3 Syawal

21 Dec

Kami bangun setelah waktu Subuh, dan bergilir- gilir menemankan Mummy sementara bersiap-siap menghadapi hari baru. Kak Da dan Kak Ta pulang ke Bangi untuk berehat seketika, menjenguk keadaan anak-anak di sana dan sebagainya. Hanya tinggal aku dan Kak La saja di wad, kerana aku telah mempersiapkan bekalan secukupnya untuk menemani Mummy jadi aku tidak mahu tinggalkan beliau bersendirian di wad lagi.

Setelah bersarapan pagi ala kadar, Kak Da dan Kak Ta telah datang semula ke wad. Ketika itu juga doktor telah datang untuk menjalankan pemeriksaan ke atas Mummy, jadi sebahagian daripada kami telah turun ke kafeteria di lantai bawah sementara hanya aku dan Kak Ta yang menanti di sudut hujung wad, tempat kami biasa berkumpul.

Tidak lama kemudian, doktor tersebut menghampiri aku dan Kak Ta dan memaklumkan keadaan mutakhir Mummy. Didapati sel-sel kanser Mummy adalah sangat agresif, dan ketika itu telah mula merebak dan menyerang organ-organ dalaman yang lain. Ada tompokan-tompokan merah yang muncul di permukaan kulit tubuh Mummy, menandakan betapa seriusnya kanser tersebut. Kami juga telah dimaklumkan bahawa sudah tidak ada apa-apa lagi yang boleh mereka lakukan; hanyalah suntikan morfin untuk menahan sakit Mummy. Ada juga cadangan sekiranya kami mahu membawa Mummy pulang.

Aku dan Kak Ta hanya mengangguk faham, dan bertenang dengan berita tersebut. Kami menunggu untuk berbincang dengan adik-beradik yang lain serta Abah. Tapi aku masih ingat antara kata-kata akhir yang pernah Mummy ucapkan pada aku dahulu yang beliau tidak mahu mati di hospital, kalau boleh mahu di rumah sahaja.

Namun begitu, setelah dibincangkan bersama-sama kami putuskan untuk teruskan sahaja menemankan Mummy di wad walau apa jua keadaannya. Abah juga ada maklumkan Mok Su adiknya akan bertolak dari Kuala Terengganu pada malam itu, untuk menziarahi Mummy begitu juga masih ada lagi saudara mara yang akan datang untuk menjenguk Mummy. Dalam hati aku hanya berdoa mohon tempoh pada Allah Taala agar mereka-mereka ini berkesempatan untuk bertemu Mummy; pada masa hayatnya.

Aku makin jelas dengan keadaan tersebut, dan secara perlahan-lahan mula memahami dan menerima bahawa itulah saat-saat Mummy berdepan dengan sakaratulmautnya. Tubuh lesu yang terbaring di pembaringan tanpa suara ketika itu sedang bergelut menahan kesakitannya; pada zahir ia diberi nama kanser tetapi yang benarnya ialah sakaratulmaut. Suara Mummy sudah langsung tidak kedengaran. Mummy juga sudah tidak lagi memandang kami satu-persatu anaknya. Beliau sudah berada dalam dunianya sendiri ketika itu.

Imam Al-Ghazali menggambarkan bahawa sakaratul maut adalah ungkapan tentang rasa sakit yang menyerang jiwa dan menjalar ke seluruh bahagian jiwa. Dengan begitu, tidak ada lagi satu pun bahagian jiwa yang terbebas dari rasa sakit tersebut. Rasa sakit tersebut berbeda dengan sakit lainnya. Misalnya, ketika tertusuk duri, rasa sakitnya hanya menjalar pada bahagia jiwa yang terletak di anggota badan yang tertusuk. Begitu juga dengan rasa sakit kerana terhiris pisau. Pengaruh sakitnya hanya akan menimpa bahagian tubuh yang terluka.

Akan tetapi, rasa sakit yang dirasakan selama sakaratul maut mencengkam jiwa dan menyebar ke seluruh anggota badan. Malah, bahagian badan orang yang sedang sakaratul maut akan merasakan dirinya ditarik-tarik dan dicabut dari setiap akar rambut dan kulit kepala hingga kaki. Jadi begitu dahsyatnya rasa sakit dan derita seseorang yang mengalami sakaratul maut.

Apabila kita tertusuk duri atau terkena pisau, kita masih dapat berteriak dan berlari atau melompat-lompat untuk mengurangk rasa sakit yang muncul. Hal ini sangat mungkin kerana masih ada tenaga pada kaki, lidah, dan hatinya. Tetapi sekarang bayangkan orang yang sedang merasakan sakaratul maut. Dapat dipastikan, ia tidak sanggup lagi menjerit dan berteriak. Sebab rasa sakit yang dialaminya telah sampai pada puncak kesakitan dari semua jenis rasa sakit yang ada. Tenaga menjadi hilang dan semua anggota tubuh mulai lemah.

Oleh kerana itu, orang yang sedang sakaratul maut tidak lagi berdaya untuk berteriak minta pertolongan. Rasa sakit yang sangat dahsyat tersebut telah melumpuhkan akal, membungkam lidah, dan melemahkan semua tenaganha. Dia ingin sekali rasanya meratap, berteriak, dan menjerit minta pertolongan, namun tidak berdaya lagi melakukannya.

Proses Kematian, The Secret of Kematian, Muhammad Fakhrurrozi

…………………………………………………..

Kami adik-beradik tetap meneruskan rutin menemankan Mummy seperti biasa di tepi katil. Bergilir-gilir membacakan Yassin, dan melafaz syahadah di tepi telinga Mummy. Sesekali aku perhatikan tindakbalas dan gerak-geri tubuh Mummy. Kadang-kadang kakinya kejang, terangkat sedikit dan kadang-kadang tangannya pula yang terangkat. Namun begitu wajah Mummy tidak pula berkerut-kerut menahan sakitnya, hanya aku dapati terdapat peluh-peluh kecil yang merenik di dahi Mummy.

Berkenaan dengan peluh peluh yang membasahi dahi seorang mukmin sewaktu ajalnya tiba, Imam Al-Qurtubi mengatakan: “Sesungguhnya seorang mukmin yang masih ada sisa-sisa pada dirinya kesalahan-kesalahan yang telah diperbuatkan, akan dimunculkan ketika ia akan mati. Hal itu akan ditampakkan dari dahinya.”

Imam Al-Qurtubi menjelaskan bahawa maksud ayat dinampakkan dari dahinya adalah berkeringat. Keringat atau peluh tersebut disebabkan oleh rasa malu terhadap Allah SWT akibat pengakuannya atas segala kesalahan yang telah ia lakukan.

Rasa malu tersebut ada pada kedua mata. Pada ketika itulah rasa malu tersebut akan terasa. Peluh akan keluar dari mereka yang mendapatkan rahmat. Ini kerana, tidak ada seorang wali, sahabat atau orang baik yang tidak merasa malu pada Allah SWT. Dengan begitu, dia akan mendapat khabar gembira dan kemuliaan dari-Nya.

Dahi yang mengeluarkan peluh sewaktu menjelang ajal adalah tanda husnul khatimah.
Sekiranya kita pernah menjaga orang yang nazak dan hampir kepada ajal, kita pasti akan dapat melihat reaksi orang yang menghampiri ajal. Sama ada dahinya berpeluh ataupun tidak.

Tanda-tanda Husnul Khatimah (Akhir Hayat yang Baik), The Secret of Kematian

……………………………………………..

Malam itu aku dikhabarkan bahawa Mok Su telah selamat bertolak dari Kuala Terengganu bersama beberapa orang anak lelakinya, begitu juga khabar yang diterima tentang bekas suami Mummy yang turut ingin hadir menjenguk, walaupun juga sedang uzur. Aku sangat-sangat berharap dan berdoa agar mereka semua selamat dalam perjalanan jauh dan diizinkan Allah Taala untuk bertemu Mummy dalam keadaan hayatnya yang masih berbaki.

Pada malam itu juga aku saksikan bagaimana Jang duduk berdua dengan Abah, dengan penuh tulus hati memohon agar Abah ampunkan segala kesalahan Mummy terhadapnya; sekiranya terdapat kekhilafan daripada pihak Mummy selama berkongsi hidup dengan Abah. Hati aku sangat sayu apabila mendengarkan Abah berkata selama 43 tahun mereka hidup berumahtangga, mereka tidak pernah bergaduh besar, tidak pernah ada syak wasangka dan sebagainya. Abah terima Mummy seadanya yang ketika itu seorang ibu tunggal beranak 5, manakala Mummy terima Abah seadanya dengan segala kekurangannya ketika itu. Abah nyatakan tidak ada satu pun yang beliau simpan dalam hati; perasaan marah atau jauh hati terhadap Mummy. Abah izinkan pemergian Mummy ke Tanah Suci dahulu walaupun terdapat masalah kemudiannya; namun Abah redha kerana itu hanyalah ujian Allah dan Mummy sangat bergembira mengunjungi rumah Allah yang sangat dirindui.

…bila sampai masanya nanti, Mummy memang pergi dalam iman…”

Itulah antara ucapan akhir Abah pada malam tersebut. Yang menandakan tahap kesediaan Abah untuk menerima sebarang kemungkinan berikutnya. Dalam ketenangan Abah, aku tahu yang Abah sudah mula merindui Mummy, yang sudah tidak lagi bersuara memarahinya kalau Abah salah dengar atau silap faham dengan senarai dapur yang dikirim Mummy seperti selalunya. Abah sudah mula merindui Mummy, yang sentiasa sabar mendengar setiap celoteh Abah setiap kali dia pulang dari Terengganu. Abah yang sudah mulai merindui Mummy, yang akan memberi 2nd opinion dan memastikan Abah faham dengan aturan ubat-ubatannya kerana Abah ada sedikit darah tinggi dan mereka akan bergilir-gilir memeriksa tekanan darah masing-masing di rumah.

Sesungguhnya ketika itu Mummy memang sudah mula dirindui oleh kami semua….

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: