mengadu pada aku dan tanya ke mana aku dah pergi, kenapa tak tunggu di sampingnya? Kasihan Mummy…

Aku minta Mummy habiskan doughnut dan air, untuk tambah sedikit tenaga memandangkan bacaan darahnya agak rendah. Ketika itu aku cuba berhubung dengan teman lama dari zaman Maher iaitu Bija yang kebetulan doktor yang bertugas di wad tersebut, tapi malangnya Bija pula MC. Tak apalah, fikir aku. Nanti next time akan ada kesempatan untuk bertemu.

Setelah urusan hari pertama kemasukan Mummy ke wad 6B selesai, kami mula berkira-kira tentang giliran untuk menjaga Mummy di wad. Pada mulanya Kak Da cakap memandangkan semuanya lengkap, kalau tak ditunggu pun tidak mengapa. Aku tak sedap hati mendengarkan itu, bagi aku Mummy dah cukup lama sunyi bersendirian berjauhan dengan anak-anak di Kota Bharu, jadi adalah tidak adil untuk biarkan dia sendiri lagi di wad. Kalau tak disebabkan aku tak bersedia dengan pakaian ganti,dan terpaksa uruskan hal transport untuk berulang-alik dari hospital,ofis dan Shah Alam memang aku dah berkampung tidur di wad malam itu juga. Tapi memandangkan aku juga sudah kepenatan menunggu dan berdepan birokrasi bodoh sepanjang waktu berpuasa jadi aku terpaksa beralah untuk balik ke Shah Alam dahulu. Aku secara sukarela tetapkan untuk ambil giliran bermalam temankan Mummy selama mana beliau terpaksa ditahan di wad. Dulu ketika aku sakit dan hanya tinggal kami dua beranak sahaja di rumah, Mummy tak harapkan sesiapa pun untuk tolong menghantarkan aku je hospital di tengah-tengah malam buta dahulu. Kami terpaksa berjalan kaki meredah kegelapan malam, mujurlah rumah kami hanya bersebelahan kawasan hospital. Takkanlah sekarang aku nak berkira pula dalam soal menjaga Mummy yang sakit.

Aku maklumkan dan minta maaf pada Mummy sungguh-sungguh, yang aku tak dapat bermalam di wad pada malam tersebut. Mummy angguk perlahan, cuba yakinkan kami yang dia takkan apa-apa. Maka selepas waktu melawat tamat, aku dan Kak Da turun berbuka puasa di kafe sebentar dan kemudian bergerak pulang. Kak Da cakap akan datang lagi kemudiannya untuk menghantar beberapa barang penting dan kelengkapan untuk Mummy. Dari hari itu, kami telah mengingatkan diri masing-masing keadaan sudah jauh berubah dan inilah masanya kami akan diuji secukupnya oleh Allah Taala.

Bila aku sampai di rumah Shah Alam, setelah bercerita kepada Kak Ta apa yang telah kami lalui sepanjang hari, kemudian aku naik untuk membersihkan diri dan berkemas untuk pengalaman panjang di hospital pada hari-hari yang akan datang. Sedikit pun aku tak pernah jangka apa yang bakal kami semua tempuhi sejak bermulanya Mummy dimasukkan ke wad pada hari itu, 18 Ramadhan…

Ramadhan Terakhir (3)

20 Sep

Ahad, Kuala Lumpur

Sekali lagi kami berkumpul buka puasa beramai-ramai di rumah Kak La. Kecuali Jang sekeluarga yang telah pulang berpuasa di Kota Bharu beberapa hari sebelumnya, dan telah siap hantar Mummy ke Bangi sebelum itu.

Sampai saja aku di muka pintu, memang dah nampak Mummy terbaring lesu di ruang menonton. Demam katanya. Walaupun badan dibalut beberapa lapis pakaian, Mummy tetap makin kurus di pandangan mataku. Bila diminta untuk berbaring saja di sofa, Mummy menolak. Lebih selesa berbaring dengan bersandarkan beberapa kusyen besar. Jelas sangat Mummy makin tak berdaya ketika itu. Dengarnya memang sudah ke klinik sebelum ini, sebab Mummy terkena kemalangan kecil ketika beliau mahu buat urusan bank di Tanjung Malim. Malang bagi Mummy, kakinya tergesel di bucu tangga yang agak tinggi, tapi dia cakap tak tersedar pun. Hanya bila dah sampai dalam bank, baru Mummy perasan betisnya luka dan terasa sakit. Kemudian dibawa ke klinik sebab Jang cakap keadaan lukanya seperti makin melarat. Memang sebelum itu kaki Mummy agak sembap, bimbang jadi makin melarat lalu terus dibawa ke klinik untuk rawatan. Doktor maklumkan lukanya tidak bahaya, hanya perlu 1 jarum dan bengkak akan surut.

Bila kami tengok keadaan lukanya itu, aku sebak. Walaupun dah kering, tapi nampaknya bekas itu agak dalam. Kak Ta dah berdesit, tak tahan nak tengok. Aku beranikan saja untuk perhatikan, hati siapa tak pedih tengok keadaan ibu yang semakin uzur, kakinya yang makin kurus dan lemah dengan keadaan luka sebegitu rupa. Masih perlukan ‘dressing’ lagi. Bila ditanya Mummy tak sakit ke time mula-mula tergesel tuh, Mummy jawab tak rasa apa pun. Ketika itu dia lebih banyak mengelamun sedang kami semua sibuk berkalut di dapur untuk persiapan buka puasa.

Bila waktu berbuka, aku tanyakan Mummy nak dihidangkan nasi untuknya sekalikah? Mummy geleng saja, suruh aku berbuka dulu. “Janganlah bersusah pasal Mummy, pergilah berbuka dulu..Mummykan tak puasa”. Jadi aku berbuka ala kadar dan secepat mungkin, makan pun aku memang pilih duduk berhampiran Mummy yang masih lagi terbaring kesejukan.

Bila aku masuk ke dapur mencuci pinggan, aku telah diminta untuk hidangkan nasi untuk Mummy. Menu malam itu nasi putih, ikan singgang dan ayam goreng. Aku tatang dan hidangkan untuk Mummy di pembaringannya. Nak diajak ke meja makan pun, Mummy dah tak larat sangat. Kak Da cakap nak pantau sehari dua lagi, sebab demamnya turun naik. Kalau nampak tak berubah juga, memang akan dibawa ke hospital. Kali ini walau Mummy berdegil pun, kami akan tetap teruskan juga usaha ke hospital.

Jadi memang jelas dan muktamadlah pada kami semua ketika itu, takkan pulang beraya ke Kota Bharu julung kalinya tahun ini, setelah mengambilkira pada keadaan kesihatan Mummy. Mummy sedikit puntak pernah bersungut nak balik jenguk rumahnya di sana, apa lagi nak bercakap tentang raya..walhal dialah orang yang paling sibuk dengan persiapan nak sambut kepulangan kami semua seperti tahun-tahun sudah. Tahun ini langsung tak pernah disebutnya bila nak balik ke, siapa yang akan balik ke. Jadi kami putuskan sahaja untuk beraya di KL memandangkan hampir seluruh keluarga besar kami sanak saudara telah lama bermastautin di sini. Berat juga rasa hati, kerana bagi kami semua Kota Bharu ialah raya kami, dan raya kami takda maknanya tanpa Kota Bharu. Tapi mengenangkan keuzuran tonggak rumah kami di Kota Bharu, kami semua berkorban sajalah.

Lalu kami semua duduk berhimpit-himpit berkerumun hampir dengan Mummy, dan sibuk membuat rancangan di hari raya nanti; mana nak pergi, rumah saudara mana, mana checkpoint, rumah mana ada kuzi, yang mana sedap dan macam-macam lagilah yang kami sembangkan. Sesekali aku curi pandang ke arah Mummy, yang hanya terbaring diam saja tanpa sebarang reaksi.

Tamat acara makan-makan, bersembang dan sebagainya masing-masing mula bersiap untuk pulang. Mummy masa tuh dalam giliran rumah Kak Da, jadi dia ikut balik ke Bangi. Aku pimpin tangan Mummy menuju ke kereta Kak Da, masa tu sangat terasa sejuknya tangan Mummy. Dan aku juga antara yang paling akhir to bid her goodbye dan berpelukan. Dalam cepat-cepat itu pun, aku masih terkesan akan keuzuran Mummy… Kurus dan cengkung.

“Mummy makanlah ubat, makan biar banyak-banyak kali..barulah cepat sihat, cergas sikit ya?”

Mummy diam saja bila aku pesankan begitu. Masa itu juga aku baru teringat pesanan Mummy sebelum dibawa pergi ke Tanjung Malim sebelum itu, bila aku letakkan beg pakaiannya dan tanyakan lagi mana-mana baju atau keperluannya yang harus aku kemaskan sekali. Mummy geleng saja.

“… Tapi tolong basuh telekung Mummy yang di bilik bawah tu ya?” Pesan Mummy kemudian. Aku anggukkan saja, tapi kemudiannya aku memang betul-betul lupa nak buat seperti mana disuruh. Ketika itupun aku dah teringat, ahh sudah aku dah cuak kalau Mummy tanya dah basuh ke telekungnya itu? Aku tarik nafas lega bila Mummy lupa untuk bertanyakan hal itu.
.
.
.
.
.

…..dan aku rasa mujurlah Mummy lupa untuk bertanya, dan mujurlah aku sampai sudah terlupa untuk membasuhnya. Kerana itu sajalah kenangan yang ada untuk aku. Antara semua pakaian, kain batik dan telekung di dalam mana-mana beg kami,atau beg pakaiannya di mana-mana pun semuanya sudah siap berbasuh. Hanya itu sahaja yang membezakan telekung itu dengan peninggalan Mummy yang lain…

Bau Mummy…