2 Syawal- malam di hospital

10 Dec

2 Syawal. Malam. Hospital Serdang

Malam itu aku sambung kembali tugas menemankan Mummy di wad, tapi kali ini tidak bersendirian seperti minggu lalu. Kali ini bertemankan kakak-kakak manakala abang-abangku pulang berehat di rumah Kak Da di Bandar Baru Bangi lewat malamnya. Setelah Mummy sudah tidak sedar petang tadi, kami ambil keputusan untuk langsung tidak tinggalkan beliau di katilnya bersendirian. Bacaan Yassin bersilih ganti antara kami, begitu juga aku akan pastikan mp3 tetap mengulang bacaan ayat-ayat suci di telinga Mummy. Aku selitkan iPad di balik bantal Mummy mengalas tidurnya.

Anak-anak saudaraku juga tidak senang duduk, sentiasa bergerak dari rumah Che Long mereka di Bangi itu berulang-alik ke hospital. Menjenguk Mummytok kesayangan, yang sudah terdiam membisu di pembaringannya. Ketika aku tersedar dari lelapku di kerusi ruang menunggu, aku duduk berbual-bual seketika dengan Abe Nik, anak saudara sulung dan juga cucu sulung kepada Mummy. Diceritakan salah seorang kawan sekolahnya ialah seorang doktor di wad itu, jadi dia cuba-cuba tanyakan apakah situasi sebenar untuk Mummytok, dan apa pula peluangnya dengan niat untuk kami lebih bersedia. Mulanya sahabat itu keberatan, tapi setelah didesak oleh Abe Nik berkali-kali jadi doktor muda itu mengalah.

“anak cucunya semua ada di sinikah?

” ya, kami semua ada di sini. Paling-paling pun di rumah anak sulungnya di Bangi.”

“baguslah, sentiasalah ada bersama. Nenek mungkin hanya ada sehari dua saja lagi…”

Aku sudah tidak punya apa-apa reaksi lagi bila mendengarkan kenyataan itu. Ingatan hanya menerawang pada petang sebelumnya, ketika Mummy masih lagi berupaya tersedar dan seketika berbunyi suara.

……………………………………………

“Makcik, Makcik Azizah. Kita nak masukkan ubat ya?…”

Aku pandang saja nurse tersebut duduk di sebelah katil Mummy, dengan bekas ubat yang mengandungi botol-botol kecil. Mummy hanya diam dan mengangguk. Ketika itu giliran aku dan Kak La yang menemankan, jadi kami turut membantu menenangkan Mummy.

“….sakiiiiiiiittt…….”

Aku hanya memandang wajah Mummy yang berkerut menahan kesakitan, yang mengerang seperti anak kecil setiap kali apabila ubat itu disuntik ke saluran tiubnya. Kadang-kadang Mummy meronta, jadi terpaksalah aku dan Kak La menahan kaki dan tangan Mummy.

“ya tau sakit, tapi Mummy tahan sikit lagi ya? Nak cepat baik mesti kena masuk ubat, nanti kita balik?”

Aku dan Kak La tidak henti memujuk. Mata kami sudah mulai bergenang. Hati masing-masing ranap dalam kesayuan, demi menyaksikan ibu kami yang menanggung sakit. Sakit yang sebolehnya kami mahu merasa,biar kami saja yang menanggungnya.

“ada berapa botol semuanya Nurse?” semuanya 5 botol morphin yang harus diselesaikan. Setiap kali itulah Mummy memaut lengan aku, membayangkan kesakitannya. Darah-darah Mummy yang mencair keluar di setiap ruang dan liang roma, juga melalui bekas suntikan yang terdahulu. Sudah menjadi rutin baru buat kami, mengelap darah yang meleleh dan menggantikan alas katil, alas lengan biar Mummy kering dan selesa.

………………………………………..

“kita kena sabar. Sabar tengok keadaan Mummy sakit meronta begitu… Allah sedang naikkan darjat Mummy…” kata-kata Kak Ta menenangkan aku bila aku mengadu tidak sanggup tengok keadaan Mummy begitu sekali. Tapi ya, aku harus akui dan tunduk pada ketentuan Allah Taala, hanya Dia yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Aku berdoa dengan penuh pengharapan agar Dia mengampunkan segala dosa-dosa Mummy melalui kafarah ini.

…………………………………………

Dengan info terkini yang aku dapat daripada Abe Nik, perlahan-lahan aku siapkan mental dan emosi. Untuk menerima kemungkinan itu at any random hours. Mummy sudah nazak, jadi aku perlu sentiasa bersama dengannya. Walaupun Mummy sudah tidak boleh berbual-bual lagi dengan aku, aku sangat pasti yang Mummy masih lagi mendengar suara kami dan mengenalinya. Ini aku nampak sengan jelasnya setiap kali kami bertukar giliran di katil, setiap kali kami bersuara Mummy seolah-olah akan ‘mencari-cari’ suara kami dengan gerakan kepalanya.

Aku menghampiri katil Mummy, sudah tiba giliran aku. Masih lagi uzur, jadi aku mengucap salam dan duduk di sebelah katil Mummy, sesekali aku perhatikan adakah perlu untuk diganti alas katil, masih ada lagikah darah yang mengalir.

“Mummy, kita istighfar sama-sama ya? Mummy ikut saja dalam hati. Nuri ada sini, teman Mummy…” perlahan-lahan tanganku mengusap ubun kepala Mummy dengan segala rasa kasih sayang seorang anak terhadap ibu, yang aku tahu manakan sama dengan kasih sayang Mummy terhadap aku. Tapi kasih sayang Allah Taala itu melebihi segalanya….

Aku sandarkan kepala di sebelah bahu Mummy. Walaupun ada bau darah, tapi aku tidak peduli. Tidak berapa lama kemudian aku tertidur begitu, dengan cuba menghayati dan mengenang bau tubuh Mummy…yang akan aku rindui kemudian nanti.

“Ya Allah, aku mohon dipinjamkan waktu seketika lagi untuk kenangan ini. Sekiranya kesakitan itu sebagai kafarah atas dosa-dosa ibuku, jauhkanlah daripada pengakhiran yang memedihkan…”

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: