Image

Misi Zah’s Signature Dish: Ayam Ros

21 Feb

20130221-175720.jpg

Bahan-bahan:

Ayam – terpulang berapa banyak bahagian yang mahu, berapa bilangan potongan semuanya ikut selera sendiri
Bawang putih – 2,3 ulas dihiris
Bawang besar – potong 2 atau 4, terpulang
Kulit kayu manis – 1 batang
Bunga lawang – 2 kuntum
Buah pelaga – 2 biji
Bunga cengkih – 2 kuntum
Kentang – 2,3 biji dipotong ikut saiz kesukaan
Kacang pis – 1 tin kecil (terpulang lagi)
Sos tomato – 4 sudu besar (anggaran)
Marjerin – 3 sudu besar (anggaran. Saya guna Planta)
Gula garam secukupnya
Air secukupnya

Cara masakan:

Seriously, resepi ini sangatlah mudah. Masukkan ayam dalam periuk, air dengan nisbah yang sepatutnya. Masukkan bawang putih, bawang besar,bahan-bahan rempah, sos tomato, marjerin. Panaskan atas dapur hingga mendidih. Masukkan kentang. Tutup seketika hingga kentang lembut. Now here’s the tricky part: tasting. Kalau ikut standard pencipta resepi, rasa kuah mesti masam masin (asal sedap di tekak jelah yea?) Maka sos tomato & marjerin mungkin perlu untuk ditambah sikit-sikit. Ia akan mengeluarkan aroma wangi semacam, seakan-akan indicator untuk rasa ayam ros yang perfect. Tambah gula, garam, bahan perasa (kalau guna) dan kacang pis. Gaul seketika dan siap.

Kan saya dah cakap, mudahkan?

The Funeral

15 Feb

Bagaimana keadaan roh ketika akan berakhirnya kehidupan? Adakah berita yang mengkhabarkannya? Mengenai hal tersebut, Nabi Muhammah SAW bersabda:

“Para Malaikat Maut hadir di sisi orang yang akan dicabut nyawanya. Jika ia orang soleh, mereka berkata, ‘Keluarlah, wahai jiwa yang baik yang ada di dalam jasad yang baik. Keluarlah dalam keadaan terpuji. Bergembiralah kamu dengan rahmat dan anugerah.Tuhan redha dan tidak murka.’ Ucapan tersebut terus diulang-ulang sampai ia terkeluar dari jasad. Kemudian, mereka membawanya naik ke atas langit. Ketika pintu langit akan dibukakan untuknya, ada yang bertanya, ‘Siapa ini?’ Mereka menjawab,’polan bin polan.’ Lalu dikatakan, ‘Selamat datang, wahai jiwa yang baik yang berada di jasad yang baik. Masuklah dengan terpuji. Bergembiralah dengan rahmat dan anugerah. Tuhan redha dan tidak murka.’ Ucapan tersebut pun terus diulang-ulang sampai rombongan malaikat yang membawanya tiba di langit di mana Allah berada. Tetapi, kalau ia orang jahat, para Malaikat Maut itu berkata,’Keluarlah wahai jiwa buruk yang berada di jasad yang buruk. Keluarlah dengan tercela. Bergembiralah dengan neraka Jahim dan kegelapan. Ucapan tersebut diulang-ulang sampai ia keluar. Kemudian, ia dibawa naik ke atas langit. Ketika meminta dibukakan pintunya, ada yang bertanya,’Siapa ini?’ Dijawab,’Si polan.’ Dikatakan, ‘Tidak ada ucapan selamat datang kepada jiwa buruk yang ada di jasad yang buruk. Pulanglah dengan tercela, kerana pintu-pintu langit tidak dibukakan untukmu.’ Ia lalu dilemparkan dari langit kemudian kembali ke kubur.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a)

Selok Belok Kematian, The Secret of Kematian

……………………………………………………………………….

Sementara menunggu jenazah Mummy disiapkan oleh 2 jururawat, kami mula mengemas segala barangan peribadi milik semua. Kak Da sibuk di telefon, berhubung dengan pihak kariah masjid dan pengurusan jenazah berhampiran kawasan kediamannya. Kami sibuk mengutip setiap barangan kami satu-persatu lalu dimasukkan ke dalam beg, tapi yang paling pilu apabila mengemaskan beg pakaian Mummy…

…yang aku harap bila sampai masa untuk dikemaskan, Mummy juga ikut pulang bersama untuk aku jagakan sepenuh masa. Walau apa juapun keadaannya, aku jagakan. Aku janji untuk jagakan…

Sesekali kami mengintai dari balik tabir ketika nurses itu sedang mempersiapkan
Mummy ke bilik pengurusan jenazah. Melihatkan kepada keadaan jenazah Mummy ketika itu, sungguh kami mengagumi akan kekuasaan Allah Taala. Menjelang bulan-bulan akhir hayatnya, Mummy berkeadaan uzur dengan tubuh yang makin kurus, wajah yang cengkung dan tidak bermaya. Tetapi sebaik kami memandang akan jenazahnya, kelihatan seolah-olah tubuh badan Mummy seperti kembali ke sedia asal: berisi, segar seperti keadaannya yang sihat seolah tiada kenangan waktu sakitnya. Maha Suci Allah yang menzahirkan kecantikan Mummy walaupun rohnya telah meninggalkan jasad. Hanya yang jelas tinggal ialah tanda-tanda merah sel kanser yang timbul pada lapisan kulit Mummy, khususnya di bahagian perutnya. Tak terbayang oleh kami semua akan sakitnya yang ditanggung oleh kami melihatkan pada parut-parut kanser tersebut, tapi sebagaimana yang diingatkan oleh Kak Ta sebelumnya; ” Allah nak naikkan darjat Mummy, sebab itu dikurniakan sakit begini”

Ya Allah…aku rindu…

………………………………………………………………..

Setelah Mummy dipersiapkan, kami diberikan sedikit masa untuk bersama Mummy buat kali terakhir. Untuk memberi peluang kepada ahli keluarga dan kaum kerabat terdekat, serta mana-mana teman rapat untuk datang berziarah. Hampir semua daripada kami anak cucu Mummy ada bersama, dan bergilir duduk di tepi pembaringan menghadiahkan Al-Fatihah dan Yassin. Hadiah kami semua untuk kehidupan Mummy yang selanjutnya.

Masing-masing akan ambil masa untuk bersendirian, melafazkan kata akhir dan mengucup ibu kami buat kali terakhir. Sebak, sayu, pilu, rindu, sedih semuanya bercampur-baur perasaannya. Aku tidak tahu akan perasaan yang dialami setiap daripada kami, yang aku zahirkan di sini ialah perasaan peribadi aku sendiri. Dan apa yang telah aku alami sepanjang menguruskan Mummy.

Memandangkan aku masih lagi dalam keadaan uzur syarie, aku hanya mampu hadiahkan alunan bacaan Yassin daripada iPad yang aku letakkan di bantal Mummy, dekat dengan telinganya. Sedaya upaya aku seka airmata jangan sampai setitis pun yang tumpah ke atas wajah Mummy yang luhur itu. Aku tatap sepenuhnya, merenung setiap inci dan setiap garis yang wujud terlukis di wajah Mummy…untuk kesekian kali. Tapi kali ini buat yang terakhirnya.

“memandang wajah ibubapa ketika mereka sedang tidur itu pahala”
.
.
.

…tapi Mummy sedang tidur takkan bangun lagi, untuk aku…

Ketika disuruh untuk menutup wajah Mummy sementara menunggu ketibaan yang lain dan untuk dibawa ke persiapan seterusnya, aku tanpa berfikir panjang melindungi wajah Mummy dengan selendang aku sendiri. Sedikit pun aku tidak berganjak dari sisinya, setiap orang yang mahu memandang aku yang akan singkapkan selendang itu untuk tatapan akhir.

Kemudian aku menerima ziarah daripada juniorku dari Maher, Biey yang juga mewakili teman-temannya yang lain. Alhamdulillah ketika itu aku sudah pun bertenang, jadi bolehlah entertain tetamuku seadanya dan menjawab pertanyaan ringkas mengenai Mummy. Cuma yang aku tidak sangka dan sangat terharu bila kemudian Biey mohon izin untuk mengucup wajah Mummy, walaupun itulah kali pertama Biey ‘bertemu’ Mummy. Aku izinkan kerana bagi aku itu penghormatan untuk Mummy menerima ziarah dan kasih sayang daripada tetamunya. Terima kasih Biey.

Ya Allah…begitu sekali ibu kami ini dikasihi orang…

Bunyi notification fb di blackberry juga tidak henti-henti, menandakan ucapan takziah dan doa daripada mereka yang sangat-sangat prihatin dan mengikuti cerita Mummy yang dirasat di hospital hingga kepada keadaan mutakhir. Aku hanya sempat membacanya sekali lalu. Terima kasih, terima kasih pada semua luhur daripada hati-hati kami semua. Sesekali aku menyeka airmata yang mengalir di pipi, teringat pula peristiwa hujan yang turun tidak lama selepas Mummy disahkan kembali ke rahmat Allah tadi. Seolah-olah turut sama menangisi, tapi aku yakin itu rahmat yang ditunjukkan oleh Ilahi, dan aku berharap semoga para malaikat yang di langit menyambut kedatangan roh Mummy di sana dengan sebaiknya.

………………………………………………………………………..

Sebaik sahaja Kak Da mendapat pengesahan daripada kariah masjid, dan dimaklumkan mengenai van jenazah dan sebagainya jenazah Mummy telah dibawa ke bilik mandi, dengan diiringi oleh Abah, abang-abang serta ipar dan saudara kami. Lalu kami semua yang tinggal berpecah dengan beberapa kenderaan untuk kembali berkumpul di masjid dan rumah Kak Da di Bandar Baru Bangi. Biey mohon diri untuk pulang, kami berpelukan seketika dan aku zahirkan penghargaanku atas kesudiannya dan teman sanggup bersusah-payah datang berziarah.

Ketika aku ambil beg-beg yang telah siap dikemas, aku sempat menoleh ke arah ruang katil Mummy yang telah ditinggalkan kosong. Seolah-olah masih lagi terbayang di ruang mataku dengan sangat jelas, susuk tubuh Mummy yang terbaring lesu di atas katilnya dan seolah-olah aku melihat tayangan pula susuk tubuh kami yang duduk dan berdiri di sisi katil membaca Yassin dan melafaz kalimah syahadah.

….tapi itu semua sudah berlalu….

……………………………………………………………………..

Tiba di lobi kami berkumpul seketika untuk memastikan agar kelangsungan majlis pengkebumian dapat difahami dan diikuti oleh semua dengan tanpa masalah. Aku kemudian mengikut Kak Ta menumpang kereta Che Moh, kakak iparnya yang tidak tahu haluan ke rumah Kak Da. Ketika kereta sudah bergerak menuju laluan keluar daripada Hospital Serdang, barulah aku mendapat panggilan telefon daripada Jang yang menyatakan inilah satu- satunya peluang untuk aku berbakti kepada Mummy buat yang terakhirnya; memandikan jenazah Mummy. Aku merasa sangat terkilan kerana dimaklumkan agak lewat memandangkan kami semua sudah pun bergerak meninggalkan kawasan hospital. Sedih dan sebak, aku hanya diam sepanjang perjalanan. Aku beristighfar, mohon ampun pada Allah dan ucapkan maafku pada Mummy berulangkali dalam hati, kami anak-anak perempuan tidak berkesempatan untuk memandikan jenazah ibu kami.

Ketika sampai di kawasan perumahan Kak Da, kami harus melalui kawasan surau dahulu. Dapat aku lihat mereka golongan lelaki sedang sibuk mempersiapkan ketibaan van jenazah Mummy. Namun kami pihak perempuan terus dibawa ke rumah Kak Da untuk bersiap, dan membersihkan tubuh. Difahamkan Mummy takkan dibawa pulang ke rumah sebaliknya akan terus disembahyangkan di surau kerana Imam mahu segerakan urusan pengkebumian selepas Isyak nanti.

Aku cepat-cepat menukar baju kurung, yang aku selitkan dalam begku ketika mula-mula datang menyambung tugas menemankan Mummy di hospital pada raya ke-2 yang lalu. Tidak sangka aku akan memakainya pada malam itu untuk menghantar Mummy pergi ke rumah barunya. Di luar saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga mula memenuhi ruang rumah Kak Da, jadi aku kuatkan semangat untuk bertemu dan menyambut kedatangan mereka. Alhamdulillah, syukurlah saudara kami Izan sekeluarga sudi menyediakan makanan dan minuman untuk jemaah masjid dan hadirin yang lain. Pada masa-masa penuh sugul dan kedukaan beginilah sokongan padu daripada kaum keluarga dan sahabat handai yang akan memberikan kekuatan kepada keluarga yang ditinggalkan.

………………………………………………………………..

Kami kaum perempuan tiba di masjid sebaik sahaja tamat jemaah waktu Isyak, dan mereka sedang mempersiapkan untuk solat jenazah Mummy pula. Sekali lagi kami rasa sangat bersyukur walaupun masih lagi waktu cuti raya namun jemaah yang mendirikan solat jenazah buat Mummy mencapai lebih daripada 3 saf, yang turut disertai oleh setiap anak dan cucu lelaki Mummy sendiri. Sememangnya aku yakin dan pasti, Mummy mesti bangga dengan suasana itu. Dengan solat terakhir untuknya dimakmumkan oleh anak cucu lelaki sendiri.

Tamat sahaja solat jenazah, kami sekali lagi berpecah dengan kenderaan masing-masing lalu berkonvoi menuju ke pusara Mummy yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Sg. Tangkas, Bandar Baru Bangi. Aku ketika itu mengikuti rombongan keluarga Kak Ani, sesekali aku pandang ke belakang cuba menghitung berapa jumlah kenderaan yang ikut menghantar perjalanan akhir Mummy. Kalau tidak silap rasanya ada 10-12 buah kereta yang mengiringi perjalanan Mummy.

…………………………………………………………………

Apabila sampai di kawasan tanah perkuburan, aku lihat liang lahad Mummy telah dipersiapkan dengan beberapa anak saudara lelaki aku dan kawannya telah siap berada di dalam, turut sama membantu menggali. Perlahan-lahan aku merapati kawasan kubur Mummy yang dilimpahi lampu spotlight. Kubur Mummy letaknya betul-betul di bawah teduhan pokok. Alhamdulillah…syukur padaMu ya Allah kerana memberikan Mummy teduhan pada kuburnya mudah-mudahan sentiasa diteduhi daripada zikir pohon yang menaungi pusaranya nanti.

Mereka mohon anak-anak lelaki Mummy turun ke liang lahad, untuk menyambut jenazah Mummy. Aku lihat betapa abang- abangku bekerja keras untuk menyempurnakan urusan terakhir buat Mummy, kemudian dengan dibantu oleh penggali kubur dan anak-anak saudara serta saudara-saudara lelaki kami yang lain mereka sama-sama menyempurnakan urusan pengkebumian Mummy.

Aku duduk tidak jauh dari kawasan lot Mummy. Diam membisu hanya memandang setiap pergerakan mereka semua. Ketika itu kepala aku kosong, hati aku juga kosong. Apabila semuanya siap, mereka hamparkan tikar dan bersedia untuk membaca talkin. Aku cuba mendengar dan menghayati satu-persatu bacaan talkin buat Mummy, dan mengaminkan setiap doa buatnya.

Tamat bacaan talkin dan tahlil ringkas iaitu bacaan yassin beramai-ramai, kami semua bangun mengambil giliran untuk menabur mawar dan menjirus air ke pusara. Kali terakhir aku menghadiri pengkebumian dan menabur mawar ialah ketika arwah Tok Wan dulu, ketika aku dalam Tingkatan 2 di Kuala Terengganu. Dan pada malam itu, aku menghantar Mummy kembali, mendiami rumah barunya ke alam lain.

…………………………………………………………………….

Ketika kenderaan kami semua perlahan-lahan meninggalkan kawasan perkuburan tersebut, aku sempat berpaling memandang ke arah pusara Mummy. Yang aku pernah tahu daripada pembacaan dan daripada bacaan talkin, sebaik sahaja anak Adam meninggalkan kawasan kubur sebanyak 7 tapak maka datanglah Malaikat Mungkar dan Nakir untuk menjalankan amanah mereka. Aku bacakan Al-Fatihah untuk Mummy tanpa henti, untuk membantu Mummy di alam sana.

“….tenanglah Mummy, berehatlah. Semoga setiap solat Mummy, semoga Al-Quran yang sentiasa Mummy bacakan sepanjang hayat Mummy dulu menjadi peneman Mummy, semoga setiap amal sedeqah jariah Mummy juga membantu Mummy. Semoga ibadah Haji yang Mummy telah laksanakan itu Mabrur. Nuri janji jadi anak solehah untuk Mummy, setiap baris butir Al-Fatihah dan ayat Quran lain Nuri hadiahkan untuk Mummy. Demi Mummy…amin ya rabbal alamin…”

………………………………………………………………………

Pulang ke rumah Kak Da untuk menerima ziarah daripada temanku Haiza yang sanggup datang dari Seremban bersama Farez suaminya. Keseluruhannya kami semua ahli keluarga Mummy memang sangat-sangat berterima kasih dengan kebaikan dan kesudian setiap yang hadir menziarahi kami semua. Semoga Allah yang membalasnya dengan kebaikan.

Ketika dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, kami semua senyap tanpa bicara. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Aku memandang keluar, memandang langit malam yang kelam. Sesekali airmata bergenang dan mengalir, tapi cepat-cepat aku sapu apabila teringatkan akan kata-kata Aizat salah seorang anak saudaraku tadi sebaik kami mau bergerak pulang. Aizat dan kawan-kawan ragbinya antara yang terawal sampai ke tanah kubur tadi, dan turut sama membantu penggali kubur menyiapkan liang lahad buat Mummytoknya sebelum jenazah diturunkan ke bawah.

” kubur Mummytok wangi tadi Che Su, betul…wangi sangat. Kawan-kawan Aizat pun bau wangi jugak..diorang cakap wangilah bau kubur nenek kau ni..”

Damailah Mummy, damailah dan tenanglah Mummy di alam sana. Semoga Mummy beroleh husnul khatimah dengan berkat segala amalan ibadah, dan kebajikan yang telah kami semua saksikan sepanjang hayat Mummy. Sesungguhnya aku bersyukur diberi peluang untuk menguruskan Mummy sepanjang beliau dalam keuzuran sehinggalah pada akhir hayatnya, hinggalah pada urusan terakhir pada waktu pengkebumian Mummy. Sebagai anak, lebih lagi yang bongsu terasa sangat-sangat kehilangan Mummy. Terasa banyaknya kekurangan aku selaku anak yang tidak sempat membahagiakan Mummy, melimpahkan kesenangan buatnya. Tapi siapalah kita manusia kerdil untuk menidakkan kuasa Yang Esa. Kasih sayang Allah pada hambaNya cukup tiada bandingan. Sebesar-besar kasih ibu terhadap anaknya, kasih sayang Allah 70 kali ganda besarnya daripada kasih sayang seorang ibu tersebut. Redhailah pemergiannya, sesungguhnya Mummy juga rindu akan Tuhan yang menciptakan.

….yang tinggal kini hanyalah doa. Doa buat Mummy. Al-Fatihah

20130215-154421.jpg

…petang 4 Syawal itu

4 Jan

Mummy disahkan pergi menghadap Allah pada 5:38 petang, Rabu 22 Ogos 2012 bersamaan 4 Syawal 1433H.

Masing-masing tenggelam dalam tangisan, esakan masing-masing. Kami melepaskan beban emosi sendiri, tanpa ditahan-tahan lagi. Aku pandang wajah mereka bersilih ganti. Abang Man yang bersendirian sambil mengesat airmata, Jang yang berpelukan dengan anak isterinya, Kak La dengan airmata pilunya yang sesekali merintih sayu “Mummy dah takda” berulangkali, Kak Ta di penjuru lain, Kak Da yang tersedu sambil didakap Angah, anak lelakinya.

Aku tersandar ke dinding, lalu perlahan-lahan terduduk di lantai.

“…Mummy dah takda lagi….”

………………………………………………………

Kemudian kami ambil giliran untuk bersendirian bersama jenazah Mummy, seorang demi seorang untuk memberi penghormatan akhir sementara menantikan pihak hospital menguruskan prosedur seterusnya. Ketika itulah aku ambil kesempatan untuk update status di facebook; sebagai makluman kepada seluruh kaum kerabat dan juga sahabat yang alhamdulillah sangat prihatin dengan keadaan Mummy selama di hospital dan tidak putus-putus mengirimkan doa, kata-kata semangat dan perangsang serta sentiasa bertanyakan khabar kami. Melihatkan bateri telefon semakin lemah, aku beralih ke satu sudut di mana terdapat plugpoint untuk menumpang caj.

Ketika itu jugalah aku terdengar bunyi hujan yang tiba-tiba saja turun membasahi sekitar Serdang, seolah-olah turut sama menangis bersama kami, anak-anak yang baru sahaja kehilangan bonda yang dikasihi. Dalam sayup-sayup aku yang kebingungan itu, aku hanya mampu memandang kosong pada wajah-wajah di hadapan mata. Aku nampak ketibaan anak-anak saudaraku yang semakin memenuhi ruang; anak-anak Kak La iaitu Elyn dan Anati segera menenangkan Mama mereka dengan memeluk tanpa bersuara. Anak-anak Kak Ta; Nik Jiq, Kak Nik, Nik Aliaa dan Nik Mad juga sampai sejurus itu lalu terus dibawa oleh Kak Ta untuk membacakan Yassin dan peluk cium Mummy Tok mereka untuk kali terakhir.

“Mummy Tok seorang yang jaga kamu semua 5 beradik dari dalam pantang lagi…”

…………………………………………………………

Bila tiba masanya giliran aku untuk bertemu, dengan susah payahnya aku menahan sebak. Langkah aku longlai, sambil aku merapati katilnya hingga ke sebelah kepala. Aku lihat wajah Mummy sangat tenang, seolah-olah sedang nyenyak tidur. Sesungguhnya Mummy sudah terlepas daripada menanggung derita kesakitan daripada sel-sel kansernya yang sangat agresif itu.

Aku membacakan Al-Fatihah di dalam hati, sambil tangan kanan memegang tangan sejuk Mummy dan jari-jariku mengelus dan membelai ubun-ubun Mummy. Aku sangat pasti setiap ibu sudah tentu pernah dan selalu berbuat begini ke atas setiap anak-anaknya; baik ketika sedang tidur ataupun sedang sakit. Kalau demam panas sepanas berapa puluh pun suhunya itu, pasti akan terasa lega bila disentuh oleh ibu. Maha Suci Allah yang mengirimkan ibu-ibu sebagai penawar pada setiap anak.

“Mummy I am so sorry, tak boleh hadiah mengaji untuk Mummy as what you hoped…”

hanya aku anaknya yang tidak pernah merebut peluang itu sebelum ini,sepanjang hayatku. Menyentuh atau membelai rambut Mummy ketika ia masih berwarna hitam hinggalah ia penuh putih beruban. Hatta memicitnya pun aku tidak pernah. Baru sekarang, ketika itu aku baru menyentuhnya dengan segala macam jenis perasaan. Sedih. Sayu. Pilu. Kesal.

…rindu….

…………………………………………………………..

Aku berusaha keras menyeka airmata. Tunduk mencium ubun-ubun Mummy, untuk yang pertama dan terakhir. Melafazkan “innalillahiwainnailaihirajiun” dengan penuh sayu. Mencium dahi Mummy dengan segala kasih sayang. Mencium kedua-dua belah pipi Mummy; yang dulu akan juga membalas ciumannya di kedua-dua belah pipi aku. Mencium tangan Mummy yang sudah mulai dingin. Tangan yang telah menyambut kehadiran aku ke dunia. Tangan yang mengendong aku dalam dakapan hangatnya seorang ibu. Tangan yang menyuapkan makan minumku. Tangan yang mengasuh aku. Tangan yang memimpin aku untuk langkah pertama. Tangan yang menenangkan aku bila sakit, atau menangis atau dengan kerenah nakalku. Tangan yang menjaga aku, menyapu air dingin ke ubun-ubunku setiap kali aku demam. Tangan yang membesarkan kami semua, mengalirkan kasih sayangnya melalui masakan-masakannya yang tidak pernah menghampakan kami semua. Aku tunduk dan mencium tangan-tangan itu dengan penuh hormat dan cermat.

Perlahan-lahan tanganku menyentuh kaki Mummy. Mengusapnya perlahan, aku tunduk dan menciumnya buat yang pertama dan terakhir. Kerana itu syurga aku. Syurga aku yang telah pergi…

“selamat tinggal Mummy, selamat tinggal syurgaku..kita berpisah buat sementara saja. Janji Mummy tunggu Nuri ya? Kita akan jumpa lagi, kita mesti berjumpa dan berkumpul di Jannah. Nuri akan buat apa saja untuk bertemu Mummy lagi, ampunkanlah segala dosa-dosa ibuku Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku ke atas ibuku, ampunkanlah dosa-dosa aku Ya Allah. Cucurilah rahmatMu ke atas rohnya serta tempatkanlah rohnya di kalangan mereka yang beriman dan soleh. Sesungguhnya aku anaknya redha dengan pemergian ini, kami semua redha ya Allah dan Kau bantulah kami hambaMu yang serba kekurangan ini…”

Aku terdiam dan hanya merenung kosong pada wajah Mummy, serta jenazahnya yang terbujur kaku. Serta-merta kesunyian datang menggamit seluruh tubuhku, dan perlahan-lahan ia membawa aku kepada sebuah perasaan rindu yang belum pernah aku rasakan sebegitu. I still remembered her smile last few days, only to remember that I was too late to tell her how much I love her. How much I will miss her, of so many things I wanted to share and tell her. I never tell her how calm it was for me to listen to her voice, eventhough dia sedang berleter kepada aku ketika itu. This whole experience of nursing her dan jaga segala keperluannya was full of bergaduh, dan aku dengan hati kering aku because I was misunderstood she was only being difficult to all of us. And now that’s it…she’s no longer around with us.

…how much I missed to hug her….

20130104-145938.jpg

4 Syawal

21 Dec

“Setiap kali kita menarik nafas, pada hakikatnya semakin dekat kita ke alam kubur”
The Secret of Kematian

…………………………………………

Pagi

Aku terjaga dengan ucapan syukur, syukur kerana kami sekeluarga; Abah dan semua kakak dan abangku bersama-sama dengan Mummy pada waktu-waktu terakhir ini. Aku bersyukur kerana dengan izinNya meneguhkan ikatan kekeluargaan kami, dan aku masih sempat update status facebook dengan menyatakan harapan aku pada hari itu; agar kami masih diberi kesempatan untuk bersama-sama Mummy lagi, sebanyak masa yang diizinkanNya.

Kami semua tidur ‘berjemaah’ di ruang TV dalam kawasan wad; hanya tidur beralas lengan di kerusi-kerusi kaku. Mengambil giliran tidur dan berjaga antara satu sama lain demi menemankan Mummy dengan membacakan ayat-ayat suci dan melafaz kalimah syahadah. Kami sebulat hati meninggalkan segala keselesaan peribadi untuk menjaga ibu yang dikasihi. Syukurlah kakak-kakak aku disokong sebaiknya oleh suami dan keluarga masing-masing, yang merelakan ibu-ibu mereka meninggalkan rumah masing-masing demi untuk menghabiskan masa bersama nenek mereka yang sedang nazak.

Pagi itu masih lagi hanya aku dan Kak La yang memilih untuk tinggal saja bersiap-siap di wad menghadapi hari baru untuk kami ketika kakak-kakak lain beransur untuk pulang berehat sebentar di rumah Bangi. Kak Ani juga bergegas pulang dan mengatakan akan datang kembali petang nanti. Aku juga diberitahu oleh Abah yang Mok Su telah pun selamat sampai di KL tengah malam tadi, dan dijangkakan akan datang menziarahi kami semua pada waktu melawat nanti.

Setelah sarapan ringkas, Kak Da dan Kak Ta sampai dari Bangi. Jadi ketika itu aku decided untuk temankan Abah buat checkup ringkas kerana Abah ada mengadu sakit lutut. Abah sememangnya sudah tidak sehat, ditambah lagi dengan tidak cukup rehat jadi mungkin itu mendorong sakit lutut Abah. Namun begitu Abah tetap semangat menantikan kedatangan adik perempuannya itu dan keluarganya nanti. Aku nyatakan pada Abah yang aku akan menemankan beliau, kerana pada perkiraan aku Abah mungkin ada masalah nanti kerana Abah akan cepat panik di tempat baru. Jadi cepat-cepat aku minta misi tunjukkan arah ke Jabatan Pesakit Luar; hanya untuk aku fahami kemudian bahawa Hospital Serdang tiada jabatan sedemikian kerana hanya menerima kes-kes rujukan daripada hospital lain rupanya. Maka dicadangkan untuk Abah dapatkan checkup di Jabatan Kecemasan sahaja.

Maka aku turun menemankan Abah berjalan menuju ke Jabatan Kecemasan, dengan harapan tinggi Abah tidak mempunyai masalah kesihatan serius dan ia tidak akan mengambil masa yang lama kerana aku juga tidak mahu berlama-lama tinggalkan Mummy.

Alhamdulillah, urusan checkup Abah berjalan dengan sangat lancar. Doktor ada menuliskan nota untuk Abah belikan ubat khusus untuk sakit lutut yang boleh didapati di farmasi-farmasi. Sepanjang perjalanan kami berjalan kaki menuju ke wad Mummy pun, kami tidak banyak berbual. Aku sengaja mengelak kerana tidak mahu menggambarkan kesedihan aku pada Abah, yang mungkin akan menambahkan lagi kerunsingan dan kesedihan pada hati tuanya itu. Mujurlah juga aku tidak menerima sebarang panggilan kecemasan daripada kakak-kakakku sepanjang ketiadaan aku menemankan Abah. Ketika kami melewati kawasan lobi, Abah minta diri dulu untuk duduk minum pagi sambil membaca paper dan mahu terus menyambut Mok Su nanti. Jadi aku biarkan sahaja Abah bersendirian di bawah.

Apabila aku tiba di wad, keadaan Mummy masih tidak berubah. Ketika bercakap dengan Kak Da mengenai Abah itulah aku perasan kehadiran Mok Su. Rupanya mereka tidak terperasan Abah yang telah sedia menunggu mereka di bawah lalu aku mohon diri untuk pergi menuruti Abah.

Dari jauh lagi aku nampak Abah sedang duduk menanti di lobi menunggu. Cepat-cepat aku beritahu yang Mok Su sudah sampai dan sudah ada di wad, maka Abah tanpa buang masa terus mengikut aku naik ke wad. Ketika itu memang sudah waktu melawat dibuka.

………………………………………………….

Tengahari

Apabila sampai di wad, aku lihat Kak Da sedang menerangkan keadaan Mummy pada Mok Su. Memang jelas keprihatinan Mok Su terhadap Mummy, kakak iparnya walaupun Mok Su masih lagi dalam perjalanan menuju KL dari Kuala Terengganu telah dimintanya seorang doktor kenalan Mok Su ketika sama-sama menunaikan umrah untuk datang menziarahi Mummy; untuk melihat perkembangan terkini dan menjelaskan kepada kami dengan lebih detail.

Tapi itu semua terhenti, apabila Abah telah sampai di wad. Aku terdiam saja bila menyaksikan bagaimana Abah memeluk Mok Su, lama. Aku perasan mata Abah sudah merah dan bergenang, begitu juga dengan Mok Su. No words spoken, only emotions around both of them. Mok Su peluk Abah lalu tangannya mengusap belakang tubuh abangnya lembut. Ia sesuatu perasaan yang hanya mereka saja yang fahami dan kongsikan. Perasaan adik-beradik antara mereka berdua. Itulah satu-satunya pertama kali aku saksikan Abah displayed his emotion since Mummy berkeadaan begitu.

Abah is only a man. Lelaki yang sekuat manapun, kerana didorong oleh wanita di belakangnya. Sekuat manapun Abah cuba berlagak tenangdi hadapan kami anak-anak, tapi Abah tetap kalah pada emosi dan kesedihannya bila berdepan dengan adik perempuannya itu. Dan Abah juga is only a human…

………………………………………………

Aku terkenang pada kenangan lalu ketika aku dan Mummy sama-sama temankan menjaga arwah Tok Wan, nenek aku di sebelah Abah yang juga menderita kanser di akhir hayatnya. Mummy yang terus-terusan menemani Tok Wan; duduk di kepalanya dan mengelap cairan daripada mulut Tok Wan yang sedang nazak. Mummy juga yang ajarkan Tok Wan mengucap syahadah.

“Nuri nanti ingat nih. Orang-orang tua kita panggil ini belerang. Warna coklat keruh begini. Ini tanda akhir sakaratul maut sebelum roh kita diambil Malaikat Izrail”.

Aku ingat sejelasnya pesanan daripada Mummy ketika itu. Siapa menyangka kini aku pula yang harus memerhatikan tanda-tanda akhir tersebut ke atas Mummy. Berat memang berat, ketika hati sedang bergelut dengan kenyataan kami semua bakal berpisah dengan Mummy tapi dari sudut lain aku seolah-olah diberi kekuatan untuk terus berjaga dan bertahan.

…..dan menjelang petang lebih kurang jam 2:00 petang, aku dapati tanda-tanda akhir tersebut melekat di corong mask yang dipakai Mummy, ketika aku mengambil giliran menemankan mummy di katil. Aku sedang betul-betulkan kedudukan iPad kerana aku masih lagi uzur syarie bila aku terperasan cecair belerang tersebut ada. Aku kuatkan hati untuk merapati wajah Mummy, untuk aku perhatikan sebetul-betulnya akan tanda tersebut.

Ia sememangnya jelas.

~Adapun mengenai keluarnya roh orang mukmin, digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya sebagai berikut:

“Sesungguhnya ketika seorang mukmin dalam keadaan genting,malaikat datang kepadanya dengan membawa sepotong kain sutera yang berisi minyak kasturi dan tangkai-tangkai bunga yang harum. Ia mencabut nyawanya seperti orang mencabut sehelai rambut dari adunan roti. Lalu dikatakan, “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. (Surah Al-Fajr:27-28).” (Hadis Riwayat Ashabus Sunan dari Abu Hurairah r.a)

Lalu aku maklumkan apa yang telah aku saksikan dan aku fahami daripada pesanan Mummy dahulu kepada kakak-kakak dan abang-abangku. Mohon kami semua tabahkan dan kuatkan hati-hati setiap daripada kami, kerana masanya sudah tiba. Dan mereka seorang demi seorang mengerti, dan bergilir-gilir ke surau untuk bersolat dan sujud berlama-lama untuk mohon semuanya akan dipermudahkan untuk ibu kami.

………………………………………………..

Tidak lama kemudian, Nik iaitu bekas suami dan bapa kepada 5 orang kakak-kakak dan abang Man sampai juga ke wad. Dalam susah-payahnya travel jauh dari Kota Bharu alhamdulillah diizinkan juga untuk menziarahi Mummy, walaupun kini mereka sudah tidak dapat berbicara lagi. Nik nasihatkan agar kami semua membacakan doa Nabi Yunus di telinga Mummy; agar Mummy akan menurut bacaan kami dalam hatinya sekaligus akan memudahkan perjalanan Mummy nanti. In shaa Allah.

Kami juga menerima kunjungan Kak Nor sekeluarga dari Puchong. Tapi ketika itu aku sudah hilang kata-kata; hanya menjawab apabila perlu. Ketika Mok Su beransur pulang, Mok Su peluk aku kuat-kuat. Allah ya Allah… Ia telah mendatangkan perasaan sebak dan sayu bercampur-baur dengan kekuatan hati ke atas aku. Aku hanya diam membisu ketika membalas pelukan Mok Su, begitu juga ketika membalas pelukan Izan saudaraku. Ketika itu apa yang aku mahu hanyalah untuk dipinjamkan kekuatan mereka melalui pelukan-pelukan tersebut.

…..dan sememangnya aku merindui pelukan dan untuk memeluk Mummy.

………………………………………………..

Petang

Kami terima ziarah daripada keluarga Nik yang lainnya kemudian. Ketika itu jugalah aku terima panggilan daripada teman Maher iaitu Haiza yang juga anak kepada teman baik Mummy sendiri. Rupanya Haiza sudah sampai ke hospital, jadi aku menjemputnya di kawasan wad. Aku sangat-sangat menghargai sokongan dan dorongan teman-teman dan saudara-mara, walau apa jua pun bentuknya ketika itu.

Apabila aku mengiringi Haiza ketika tamat tempoh melawat, aku masih ingat lagi kata-kata sendiri. Bila sudah ada di waktu begini, apa saja di dunia sudah tidak bermakna lagi. Ini bukan namanya pengorbanan, tapi sebenar-benarnya tanggungjawab seorang anak ke atas ibubapanya….

…………………………………………………

Aku kembali ke wad setelah berpisah dengan Haiza di kawasan lif. Ketika itu juga aku perasan tetamu-tetamu lain juga sudah beredar. Kak Ani baru saja sampai, jadi aku biarkan saja dia ambil giliran menemankan Mummy bersama Kak Da di katil. Jang pula berulang-alik ke surau dan wad, dan menyediakan air Yassin untuk Mummy dengan air zam-zam untuk disapu ke ubun-ubun Mummy. Jadi tinggallah aku duduk bersama Kak Ta di sebelah dinding katil Mummy, dan kami bercerita tentang masa-masa lalu.

Cerita susah-payah Mummy mengandung dan melahirkan aku ke dunia…

Airmata aku bergenang dan sesekali menitis mendengarkan cerita daripada Kak Ta tentang Mummy yang menanggung jerih-perih demi aku sejak dari alam kandungan lagi. Aku kandungannya yang paling sukar; selalu saja masalah bleeding dan sepatutnya Mummy bedrest saja tapi Mummy tetap berani dengan cekalnya terus bekerja seperti biasa. Tidak seperti anak-anaknya yang lain; aku anak yang paling susah untuk dilahirkan Mummy. Mungkin kerana faktor umur dan sebagainya.

Dan aku jugalah satu-satunya anak yang paling memberi pening dan menyakitkan hati Mummy sepanjang membesar. Aku juga tidak faham kenapa hubungan kami berdua tidak pernah sebaik orang lain. Tegang sentiasa sepanjang masa. Hanya 2-3 tahun kebelakangan ini sahaja barulah kami berbaik-baik dan boleh berbual seumpama kawan baik.

Allah Maha Mengetahui segalanya…..

……………………………………………………..

Kami dikejutkan apabila Kak Ani tiba-tiba keluar daripada kawasan katil Mummy yang berlitup langsir, dan kalut mencari doktor dan nurses. Serta-merta aku dan Kak Ta faham keadaan sudah mulai genting. Aku bersegera merapati kawasan katil Mummy.

Dari balik langsir, aku saksikan Kak Da yang membongkok merapati kepala Mummy dan mengucapkan syahadah dengan suaranya yang tersekat-sekat. Abah berdiri di sebelah sana dan memerhatikan mesin ecg, manakala Kak La sudah tersedu-sedan. Aku sudah tidak faham lagi dengan bacaan jantung atau bp atau apa-apa pun ketika itu. Kak Ani sudah call Jang untuk segera naik ke wad, begitu juga dengan Abang Man. Tidak lama kemudian doktor datang dan kami diminta keluar seketika. Adik-beradikku sudah ada semuanya , berkumpul dan bertabah hati. Tapi ketika itu semuanya sudah mustahil untuk kami bertahan, lalu kami sudah menangis teresak-esak dan mata aku hanya memandang kosong ke arah 2 mesin yang bersambung pada Mummy.

Mummy, ibu kami yang sangat kami kasihi telah selamat menyahut seruan Tuhannya pada jam 5:38 petang itu. Meninggalkan seorang suami, 7 orang anak serta 18 orang cucu.

………………………………………………………..

Tangisan dan airmata kami adik-beradik seolah-olah berjangkit di antara satu sama lain. Abah terdiam,tanpa setitik airmata. Berulang-ulang kali dia ucapkan “Mummy pergi dengan baik, Mummy pergi dalam iman” manakala kakak-kakak aku dan abang-abang menangis teresak-esak. Sedang aku, terasa diri bagai di awangan. Aku yang paling kurang menemankan Mummy pada hari itu, dan aku sudah diberi kelebihan untuk tanda-tanda akhirnya tapi aku tetap tidak menghargai waktu-waktu akhir aku dan Mummy,untuk aku berbicara yang terakhirnya untuk Mummy, lalu masa itu telah pergi. Sesungguhnya janji Allah itu pasti, tidak tercepat mahupun terlewat barang sesaat.

…….separuh nyawa aku juga telah pergi petang itu.

………………………………………………………..

Ketika mereka semua sedang sibuk mengemaskan dan menguruskan urusan pengkebumian Mummy nanti, tiba-tiba aku terasa sangat sebak dan lemah. Aku terlalu sebak sehingga tertunduk dan terbongkok, hampir menyembah lantai. Betapa kosongnya hati dan jiwa aku ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu,berulangkali aku ingatkan diri sendiri Mummy dah pergi, Mummy dah pergi. Dan betapa aku sangat terkilan kerana sampai akhir hayatnya pun, aku tidak berkesempatan untuk menghadiahkan bacaan ayat-ayat suci untuk Mummy dengarkan. Biarpun sepatah.

“Dia sakit walau macam mana sekalipun dia tetap bangun sembahyang untuk anak-anak dia, Mummy selalu doakan kita semua! Tapi saya anaknya ini sampai sudah tak boleh mengaji untuk Mummy,tak boleh sembahyang berdoa untuk Mummy pun!”

“orang lain semua dah ada family sendiri, orang lain boleh kuat dengan family sendiri tapi saya seorang diri saja…saya seorang diri saja…saya cuma ada Mummy tapi sekarang saya sudah seorang diri saja…”

Itu antara racauan aku ketika itu.

“siapa kata awak seorang diri saja? U have all of us! We are family! You are strong , strong enough untuk jaga Mummy all this while cause we’re not as strong as you! We have to take care of our families but you alone took care of our Mummy! You are chosen and remember you are that strong!”

3 Syawal

21 Dec

Kami bangun setelah waktu Subuh, dan bergilir- gilir menemankan Mummy sementara bersiap-siap menghadapi hari baru. Kak Da dan Kak Ta pulang ke Bangi untuk berehat seketika, menjenguk keadaan anak-anak di sana dan sebagainya. Hanya tinggal aku dan Kak La saja di wad, kerana aku telah mempersiapkan bekalan secukupnya untuk menemani Mummy jadi aku tidak mahu tinggalkan beliau bersendirian di wad lagi.

Setelah bersarapan pagi ala kadar, Kak Da dan Kak Ta telah datang semula ke wad. Ketika itu juga doktor telah datang untuk menjalankan pemeriksaan ke atas Mummy, jadi sebahagian daripada kami telah turun ke kafeteria di lantai bawah sementara hanya aku dan Kak Ta yang menanti di sudut hujung wad, tempat kami biasa berkumpul.

Tidak lama kemudian, doktor tersebut menghampiri aku dan Kak Ta dan memaklumkan keadaan mutakhir Mummy. Didapati sel-sel kanser Mummy adalah sangat agresif, dan ketika itu telah mula merebak dan menyerang organ-organ dalaman yang lain. Ada tompokan-tompokan merah yang muncul di permukaan kulit tubuh Mummy, menandakan betapa seriusnya kanser tersebut. Kami juga telah dimaklumkan bahawa sudah tidak ada apa-apa lagi yang boleh mereka lakukan; hanyalah suntikan morfin untuk menahan sakit Mummy. Ada juga cadangan sekiranya kami mahu membawa Mummy pulang.

Aku dan Kak Ta hanya mengangguk faham, dan bertenang dengan berita tersebut. Kami menunggu untuk berbincang dengan adik-beradik yang lain serta Abah. Tapi aku masih ingat antara kata-kata akhir yang pernah Mummy ucapkan pada aku dahulu yang beliau tidak mahu mati di hospital, kalau boleh mahu di rumah sahaja.

Namun begitu, setelah dibincangkan bersama-sama kami putuskan untuk teruskan sahaja menemankan Mummy di wad walau apa jua keadaannya. Abah juga ada maklumkan Mok Su adiknya akan bertolak dari Kuala Terengganu pada malam itu, untuk menziarahi Mummy begitu juga masih ada lagi saudara mara yang akan datang untuk menjenguk Mummy. Dalam hati aku hanya berdoa mohon tempoh pada Allah Taala agar mereka-mereka ini berkesempatan untuk bertemu Mummy; pada masa hayatnya.

Aku makin jelas dengan keadaan tersebut, dan secara perlahan-lahan mula memahami dan menerima bahawa itulah saat-saat Mummy berdepan dengan sakaratulmautnya. Tubuh lesu yang terbaring di pembaringan tanpa suara ketika itu sedang bergelut menahan kesakitannya; pada zahir ia diberi nama kanser tetapi yang benarnya ialah sakaratulmaut. Suara Mummy sudah langsung tidak kedengaran. Mummy juga sudah tidak lagi memandang kami satu-persatu anaknya. Beliau sudah berada dalam dunianya sendiri ketika itu.

Imam Al-Ghazali menggambarkan bahawa sakaratul maut adalah ungkapan tentang rasa sakit yang menyerang jiwa dan menjalar ke seluruh bahagian jiwa. Dengan begitu, tidak ada lagi satu pun bahagian jiwa yang terbebas dari rasa sakit tersebut. Rasa sakit tersebut berbeda dengan sakit lainnya. Misalnya, ketika tertusuk duri, rasa sakitnya hanya menjalar pada bahagia jiwa yang terletak di anggota badan yang tertusuk. Begitu juga dengan rasa sakit kerana terhiris pisau. Pengaruh sakitnya hanya akan menimpa bahagian tubuh yang terluka.

Akan tetapi, rasa sakit yang dirasakan selama sakaratul maut mencengkam jiwa dan menyebar ke seluruh anggota badan. Malah, bahagian badan orang yang sedang sakaratul maut akan merasakan dirinya ditarik-tarik dan dicabut dari setiap akar rambut dan kulit kepala hingga kaki. Jadi begitu dahsyatnya rasa sakit dan derita seseorang yang mengalami sakaratul maut.

Apabila kita tertusuk duri atau terkena pisau, kita masih dapat berteriak dan berlari atau melompat-lompat untuk mengurangk rasa sakit yang muncul. Hal ini sangat mungkin kerana masih ada tenaga pada kaki, lidah, dan hatinya. Tetapi sekarang bayangkan orang yang sedang merasakan sakaratul maut. Dapat dipastikan, ia tidak sanggup lagi menjerit dan berteriak. Sebab rasa sakit yang dialaminya telah sampai pada puncak kesakitan dari semua jenis rasa sakit yang ada. Tenaga menjadi hilang dan semua anggota tubuh mulai lemah.

Oleh kerana itu, orang yang sedang sakaratul maut tidak lagi berdaya untuk berteriak minta pertolongan. Rasa sakit yang sangat dahsyat tersebut telah melumpuhkan akal, membungkam lidah, dan melemahkan semua tenaganha. Dia ingin sekali rasanya meratap, berteriak, dan menjerit minta pertolongan, namun tidak berdaya lagi melakukannya.

Proses Kematian, The Secret of Kematian, Muhammad Fakhrurrozi

…………………………………………………..

Kami adik-beradik tetap meneruskan rutin menemankan Mummy seperti biasa di tepi katil. Bergilir-gilir membacakan Yassin, dan melafaz syahadah di tepi telinga Mummy. Sesekali aku perhatikan tindakbalas dan gerak-geri tubuh Mummy. Kadang-kadang kakinya kejang, terangkat sedikit dan kadang-kadang tangannya pula yang terangkat. Namun begitu wajah Mummy tidak pula berkerut-kerut menahan sakitnya, hanya aku dapati terdapat peluh-peluh kecil yang merenik di dahi Mummy.

Berkenaan dengan peluh peluh yang membasahi dahi seorang mukmin sewaktu ajalnya tiba, Imam Al-Qurtubi mengatakan: “Sesungguhnya seorang mukmin yang masih ada sisa-sisa pada dirinya kesalahan-kesalahan yang telah diperbuatkan, akan dimunculkan ketika ia akan mati. Hal itu akan ditampakkan dari dahinya.”

Imam Al-Qurtubi menjelaskan bahawa maksud ayat dinampakkan dari dahinya adalah berkeringat. Keringat atau peluh tersebut disebabkan oleh rasa malu terhadap Allah SWT akibat pengakuannya atas segala kesalahan yang telah ia lakukan.

Rasa malu tersebut ada pada kedua mata. Pada ketika itulah rasa malu tersebut akan terasa. Peluh akan keluar dari mereka yang mendapatkan rahmat. Ini kerana, tidak ada seorang wali, sahabat atau orang baik yang tidak merasa malu pada Allah SWT. Dengan begitu, dia akan mendapat khabar gembira dan kemuliaan dari-Nya.

Dahi yang mengeluarkan peluh sewaktu menjelang ajal adalah tanda husnul khatimah.
Sekiranya kita pernah menjaga orang yang nazak dan hampir kepada ajal, kita pasti akan dapat melihat reaksi orang yang menghampiri ajal. Sama ada dahinya berpeluh ataupun tidak.

Tanda-tanda Husnul Khatimah (Akhir Hayat yang Baik), The Secret of Kematian

……………………………………………..

Malam itu aku dikhabarkan bahawa Mok Su telah selamat bertolak dari Kuala Terengganu bersama beberapa orang anak lelakinya, begitu juga khabar yang diterima tentang bekas suami Mummy yang turut ingin hadir menjenguk, walaupun juga sedang uzur. Aku sangat-sangat berharap dan berdoa agar mereka semua selamat dalam perjalanan jauh dan diizinkan Allah Taala untuk bertemu Mummy dalam keadaan hayatnya yang masih berbaki.

Pada malam itu juga aku saksikan bagaimana Jang duduk berdua dengan Abah, dengan penuh tulus hati memohon agar Abah ampunkan segala kesalahan Mummy terhadapnya; sekiranya terdapat kekhilafan daripada pihak Mummy selama berkongsi hidup dengan Abah. Hati aku sangat sayu apabila mendengarkan Abah berkata selama 43 tahun mereka hidup berumahtangga, mereka tidak pernah bergaduh besar, tidak pernah ada syak wasangka dan sebagainya. Abah terima Mummy seadanya yang ketika itu seorang ibu tunggal beranak 5, manakala Mummy terima Abah seadanya dengan segala kekurangannya ketika itu. Abah nyatakan tidak ada satu pun yang beliau simpan dalam hati; perasaan marah atau jauh hati terhadap Mummy. Abah izinkan pemergian Mummy ke Tanah Suci dahulu walaupun terdapat masalah kemudiannya; namun Abah redha kerana itu hanyalah ujian Allah dan Mummy sangat bergembira mengunjungi rumah Allah yang sangat dirindui.

…bila sampai masanya nanti, Mummy memang pergi dalam iman…”

Itulah antara ucapan akhir Abah pada malam tersebut. Yang menandakan tahap kesediaan Abah untuk menerima sebarang kemungkinan berikutnya. Dalam ketenangan Abah, aku tahu yang Abah sudah mula merindui Mummy, yang sudah tidak lagi bersuara memarahinya kalau Abah salah dengar atau silap faham dengan senarai dapur yang dikirim Mummy seperti selalunya. Abah sudah mula merindui Mummy, yang sentiasa sabar mendengar setiap celoteh Abah setiap kali dia pulang dari Terengganu. Abah yang sudah mulai merindui Mummy, yang akan memberi 2nd opinion dan memastikan Abah faham dengan aturan ubat-ubatannya kerana Abah ada sedikit darah tinggi dan mereka akan bergilir-gilir memeriksa tekanan darah masing-masing di rumah.

Sesungguhnya ketika itu Mummy memang sudah mula dirindui oleh kami semua….

2 Syawal- malam di hospital

10 Dec

2 Syawal. Malam. Hospital Serdang

Malam itu aku sambung kembali tugas menemankan Mummy di wad, tapi kali ini tidak bersendirian seperti minggu lalu. Kali ini bertemankan kakak-kakak manakala abang-abangku pulang berehat di rumah Kak Da di Bandar Baru Bangi lewat malamnya. Setelah Mummy sudah tidak sedar petang tadi, kami ambil keputusan untuk langsung tidak tinggalkan beliau di katilnya bersendirian. Bacaan Yassin bersilih ganti antara kami, begitu juga aku akan pastikan mp3 tetap mengulang bacaan ayat-ayat suci di telinga Mummy. Aku selitkan iPad di balik bantal Mummy mengalas tidurnya.

Anak-anak saudaraku juga tidak senang duduk, sentiasa bergerak dari rumah Che Long mereka di Bangi itu berulang-alik ke hospital. Menjenguk Mummytok kesayangan, yang sudah terdiam membisu di pembaringannya. Ketika aku tersedar dari lelapku di kerusi ruang menunggu, aku duduk berbual-bual seketika dengan Abe Nik, anak saudara sulung dan juga cucu sulung kepada Mummy. Diceritakan salah seorang kawan sekolahnya ialah seorang doktor di wad itu, jadi dia cuba-cuba tanyakan apakah situasi sebenar untuk Mummytok, dan apa pula peluangnya dengan niat untuk kami lebih bersedia. Mulanya sahabat itu keberatan, tapi setelah didesak oleh Abe Nik berkali-kali jadi doktor muda itu mengalah.

“anak cucunya semua ada di sinikah?

” ya, kami semua ada di sini. Paling-paling pun di rumah anak sulungnya di Bangi.”

“baguslah, sentiasalah ada bersama. Nenek mungkin hanya ada sehari dua saja lagi…”

Aku sudah tidak punya apa-apa reaksi lagi bila mendengarkan kenyataan itu. Ingatan hanya menerawang pada petang sebelumnya, ketika Mummy masih lagi berupaya tersedar dan seketika berbunyi suara.

……………………………………………

“Makcik, Makcik Azizah. Kita nak masukkan ubat ya?…”

Aku pandang saja nurse tersebut duduk di sebelah katil Mummy, dengan bekas ubat yang mengandungi botol-botol kecil. Mummy hanya diam dan mengangguk. Ketika itu giliran aku dan Kak La yang menemankan, jadi kami turut membantu menenangkan Mummy.

“….sakiiiiiiiittt…….”

Aku hanya memandang wajah Mummy yang berkerut menahan kesakitan, yang mengerang seperti anak kecil setiap kali apabila ubat itu disuntik ke saluran tiubnya. Kadang-kadang Mummy meronta, jadi terpaksalah aku dan Kak La menahan kaki dan tangan Mummy.

“ya tau sakit, tapi Mummy tahan sikit lagi ya? Nak cepat baik mesti kena masuk ubat, nanti kita balik?”

Aku dan Kak La tidak henti memujuk. Mata kami sudah mulai bergenang. Hati masing-masing ranap dalam kesayuan, demi menyaksikan ibu kami yang menanggung sakit. Sakit yang sebolehnya kami mahu merasa,biar kami saja yang menanggungnya.

“ada berapa botol semuanya Nurse?” semuanya 5 botol morphin yang harus diselesaikan. Setiap kali itulah Mummy memaut lengan aku, membayangkan kesakitannya. Darah-darah Mummy yang mencair keluar di setiap ruang dan liang roma, juga melalui bekas suntikan yang terdahulu. Sudah menjadi rutin baru buat kami, mengelap darah yang meleleh dan menggantikan alas katil, alas lengan biar Mummy kering dan selesa.

………………………………………..

“kita kena sabar. Sabar tengok keadaan Mummy sakit meronta begitu… Allah sedang naikkan darjat Mummy…” kata-kata Kak Ta menenangkan aku bila aku mengadu tidak sanggup tengok keadaan Mummy begitu sekali. Tapi ya, aku harus akui dan tunduk pada ketentuan Allah Taala, hanya Dia yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Aku berdoa dengan penuh pengharapan agar Dia mengampunkan segala dosa-dosa Mummy melalui kafarah ini.

…………………………………………

Dengan info terkini yang aku dapat daripada Abe Nik, perlahan-lahan aku siapkan mental dan emosi. Untuk menerima kemungkinan itu at any random hours. Mummy sudah nazak, jadi aku perlu sentiasa bersama dengannya. Walaupun Mummy sudah tidak boleh berbual-bual lagi dengan aku, aku sangat pasti yang Mummy masih lagi mendengar suara kami dan mengenalinya. Ini aku nampak sengan jelasnya setiap kali kami bertukar giliran di katil, setiap kali kami bersuara Mummy seolah-olah akan ‘mencari-cari’ suara kami dengan gerakan kepalanya.

Aku menghampiri katil Mummy, sudah tiba giliran aku. Masih lagi uzur, jadi aku mengucap salam dan duduk di sebelah katil Mummy, sesekali aku perhatikan adakah perlu untuk diganti alas katil, masih ada lagikah darah yang mengalir.

“Mummy, kita istighfar sama-sama ya? Mummy ikut saja dalam hati. Nuri ada sini, teman Mummy…” perlahan-lahan tanganku mengusap ubun kepala Mummy dengan segala rasa kasih sayang seorang anak terhadap ibu, yang aku tahu manakan sama dengan kasih sayang Mummy terhadap aku. Tapi kasih sayang Allah Taala itu melebihi segalanya….

Aku sandarkan kepala di sebelah bahu Mummy. Walaupun ada bau darah, tapi aku tidak peduli. Tidak berapa lama kemudian aku tertidur begitu, dengan cuba menghayati dan mengenang bau tubuh Mummy…yang akan aku rindui kemudian nanti.

“Ya Allah, aku mohon dipinjamkan waktu seketika lagi untuk kenangan ini. Sekiranya kesakitan itu sebagai kafarah atas dosa-dosa ibuku, jauhkanlah daripada pengakhiran yang memedihkan…”

The 100th Day

30 Nov

…..

Today’s marked the 100th day of Mummy’s passing. Not a single day I lived on without not thinking of her since then. 100 hari yang sunyi. Sunyi yang perlahan-lahan telah aku hadam, dan belajar untuk kuat darinya.

Genap hari ke-100 ini aku ada di tanah kelahiran, di rumah peninggalan. Walaupun sudah tidak sesedih pulang untuk pertama kali, tapi masih lagi ada sudut rumah yang masih sangat terkesan lagi tentang Mummy. Kalau dulu aku sering mengelak, atau cepat-cepat berlalu tapi sekarang aku sudah mampu bertenang dan bernafas dengannya.

Pulang pertama kali yang lalu, aku paling terkesan di ruangan dapur. Our battle field. Selalu saja kena marah di situ, bersebab atau tidak. Dalam banyak-banyak ruang, rupanya dapur itu ruang peribadi antara aku dan Mummy. Selama bertahun-tahun di awal kehidupan aku telah disaksikan di situlah tempat aku didewasakan, luar dan dalam. Mendidik kesabaran aku bertahan dengan setiap leteran, melatih bicara aku berhujah mempertahan diri, mengasah sifat lumrah aku sebagai anak dan perempuan. Ruang di mana aku luka terhiris pisau di ruas-ruas jari, juga luka di dalam hati sesekali. Juga melukai hatinya setiap kali, tahun demi tahun membesarkan aku.

Pulang yang pertama dahulu, sudah berapa kali aku ‘menyahut panggilan’ Mummy, tanpa sedar. Sendirian. Sumpah, suaranya sangat terngiang di telinga apabila melintas ruangan itu. Kerana itu aku elak untuk makan atau berlama di situ, kerana rindu akan terus datang menyerang tanpa simpati. Ketika itu aku masih lagi cuba-cuba untuk kuat, tempat lain dalam rumah aku bisa gagahi tapi tidak di ruang itu.

Aku biasakan dengan barang-barang peninggalannya. Solat dengan telekungnya, sujud di atas sejadahnya dan berlama di ruang itu. Menyentuh buah-buah tasbih with the thought ‘this was how she felt everytime she prayed for us’. Each of us. In the early days, aku terlelap dengan mengalas telekung, atau kain batiknya. Airmata memang jadi teman setia, ketika itu rindu memang menyakitkan.

Dalam 100 hari pertama tanpa Mummy ini telah banyak mengajar aku tentang kematian, dan erti hidup. Tentang betapa kita hidup di dunia ini sebenarnya untuk akhirat. 100 hari yang menyedarkan aku dan buat aku fikir sedalam-dalamnya. Yang mendorong hati untuk berhijrah. Bukan saja dari segi sebagai anak, juga sebagai manusia. Juga sebagai muslim. Perlahan-lahan aku buka mata hati, dan belajar untuk mendengar serta merasai apa hikmah yang tertulis untuk aku sebenarnya. Alhamdulillah…aku menemukan jalanNya.

Tempoh 100 hari ini, seolah mengingatkan aku kembali pada 1 cerita tentang Mummy ketika dia lama berkelana di Tanah Haram. Ketika itu aku masih remaja, di belasan tahun. Dan Mummy baru pertama kali menunaikan haji. Hubungan kami anak-beranak ketika itu terlalu banyak warna, warna garang semestinya kerana banyak pertelingkahan antara kami berdua. Pada Mummy aku anak yang paling degil dan susah untuk difahami; pada aku Mummy sengaja tidak memahami dan terlalu mendesak dan menyesakkan hati.

Semakin dekat tarikh pemergian Mummy ke tanah suci, semakin aku keliru bagaimana untuk menghantarnya pergi. Pemandangan biasa kalau di airport menghantar rombongan haji, selalu aku lihat mereka akan saling berpelukan. Dan itulah perkara paling aneh antara aku dan Mummy, kerana aku sudah lupa bila kali akhir kami saling berpelukan.

But it was Mummy yang menarik aku dulu untuk dipeluk, sebelum dipanggil ke departure. Dalam kesesakan manusia. We didn’t say a word, but I still remembered how was the feeling. Terasa hanya kami berdua saja di dalam hingar-bingar itu. And it gave the calm feeling.

The 2nd time Mummy ke sana agak lama. We ‘lost’ her ketika itu, due to some stupid political act from the Malaysian authorities yang menghasut kerajaan Saudi untuk menghantar balik jemaah imigran, yang tinggal tanpa visa setelah umrah sementara menunggu musim haji. Setiap hari kami menunggu berita, namun nama Mummy tak pernah timbul di kalangan mereka yang akan dihantar pulang. Solat hajat kami langsungkan di masjid-masjid sekitar perumahan kami, mohon perlindungan untuk Mummy yang sebaiknya di kota suci.

Yang sebenarnya ketika itu, Mummy sedang aman beriktikaf di dalam Masjidilharam. Selama 43 hari katanya Mummy hidup memandang kaabah di depan matanya. Bekalan makan-minum langsung tidak menjadi masalah, kerana adanya penjual berasal dari Pattani dan Indonesia yang bersedekah. Siapa tahu dengan kerja Allah, Mummy diberikan kesempatan sebesarnya untuk hidup ‘percuma’ di Masjidilharam, untuk beribadah semahu-mahunya. Kalau tidak salah, lebih kurang 100 hari juga kami terpisah anak-beranak dan dalam tempoh waktu itu juga kami pernah langsung terputus hubungan.

Tapi 100 hari kali ini memang amat berbeza. Mummy benar-benar telah pergi, bertemu Rabbul Izzati. Pergi yang takkan pernah kembali lagi. Meninggalkan kami keluarganya, semoga bertemu lagi di syurga. Tapi kerana rindu, aku mohon dengan izinNya agar aku juga diberi kesempatan sebaik Mummy untuk aku menjejakkan kaki di tanah yang pernah didiami Mummy suatu ketika dahulu. Aku mohon untuk berada di tanah yang selalu disebut-sebut dan amat dirindui Mummy sejak sekembalinya dia dari sana, hingga akhir hayatnya. Semoga aku diberi kekuatan seperti Mummy, bersendirian di tanah asing tapi sangat dekat denganNya. Walaupun rindu ini akan berpanjangan, dan takkan pernah padam untuk Mummy tapi semoga ia terubat bila aku merasa pengalaman yang sama, menghirup udara yang sama pernah dirasa Mummy dan merasai sendiri kerinduan Mummy pada Baitullah. Semoga aku ‘bertemu’ Mummy di sana, in shaa Allah.

Dalam 100 hari yang banyak mengajar, aku telah sedar. Kehilangan itu tidaklah terlalu pahit. Terima kasih Tuhan yang baik, kerana meminjamkan Mummy selama 31 tahun pada aku. Selama 9bulan lebih sebelumnya lagi Kau tautkan perasaan kasih antara kami. Selama 31 tahun aku bertuah ditemankan Mummy, diberi panduan dan diasuh sebaiknya. Ya Tuhanku yang Maha Baik, tolong jagakan Mummy kami semua, dan tolonglah jagakan hati-hati kami agar tidak tergelincir dari jalanMu, semoga kami semua dirahmatiMu sepanjang masa, supaya kami dapat bertemu kembali di syurgaMu.

Cerita 100 hari yang pertama; rupanya hubungan ini lebih akrab bila tiada. Tapi aku tetap, dan akan tetap merindui untuk memeluk Mummy, seerat-eratnya. Sebagaimana aku merindui pelukan akhir ketika Mummy berangkat ke Tanah Suci, sebagaimana aku merindui perasaan yang terjalin dalam setiap dakapan ibu dan anak itu, sebagaimana perasaan memeluk jenazah Mummy 100 hari yang lalu.

Al- Fatihah, Mummy tercinta.

20121130-112937.jpg

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.