Archive | 3:47 pm

The Funeral

15 Feb

Bagaimana keadaan roh ketika akan berakhirnya kehidupan? Adakah berita yang mengkhabarkannya? Mengenai hal tersebut, Nabi Muhammah SAW bersabda:

“Para Malaikat Maut hadir di sisi orang yang akan dicabut nyawanya. Jika ia orang soleh, mereka berkata, ‘Keluarlah, wahai jiwa yang baik yang ada di dalam jasad yang baik. Keluarlah dalam keadaan terpuji. Bergembiralah kamu dengan rahmat dan anugerah.Tuhan redha dan tidak murka.’ Ucapan tersebut terus diulang-ulang sampai ia terkeluar dari jasad. Kemudian, mereka membawanya naik ke atas langit. Ketika pintu langit akan dibukakan untuknya, ada yang bertanya, ‘Siapa ini?’ Mereka menjawab,’polan bin polan.’ Lalu dikatakan, ‘Selamat datang, wahai jiwa yang baik yang berada di jasad yang baik. Masuklah dengan terpuji. Bergembiralah dengan rahmat dan anugerah. Tuhan redha dan tidak murka.’ Ucapan tersebut pun terus diulang-ulang sampai rombongan malaikat yang membawanya tiba di langit di mana Allah berada. Tetapi, kalau ia orang jahat, para Malaikat Maut itu berkata,’Keluarlah wahai jiwa buruk yang berada di jasad yang buruk. Keluarlah dengan tercela. Bergembiralah dengan neraka Jahim dan kegelapan. Ucapan tersebut diulang-ulang sampai ia keluar. Kemudian, ia dibawa naik ke atas langit. Ketika meminta dibukakan pintunya, ada yang bertanya,’Siapa ini?’ Dijawab,’Si polan.’ Dikatakan, ‘Tidak ada ucapan selamat datang kepada jiwa buruk yang ada di jasad yang buruk. Pulanglah dengan tercela, kerana pintu-pintu langit tidak dibukakan untukmu.’ Ia lalu dilemparkan dari langit kemudian kembali ke kubur.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a)

Selok Belok Kematian, The Secret of Kematian

……………………………………………………………………….

Sementara menunggu jenazah Mummy disiapkan oleh 2 jururawat, kami mula mengemas segala barangan peribadi milik semua. Kak Da sibuk di telefon, berhubung dengan pihak kariah masjid dan pengurusan jenazah berhampiran kawasan kediamannya. Kami sibuk mengutip setiap barangan kami satu-persatu lalu dimasukkan ke dalam beg, tapi yang paling pilu apabila mengemaskan beg pakaian Mummy…

…yang aku harap bila sampai masa untuk dikemaskan, Mummy juga ikut pulang bersama untuk aku jagakan sepenuh masa. Walau apa juapun keadaannya, aku jagakan. Aku janji untuk jagakan…

Sesekali kami mengintai dari balik tabir ketika nurses itu sedang mempersiapkan
Mummy ke bilik pengurusan jenazah. Melihatkan kepada keadaan jenazah Mummy ketika itu, sungguh kami mengagumi akan kekuasaan Allah Taala. Menjelang bulan-bulan akhir hayatnya, Mummy berkeadaan uzur dengan tubuh yang makin kurus, wajah yang cengkung dan tidak bermaya. Tetapi sebaik kami memandang akan jenazahnya, kelihatan seolah-olah tubuh badan Mummy seperti kembali ke sedia asal: berisi, segar seperti keadaannya yang sihat seolah tiada kenangan waktu sakitnya. Maha Suci Allah yang menzahirkan kecantikan Mummy walaupun rohnya telah meninggalkan jasad. Hanya yang jelas tinggal ialah tanda-tanda merah sel kanser yang timbul pada lapisan kulit Mummy, khususnya di bahagian perutnya. Tak terbayang oleh kami semua akan sakitnya yang ditanggung oleh kami melihatkan pada parut-parut kanser tersebut, tapi sebagaimana yang diingatkan oleh Kak Ta sebelumnya; ” Allah nak naikkan darjat Mummy, sebab itu dikurniakan sakit begini”

Ya Allah…aku rindu…

………………………………………………………………..

Setelah Mummy dipersiapkan, kami diberikan sedikit masa untuk bersama Mummy buat kali terakhir. Untuk memberi peluang kepada ahli keluarga dan kaum kerabat terdekat, serta mana-mana teman rapat untuk datang berziarah. Hampir semua daripada kami anak cucu Mummy ada bersama, dan bergilir duduk di tepi pembaringan menghadiahkan Al-Fatihah dan Yassin. Hadiah kami semua untuk kehidupan Mummy yang selanjutnya.

Masing-masing akan ambil masa untuk bersendirian, melafazkan kata akhir dan mengucup ibu kami buat kali terakhir. Sebak, sayu, pilu, rindu, sedih semuanya bercampur-baur perasaannya. Aku tidak tahu akan perasaan yang dialami setiap daripada kami, yang aku zahirkan di sini ialah perasaan peribadi aku sendiri. Dan apa yang telah aku alami sepanjang menguruskan Mummy.

Memandangkan aku masih lagi dalam keadaan uzur syarie, aku hanya mampu hadiahkan alunan bacaan Yassin daripada iPad yang aku letakkan di bantal Mummy, dekat dengan telinganya. Sedaya upaya aku seka airmata jangan sampai setitis pun yang tumpah ke atas wajah Mummy yang luhur itu. Aku tatap sepenuhnya, merenung setiap inci dan setiap garis yang wujud terlukis di wajah Mummy…untuk kesekian kali. Tapi kali ini buat yang terakhirnya.

“memandang wajah ibubapa ketika mereka sedang tidur itu pahala”
.
.
.

…tapi Mummy sedang tidur takkan bangun lagi, untuk aku…

Ketika disuruh untuk menutup wajah Mummy sementara menunggu ketibaan yang lain dan untuk dibawa ke persiapan seterusnya, aku tanpa berfikir panjang melindungi wajah Mummy dengan selendang aku sendiri. Sedikit pun aku tidak berganjak dari sisinya, setiap orang yang mahu memandang aku yang akan singkapkan selendang itu untuk tatapan akhir.

Kemudian aku menerima ziarah daripada juniorku dari Maher, Biey yang juga mewakili teman-temannya yang lain. Alhamdulillah ketika itu aku sudah pun bertenang, jadi bolehlah entertain tetamuku seadanya dan menjawab pertanyaan ringkas mengenai Mummy. Cuma yang aku tidak sangka dan sangat terharu bila kemudian Biey mohon izin untuk mengucup wajah Mummy, walaupun itulah kali pertama Biey ‘bertemu’ Mummy. Aku izinkan kerana bagi aku itu penghormatan untuk Mummy menerima ziarah dan kasih sayang daripada tetamunya. Terima kasih Biey.

Ya Allah…begitu sekali ibu kami ini dikasihi orang…

Bunyi notification fb di blackberry juga tidak henti-henti, menandakan ucapan takziah dan doa daripada mereka yang sangat-sangat prihatin dan mengikuti cerita Mummy yang dirasat di hospital hingga kepada keadaan mutakhir. Aku hanya sempat membacanya sekali lalu. Terima kasih, terima kasih pada semua luhur daripada hati-hati kami semua. Sesekali aku menyeka airmata yang mengalir di pipi, teringat pula peristiwa hujan yang turun tidak lama selepas Mummy disahkan kembali ke rahmat Allah tadi. Seolah-olah turut sama menangisi, tapi aku yakin itu rahmat yang ditunjukkan oleh Ilahi, dan aku berharap semoga para malaikat yang di langit menyambut kedatangan roh Mummy di sana dengan sebaiknya.

………………………………………………………………………..

Sebaik sahaja Kak Da mendapat pengesahan daripada kariah masjid, dan dimaklumkan mengenai van jenazah dan sebagainya jenazah Mummy telah dibawa ke bilik mandi, dengan diiringi oleh Abah, abang-abang serta ipar dan saudara kami. Lalu kami semua yang tinggal berpecah dengan beberapa kenderaan untuk kembali berkumpul di masjid dan rumah Kak Da di Bandar Baru Bangi. Biey mohon diri untuk pulang, kami berpelukan seketika dan aku zahirkan penghargaanku atas kesudiannya dan teman sanggup bersusah-payah datang berziarah.

Ketika aku ambil beg-beg yang telah siap dikemas, aku sempat menoleh ke arah ruang katil Mummy yang telah ditinggalkan kosong. Seolah-olah masih lagi terbayang di ruang mataku dengan sangat jelas, susuk tubuh Mummy yang terbaring lesu di atas katilnya dan seolah-olah aku melihat tayangan pula susuk tubuh kami yang duduk dan berdiri di sisi katil membaca Yassin dan melafaz kalimah syahadah.

….tapi itu semua sudah berlalu….

……………………………………………………………………..

Tiba di lobi kami berkumpul seketika untuk memastikan agar kelangsungan majlis pengkebumian dapat difahami dan diikuti oleh semua dengan tanpa masalah. Aku kemudian mengikut Kak Ta menumpang kereta Che Moh, kakak iparnya yang tidak tahu haluan ke rumah Kak Da. Ketika kereta sudah bergerak menuju laluan keluar daripada Hospital Serdang, barulah aku mendapat panggilan telefon daripada Jang yang menyatakan inilah satu- satunya peluang untuk aku berbakti kepada Mummy buat yang terakhirnya; memandikan jenazah Mummy. Aku merasa sangat terkilan kerana dimaklumkan agak lewat memandangkan kami semua sudah pun bergerak meninggalkan kawasan hospital. Sedih dan sebak, aku hanya diam sepanjang perjalanan. Aku beristighfar, mohon ampun pada Allah dan ucapkan maafku pada Mummy berulangkali dalam hati, kami anak-anak perempuan tidak berkesempatan untuk memandikan jenazah ibu kami.

Ketika sampai di kawasan perumahan Kak Da, kami harus melalui kawasan surau dahulu. Dapat aku lihat mereka golongan lelaki sedang sibuk mempersiapkan ketibaan van jenazah Mummy. Namun kami pihak perempuan terus dibawa ke rumah Kak Da untuk bersiap, dan membersihkan tubuh. Difahamkan Mummy takkan dibawa pulang ke rumah sebaliknya akan terus disembahyangkan di surau kerana Imam mahu segerakan urusan pengkebumian selepas Isyak nanti.

Aku cepat-cepat menukar baju kurung, yang aku selitkan dalam begku ketika mula-mula datang menyambung tugas menemankan Mummy di hospital pada raya ke-2 yang lalu. Tidak sangka aku akan memakainya pada malam itu untuk menghantar Mummy pergi ke rumah barunya. Di luar saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga mula memenuhi ruang rumah Kak Da, jadi aku kuatkan semangat untuk bertemu dan menyambut kedatangan mereka. Alhamdulillah, syukurlah saudara kami Izan sekeluarga sudi menyediakan makanan dan minuman untuk jemaah masjid dan hadirin yang lain. Pada masa-masa penuh sugul dan kedukaan beginilah sokongan padu daripada kaum keluarga dan sahabat handai yang akan memberikan kekuatan kepada keluarga yang ditinggalkan.

………………………………………………………………..

Kami kaum perempuan tiba di masjid sebaik sahaja tamat jemaah waktu Isyak, dan mereka sedang mempersiapkan untuk solat jenazah Mummy pula. Sekali lagi kami rasa sangat bersyukur walaupun masih lagi waktu cuti raya namun jemaah yang mendirikan solat jenazah buat Mummy mencapai lebih daripada 3 saf, yang turut disertai oleh setiap anak dan cucu lelaki Mummy sendiri. Sememangnya aku yakin dan pasti, Mummy mesti bangga dengan suasana itu. Dengan solat terakhir untuknya dimakmumkan oleh anak cucu lelaki sendiri.

Tamat sahaja solat jenazah, kami sekali lagi berpecah dengan kenderaan masing-masing lalu berkonvoi menuju ke pusara Mummy yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Sg. Tangkas, Bandar Baru Bangi. Aku ketika itu mengikuti rombongan keluarga Kak Ani, sesekali aku pandang ke belakang cuba menghitung berapa jumlah kenderaan yang ikut menghantar perjalanan akhir Mummy. Kalau tidak silap rasanya ada 10-12 buah kereta yang mengiringi perjalanan Mummy.

…………………………………………………………………

Apabila sampai di kawasan tanah perkuburan, aku lihat liang lahad Mummy telah dipersiapkan dengan beberapa anak saudara lelaki aku dan kawannya telah siap berada di dalam, turut sama membantu menggali. Perlahan-lahan aku merapati kawasan kubur Mummy yang dilimpahi lampu spotlight. Kubur Mummy letaknya betul-betul di bawah teduhan pokok. Alhamdulillah…syukur padaMu ya Allah kerana memberikan Mummy teduhan pada kuburnya mudah-mudahan sentiasa diteduhi daripada zikir pohon yang menaungi pusaranya nanti.

Mereka mohon anak-anak lelaki Mummy turun ke liang lahad, untuk menyambut jenazah Mummy. Aku lihat betapa abang- abangku bekerja keras untuk menyempurnakan urusan terakhir buat Mummy, kemudian dengan dibantu oleh penggali kubur dan anak-anak saudara serta saudara-saudara lelaki kami yang lain mereka sama-sama menyempurnakan urusan pengkebumian Mummy.

Aku duduk tidak jauh dari kawasan lot Mummy. Diam membisu hanya memandang setiap pergerakan mereka semua. Ketika itu kepala aku kosong, hati aku juga kosong. Apabila semuanya siap, mereka hamparkan tikar dan bersedia untuk membaca talkin. Aku cuba mendengar dan menghayati satu-persatu bacaan talkin buat Mummy, dan mengaminkan setiap doa buatnya.

Tamat bacaan talkin dan tahlil ringkas iaitu bacaan yassin beramai-ramai, kami semua bangun mengambil giliran untuk menabur mawar dan menjirus air ke pusara. Kali terakhir aku menghadiri pengkebumian dan menabur mawar ialah ketika arwah Tok Wan dulu, ketika aku dalam Tingkatan 2 di Kuala Terengganu. Dan pada malam itu, aku menghantar Mummy kembali, mendiami rumah barunya ke alam lain.

…………………………………………………………………….

Ketika kenderaan kami semua perlahan-lahan meninggalkan kawasan perkuburan tersebut, aku sempat berpaling memandang ke arah pusara Mummy. Yang aku pernah tahu daripada pembacaan dan daripada bacaan talkin, sebaik sahaja anak Adam meninggalkan kawasan kubur sebanyak 7 tapak maka datanglah Malaikat Mungkar dan Nakir untuk menjalankan amanah mereka. Aku bacakan Al-Fatihah untuk Mummy tanpa henti, untuk membantu Mummy di alam sana.

“….tenanglah Mummy, berehatlah. Semoga setiap solat Mummy, semoga Al-Quran yang sentiasa Mummy bacakan sepanjang hayat Mummy dulu menjadi peneman Mummy, semoga setiap amal sedeqah jariah Mummy juga membantu Mummy. Semoga ibadah Haji yang Mummy telah laksanakan itu Mabrur. Nuri janji jadi anak solehah untuk Mummy, setiap baris butir Al-Fatihah dan ayat Quran lain Nuri hadiahkan untuk Mummy. Demi Mummy…amin ya rabbal alamin…”

………………………………………………………………………

Pulang ke rumah Kak Da untuk menerima ziarah daripada temanku Haiza yang sanggup datang dari Seremban bersama Farez suaminya. Keseluruhannya kami semua ahli keluarga Mummy memang sangat-sangat berterima kasih dengan kebaikan dan kesudian setiap yang hadir menziarahi kami semua. Semoga Allah yang membalasnya dengan kebaikan.

Ketika dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, kami semua senyap tanpa bicara. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Aku memandang keluar, memandang langit malam yang kelam. Sesekali airmata bergenang dan mengalir, tapi cepat-cepat aku sapu apabila teringatkan akan kata-kata Aizat salah seorang anak saudaraku tadi sebaik kami mau bergerak pulang. Aizat dan kawan-kawan ragbinya antara yang terawal sampai ke tanah kubur tadi, dan turut sama membantu penggali kubur menyiapkan liang lahad buat Mummytoknya sebelum jenazah diturunkan ke bawah.

” kubur Mummytok wangi tadi Che Su, betul…wangi sangat. Kawan-kawan Aizat pun bau wangi jugak..diorang cakap wangilah bau kubur nenek kau ni..”

Damailah Mummy, damailah dan tenanglah Mummy di alam sana. Semoga Mummy beroleh husnul khatimah dengan berkat segala amalan ibadah, dan kebajikan yang telah kami semua saksikan sepanjang hayat Mummy. Sesungguhnya aku bersyukur diberi peluang untuk menguruskan Mummy sepanjang beliau dalam keuzuran sehinggalah pada akhir hayatnya, hinggalah pada urusan terakhir pada waktu pengkebumian Mummy. Sebagai anak, lebih lagi yang bongsu terasa sangat-sangat kehilangan Mummy. Terasa banyaknya kekurangan aku selaku anak yang tidak sempat membahagiakan Mummy, melimpahkan kesenangan buatnya. Tapi siapalah kita manusia kerdil untuk menidakkan kuasa Yang Esa. Kasih sayang Allah pada hambaNya cukup tiada bandingan. Sebesar-besar kasih ibu terhadap anaknya, kasih sayang Allah 70 kali ganda besarnya daripada kasih sayang seorang ibu tersebut. Redhailah pemergiannya, sesungguhnya Mummy juga rindu akan Tuhan yang menciptakan.

….yang tinggal kini hanyalah doa. Doa buat Mummy. Al-Fatihah

20130215-154421.jpg